Buat duit online

Friday, December 17, 2010

Hidup? Bagaikan strawberi...

Assalammua'laikum...
Salam keberkatan dalam setiap pergolakkan. Disebalik rerintik hujan yang berderai jatuh ke bumi, pasti akan datang sinar mentari untuk menyinari setiap ciptaan tuhan.

Merenung pada masa yang telah berlalu...
Banyak kehilangan, banyak peningkatan.
Ada yang kata hidup bagaikan roda, sekejap di atas sekejap di bawah.
Ada yang kata hidup bagaikan kata-kata, ada yang manis dan ada yang pahit.

Bagi saya? Hidup bagaikan strawberi...
Ya, buah strawberi.
Warnanya menarik perhatian... merahnya menawan.
Bentuknya artistik... bagaikan tanda cinta (heart).
Sifatnya simbolik... ikonik.
Namun, rasanya?
Secantik-cantik strawberi & walaupun masak ranum, enaknya belum tentu.

Begitu juga dengan hidup...
Corak kehidupan ditentukan oleh pencoraknya sendiri... iaitu kita.
Allah memberi kita peluang untuk melukis masa depan.
Diciptakan hidup sebagai sesuatu yang abstrak... banyak pilihan, soalan dan persimpangan.
Sama seperti strawberi yang cantik tapi tak menjanjikan rasa yang sedap; secantik-cantik pilihan yang dibuat juga, tak semestinya merupakan sebaik-baik keputusan (nampak perkaitannya?).
Dan seburuk-buruk perkara yang berlaku pada kita, tak semestinya memudaratkan. Kerana disebalik setiap keputusan/pilihan yang diambil hatta di dalam setiap rancangan yang dibuat sekalipun, tersirat 1 kuasa yang mampu mengubah perancangan/pilihan kita. Itulah namanya takdir Allah... Kita merancang, Allah juga merancang dan sebaik-baik rancangan adalah milik-Nya. Dalam erti kata lain, jika suratan takdir bertentangan dengan kehendak, maka redhalah... itu tanda orang beriman.

"... boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, & boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah maha mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui." (Al Baqarah, 2:216)

Bila saja berasa diri diuji dengan ujian yang berat... maka janganlah mengalah.
Kita mungkin akan jatuh dan tersungkur, tapi gunakanlah kudrat yang tersisa untuk bangkit semula...
Kerana hidup adalah subjektif, ia adalah perlumbaan... tiada ruang untuk yang lemah; ia adalah gunung yang tinggi... harus didaki ke puncak jaya; ia adalah lautan dalam... tampak tenang tapi penuh gelora. Belajarlah dari setiap pengalaman, ambillah setiap nasihat, luangkan masa untuk renung kembali setiap plot kehidupan.

Kerana hidup bagaikan strawberi...
Walaupun masam, tetap dikaitkan dengan kasih sayang.
Dan dengan sedikit ramuan, strawberi boleh menjadi pencuci mulut yang paling enak...
Hidup juga begitu.
Walaupun pahit, kadang-kadang yang pahit itulah yang paling bererti.
Dan dengan sedikit ramuan, hidup yang mungkin dianggap sebagai tidak indah itu... akan bertukar menjadi 1 kehidupan yang paling membahagiakan. Yang penting adalah keyakinan, kesabaran dan usaha serta doa.
Percayalah bahawa Allah itu maha adil... dan nikmatnya berasa di mana - mana sahaja.

0 comments:

Popular Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...