Assalammualaikum...
Aku? Cuma insan biasa.
Sejarahku dimulakan oleh mak dan abah.
Syukur pada-Mu, ya Allah!
Yang memberikan sebaik-baik manusia...
Anugerah-Mu padaku yang paling besar... mak dan abah.
Senakal-nakal aku...
Kalau mak dan abah marah,
Aku akan diam.
Kepala kutundukkan tanda hormat,
Walau mukaku akan kelat,
Namun bantahanku terhad.
Diamku tanda taat,
Kerana aku tahu,
Amarahnya mendidik,
Tegurannya kasih sayang.
Semalas-malas aku,
Kalau mak dan abah suruh,
Aku akan buat,
Agenda peribadi kuketepikan ketika itu.
Kerana aku tahu,
Suruhannya baik,
Permintaanya berpatutan,
Dan kerana mereka sayangkan aku,
Mereka meminta aku membantu.
Mak dan abah bagaikan penjaga syurga,
Mentaati mereka insya Allah terjamin di Sana.
Sedegil-degil aku,
Kalau mak dan abah larang,
Aku akan ikut.
Sudah pasti ku pujuk rayu dahulu,
Dan jika ditolak,
Hatiku pasti akan akhirnya merajuk,
Namun aku tak berani membantah.
Kerana aku tahu,
Masinnya garam itu awal terasa di lidah mereka.
Larangannya bersebab,
Alasannya munasabah.
Semarah-marah aku,
Kalau mak dan abah tanya,
Aku akan jawab.
Nada ku rendahkan,
Ketidakpuasan hati kutepikan.
Kerana aku tahu,
Meninggikan suara ertinya derhaka,
Dan derhaka balasannya neraka!
Segarang-garang aku,
Kalau mak dan abah minta jaga adik,
Aku akan taat,
Walaupun ketika itu aku nak keluar dengan teman,
Sanggup aku tangguhkan,
Kerana kepentingan jatuh pada keluarga,
Yang susah senangnya bersama,
Tanggungjawab diberi aku pegang,
Kerana muslimin sejati harus amanah.
Makan minum mereka aku jaga,
Agar adik-adik melihatku sebagai contoh terbaik,
Yang cuba untuk jadi anak baik.
Atas nama cinta aku tercipta,
Atas nama masa aku dewasa,
Atas nama zuriat aku dipelihara,
Atas nama ilmu aku berjaya.
Kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sewaktu kecilku, ya Rab!
Lindungilah mereka sebagaimana mereka melindungiku sewaktu kecilku, ya Rab!
Bahagiakan mereka sebagaimana mereka membahagiakanku sewaktu kecilku, ya Rab!
Moga dapat ku menjaga mereka sebagaimana mereka menjaga ku sewaktu kecil...
Malahan.... Semoga lebih baik lagi... amin~~
Wallahu 'alam~