Buat duit online

Friday, December 9, 2011

AKMAL: 1 Permulaan...

Assalammua'laikum...

Alhamdulillah, syukur kepada Allah swt di atas segala kesenangan & kesusahan yang dianugerahkan-Nya kepada setiap yang bernafas... sesungguhnya tarbiyyah Allah swt itu misteri.

Minggu lepas, saya telah berkesempatan untuk menyertai Akademi Kepimpinan Mahasiswa al-Fateh (AKMAL 2011) yang julung-julung kalinya diadakan di UIAM, Kampus Kuantan. Walaupun masih banyak yang boleh diperbaiki, namun pengisiannya... HEBAT!!

Pada usia yang sangat muda, Sultan Muhammad al-Fateh (abad ke 15) telah sibuk mengkaji, mempelajari & menguasai segala jenis ilmu untuk membebaskan Konstantinople dari Kerajaan Romawi Timur yang sangat kukuh benteng pertahanannya. Usaha pahlawan-pahlawan Islam yang terdahulu walaupun tidak berjaya menumbangkan Kerajaan Romawi Timur, sedikit sebanyak telah berjaya melemahkan kuasa tenteranya. Jadi, hadirnya Sultan al-Fateh adalah untuk melengkapi serpihan-serpihan puzzle yang terakhir bagi merealisasikan hadis Nabi saw yang telah tertangguh selama lebih 8 abad...

"Lataftahanna al-Qustantiniyya wa lani`ma al-amiru amiruha wa lani`ma
al-jayshu dhalika al-jaysh."
(Kota Konstantinople pasti akan dibuka. Pemimpinnya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera!)

[Hadis sahih]

Ya, bayangkan... ketika remaja lain sedang sibuk menghitung jerawat di wajah, sedang sibuk memikirkan jenis pakaian yang hendak dipakai, sedang sibuk memikirkan destinasi yang hendak dituju bagi menghabiskan masa... Sultan al-Fateh telah berjaya menawan Kontantinople! Hebat @ sangat hebat?

Berdasarkan kajian Ustaz as-Syaari (pengasas AKMAL)Sultan Muhammad al-Fateh mempunyai beberapa sifat yang mendorong kepada kejayaannya. Antaranya:

1. Sentiasa positif (bersangka baik)
2. Sentiasa proaktif (kedepan)
3. Sentiasa bermatlamat jelas
4. Sentiasa berkerjasama (Sinergi)
5. Sentiasa kreatif
6. Berintergriti (tidak bercakap kosong)
7. Tawakkal

Kenali AKMAL di Seminar Ibrah 1453

wallahua'lam~~

p.s. "As we look ahead into the next century, leaders will be those who empower others." (Bill Gates)

Thursday, September 8, 2011

Berkelana Mencari Ilmu...

Alhamdulillah...Syukur kepada Allah swt yang telah memberikan kesempatan kepada saya untuk melangkahkan kaki semula di Bumi UIAM, Kuantan yang tercinta.

Daripada Anas b Malik ra, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim." (HR Ibn Majah & Abu Ya'la)

Di mana ada ilmu terlimpah, ke situ kaki melangkah.
Berkelana mencari ilmu... bagaikan 1 lumrah yang hakiki kepada setiap insan, baik lelaki mahupun perempuan. Siapalah diri ini tanpa ilmu & pengetahuan? Ilmu yang bermanfaat adalah kunci kejayaan, kejayaan adalah kunci kesenangan & kesenangan kunci terhindarnya kekufuran.

Abah saya pernah bercerita (dari sumber yang beliau percayai), katanya... Saudari-saudari se-Islam kita dari Indonesia (yang datang ke Malaysia tanpa izin dengan tujuan mencari rezeki) dikehendaki meninggalkan telekung mereka. Kalau ada yang bawa, telekung itu akan dicampakkan oleh tekong bot ke laut. Alasan yang diberi memang tak munasabah tapi mungkin itulah hakikatnya- kalau bersolat, orang Cina takkan ambil berkerja. Logik juga... ekonomi kita memang dikuasai mereka, jadi mereka yang ramai mengambil buruh luar. Tanpa solat, mudah saja untuk lupa pada agama.

1 lagi kisah... lebih menyayat hati. Abah saya pernah berjumpa dengan seorang pekerja wanita Indonesia yang beragama Islam, telah dipaksa berkahwin dengan majikannya yang bukan beragama Islam. Waktu itu, nasi telah menjadi bubur. Mereka sudahpun bertahun-tahun kahwin, sudah beranak -pinak. Abah bertanya kepada wanita tersebut, tahu tak perbuatannya itu hukumnya haram. Dia jawab tahu, cuma dia terpaksa. Kalau tak kahwin, dia akan dihantar pulang ke Indonesia. Datangnya ke Malaysia sudah berhutang, jika dihantar pulang pasti bertambah hutangnya, sedangkan dia gagal mencari nafkah di negara sendiri. Nampak tak? Dia menjual agamanya demi wang untuk meneruskan hidup (ya Allah, minta dijauhkan!)

Disitulah pentingnya ilmu, dunia & akhirat.
Dan yang pastinya, hadirku di bumi UIAM ini bukanlah untuk menuntut ilmu dunia semata-mata.
Ilmu dunia penting demi kemajuan diri, agama & negara.
Ilmu akhirat penting demi keselamatan diri & masyarakat.
Tanpa ilmu dunia masyarakat akan miskin, negara akan mundur.
Tanpa ilmu akhirat diri mudah terpesong, masyarakat boleh rosak.
Kerana hidup ini hanya sekali, maka usahlah ia sia-sia!

Daripada Sa'ad b Abu Waqqas ra, Nabi saw bersabda, "Kelebihan ilmu lebih aku sukai daripada kelebihan ibadat. Kebaikan dalam agama kamu ialah warak." (HR al-Hakim)

Daripada Abu Darda' ra, Nabi saw bersabda, "Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para nabi. Nabi-nabi pula tidak mewariskan dinar & dirham. Mereka mewariskan ilmu. Siapa yang mengambilnya ia telah mendapat bahagian yang banyak & sempurna." (HR Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah & Ibn Hibban)

Pesan abah sewaktu di dalam kereta tadi, carilah ilmu seikhlas hati. Niatkan lillahi ta'ala. Jihadkan diri dalam mencari ilmu - demi Allah, agama, masyarakat & negara. Insya Allah jika mati ketika berkelana mencari ilmu, nilainya syahid.

Daripada Abu Hurairah ra, Nabi saw bersabda yang bermaksud, "Apabila seseorang mati terputuslah amalannya melainkan 3; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat & anak soleh yang mendoakannya." (HR al-Tirmizi)

Kerana umat Islam adalah yang terbaik, maka pastikanlah ilmu kedap di dada & bermanfaat kepada semua... agar dihormati bangsa lain, agama lain. Bangsa yang berilmu & beragama akan menjadi bangsa pemerintah yang komprehensif, kompetatif & mulia.

p/s. lihat 6 syarat-syarat menuntut ilmu yang digariskan oleh Imam al-Syafie di Menjejak Khazanah Ilmu.

wallahua'lam~~

Saturday, August 20, 2011

Berpantang maut...

Nabi Muhammad saw., bersabda, "Perbanyaklah mengingat pemutus segala kenikmatan duniawi (kematian)."

Kata seorang sahabat saya, "Malang tidak berbau, mujur tidak berbunyi..."
Siapa sangka perjalanan yang awalnya lancar & tenang akan berakhir dengan tragedi? Maha suci Allah yang bijak mengatur & mencatur segalanya. Sesungguhnya dengan nama-Mu ya Allah, aku redha…

Kami dalam perjalanan pulang dari UIAM Kuantan, sejurus saja habis praktikal di Klinik Pendengaran UIAM pada hari Jumaat lepas (19/08/11). Segalanya baik, sekurang-kurangnya lancar sehinggalah susur keluar Lebuhraya Chenor. Sampai di kawasan Jengka 19 (lebih kurang 4.30 ptg), ketika menghampiri sebuah lori pasir 10 tayar (dari arah bertentangan), tiba-tiba saja tayar depan (bawah pemandu) lori itu tercabut... lantas menuju laju ke arah kami. Masya Allah, jalan yang sempit & jarak antara lori & kereta yang sudah terlalu dekat (dalam 5-6 m) membuatkan mustahil bagi saya untuk mengelak tayar yang bergolek laju, masuk ke jalan kami.


Saya cuma sempat brek & menghimpit sedikit ke tengah jalan dengan harapan tayar itu akan terus terpesong ke kiri bahu jalan serta tidak akan melanggar kami. Tapi adalah mustahil bagi saya untuk mengelak kedua-duanya sekali (lori & tayar yang tercabut tu)... Maka, innalillahi wainna ilaihi roji'un. Gang!!! Hentakan kuat membuatkan kereta terhenti serta-merta. Tayar itu menghentam bahagian depan kiri kereta. Allahuakbar!! Saya tersentak. Saya toleh ke arah kawan yang duduk di sebelah, dia ok, saya ok. Enjin masih hidup, tapi gear jam terus. Saya melangkah keluar ke depan kereta, subhanallah! Habis terbarai semua, bumper tercabut, kemek... Saya berjalan ke arah lori yang berjaya diparkir ke bahu jalan, pemandunya baru selesai membuat panggilan telefon.


Syukur Alhamdulillah… Ramai penduduk kampung yang datang membantu. Setelah mengambil gambar, mereka menolak kereta ke tepi kerana mengganggu lalu lintas. Polis dari Maran... lambat sangat sampainya.

“... (Mereka berdoa): "Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu).” (al-A’raaf:126)

Allah berfirman: "Wahai orang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." (Ali Imran, 3 : 102)

Berpantang maut sebelum ajal…

Saya bersyukur kerana kami berdua terselamat, tidak ada sebarang lebam & calarpun. Saya cuma terbayangkan, kalaulah tayar tadi menuju terus ke arah kami, dalam keadaannya yang laju, tidak mustahil untuknya memanjat naik ke atas bumper & memecahkan cermin depan kereta. Kalau itu terjadi, masya Allah... sesungguhnya aku berserah saja pada Kau, ya Allah!

Walau kita di mulut harimau sekalipun, walau kita sudah patah riuk sekalipun, kalau Allah kata ajal kita belum tiba, maka pasti kita akan terus bernafas (insya Allah). Sedangkan jika kita berada di tempat yang paling selamat sekalipun, mahupun menyorok dalam peti besi (kerana takut mati), kalau Allah kata ajal kita sudah tiba, maut pasti tidak akan gagal menjenguk kita. Maka sesungguhnya ya Allah, aku bersyukur pada kesempatan yang Kau masih beri.

“Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa (orang) yang belum mati di waktu tidurnya; maka Dia tahanlah jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir.” (az-Zumar:39)

p.s. Dapat juga merasa buka puasa dibalai polis (azan Maghrib berkumandang masa tengah buat laporan polis). Dan jangan lupa pakai tali pinggang keledar ya, memang sangat, sangat, saaaaangat... berguna (tak dapat bayang keadaan kami kalau tak pakai tali pinggang keledar tu)...

wallahua'lam~~

Saturday, August 13, 2011

Tangan yang terhulur...


"Orang yang bersifat kasihan, dikasihi oleh Yang Maha Mengasihani. Kasihanilah mereka di bumi nescaya yang di langit akan mengasihani kamu." - (HR Abu Daud & al-Tirmizi)

Lumrah manusia memang suka berbelanja. Belanja untuk pakaian, perapi diri, hiasan rumah, gadget & sebagainya. Duit gaji/elaun yang diterima setiap bulan kadang-kadang habis begitu saja. Lebih malang lagi, kadang-kadang duit kita sampai negatif bakinya (berhutang). Hutang kawan, hutang bank, hutang kad kredit... berbelanja dengan duit yang kita tak ada.

Tapi itu bukan masalahnya di sini. Cuba jawab, berapa banyak daripada bahagian gaji/elaun kita habis ke jalan sedekah? RM1 seminggu, atau RM1 setahun? Sedangkan harta kita yang sebenar-benarnya adalah yang disedekahkan, diinfakkan, dizakatkan, diwakafkan... bukan yang dibelanjakan. Maka tak hairanlah jika orang yang paling kaya di dunia boleh menjadi orang yang paling miskin di akhirat...

"Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda, tetapi kekayaan sebenar ialah kekayaan jiwa." (daripada Abu Hurairah r.a., HR al-Bukhari & Muslim)

Jangan tunggu kaya baru nak bersedekah. Kerana bersedekah tidak menuntut kita untu menjadi kaya @ miskin. Beri sekadar yang termampu, walau hanya dengan sebiji kurma. Bersedekahlah, walau hanya dengan senyuman. Perkara yang disedekahkan tidak penting (sekurang-kurangnya jatuh ke nombor 2) asalkan sumbernya halal , yang lebih penting ialah keikhlasan hati. Dan apabila kita bersedekah, jangan sesekali riak & usah sekali-kali mengungkit (dengan tujuan menunjuk-nunjuk) dengan apa yang diberi, atau pemberian itu hanya akan menjadi sia-sia.

"3 golongan yang tidak dipandang Allah pada hari kiamat; penderhaka ibu, penagih arak & orang yang suka menyebut permberiannya." (dariapada Abdullah b Umar, HR al-Hakim)

Yakin & percayalah bahawa hak orang lain tetap terletak di dalam setiap harta & kekayaan yang kita miliki, walau ia hadir dengan titik peluh kita sendiri... Maka hulurkan tangan kepada yang memerlukan, sebagai tanda kasih & cinta kita sesama manusia. Tapi ingat! jangan pernah mengharapkan balasan (duniawi)...

p.s. "Apabila seseorang itu mati terputuslah daripadanya amalan melainkan 3; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat 7 anak soleh yang mendoakannya." (daripada Abu Hurairah r.a., HR al-Tirmizi)

Wallahua'lam~~

Friday, August 12, 2011

Bulan yang tak didendang...


"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa" (2:183)

Alhamdulillah, Ramadhan sudah masuk ke hari yang ke-13. Syukur pada peluang yang diberi hingga ke hari ini... ibadah puasa masih dapat disempurnakan tanpa cela... Alhamdulillah!

Bulan yang tak didendang...

Mungkin ramai yang tahu, tapi tak ramai yang sedar akan keadaan kita sekarang. Kedatangan Ramadhan bagaikan datangnya bulan-bulan biasa yang lain... tak didendangkan, hambar. Yang kelakarnya, bulan Syawal yang masih sebatu didepan telahpun diraikan terlebih dahulu. Buktinya?? Buka saja radio, dengar lagu-lagu yang dimainkan... Lagu bertemakan Ramadhankah yang bakal didengari atau lagu-lagu raya? Semalam saya ke Kuantan Parade, lagu-lagu raya cukup rancak dimainkan. Lepas satu, satu. Haish... kenapa tak diselang-selikan dengan lagu-lagu tentang puasa ke, solat tarawih ke... atau mungkin peringatan-peringatan yang bermanfaat. Kalau 2,3 hari lagi nak raya tu, lainlah ceritanya... bulan penuhpun belum lagi (Sabar je la... T_T)

Cuba lihat aktiviti kita selepas berbuka puasa...

** Ramai yang berbondong-bondong ke pasaraya untuk membeli baju raya, bekalan kuih raya, hiasan rumah & sebagainya. Alasannya, takut pilihan akan menjadi terhad jika beli lambat-lambat. Beli -belah waktu siang? Hish... tak naklah. Takut 'tersejat' agaknya. Maklumlah, Malaysiakan panas...

** Tak kurang juga pada mereka yang 'tersidai' di rumah selepas berbuka. Perut senak, katanya. Tak boleh nak solat terus, takut termuntah ketika sujud nanti. Maklumlah, makan banyak sangat. Dah pancit... Maknanya lepas berbuka, jadi macam ular sawa kenyanglah... melingkar je.

** Kalau dah solat Maghribpun, nak melangkahkan kaki untuk ke masjid, jauh sekali. Maklumlah, siang tadi puasa, pagi tak sahur pula, tengahari habis 1 bandar di ronda... menjelang malam, sudah 'melepek'. Kepenatan katanya.

Berapa ramai saja yang berjaya meguatkan diri untuk bertarawih di masjid/surau. Haish... manusia, manusia. Kalau bulan lain, mungkin mereka akan salahkan syaitan kerana menggoda. Ni dalam Ramadhan, siapa pula yang nak disalahkan? Nafsu? (Kenapa tak salahkan diri sendiri saja...). Orang yang proaktif akan sentiasa mencari jalan, bukan alasan.

Ataupun sekurang-kurangnya bertarawihlah di rumah, berjemaah dengan keluarga ke, buat sendiri ke... Tak tahu nak solat sendiri? Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan... kalau duit boleh habis ratus-ratus ringgit untuk beli baju raya, puluh-puluh ringgit belanja di bazar, takkan tak boleh keluar RM 5-6 untuk beli buku panduan solat terawih?

Memang tiket ke syurga tiada had, tapi ia juga tidak murah. Lagipun... Helllloooo....??!! Ramadhan ini hanya untuk berpuasa saja ke????

p.s. Rasulullah saw. bersabda: Barang siapa lupa bahwa ia sedang berpuasa, sehingga ia makan atau minum, maka hendaklah ia meneruskan puasanya, kerana sesungguhnya ia telah diberi makan dan minum oleh Allah. (H.R. Abu Hurairah ra. - Shahih Muslim No.1952)

Wednesday, April 27, 2011

D.O.A


Tuhan amat dekat dengan hambanya apabila dia sedang sujud maka perbanyakkanlah do’a (waktu sujud).”
(H. R Muslim, Abu Dawud, Nasaai)


Cuba renungkan...
Dalam sibuk seharian, berapa ramai antara kita yang meluangkan masa untuk berdoa?
Sementara duduk termenung di dalam bas, berapa ramai antara kita yang berdoa?
Selepas menunaikan solat, berapa ramai antara kita yang berdoa?
Dalam keriangan tawa gembira, berapa ramai antara kita yang berdoa?

Doa yang kita dipanjatkan itu bukanlah untuk kepentingan tuhan. Allah swt tetap tuhan yang esa, gagah & tak terjejas tanpa doa kita. Tanpa doa, Allah swt tidak apa-apa (bukan seperti lagenda kuno Greek yang menganggap bahawa dewa-dewi mereka bergantung pada doa manusia untuk kekal). Tapi hakikatnya sebagai muslim, doa yang kita panjatkan itu sebenarnya adalah untuk diri kita juga, untuk umat Islam juga. Doa merupakan tanda kesungguhan kita dalam mengharapkan pertolongan Allah swt.

Cuba fikir, kenapa setiap hari (selalunya selepas solat la...) kita akan baca doa yang sama? 5 kali sehari, berulang-ulang... OK, mungkin ada dalam kalangan kita yang berbeza-beza doanya setiap kali lepas solat, tapi saya rasa, intipati doa itu sedikit sebanyak pasti tak jauh beza, kan? Kita biasanya mohon diampunkan dosa, dimurahkan rezeki, dilindungi di dunia & akhirat dll.

Hmm... Kalau dah intipati doa itu lebih kurang sama saja setiap kalinya, kawan-kawan perasan tak, kenapa kita tak doa "Ya Allah ya tuhanku, aku minta sama macam semalam, ya. Amin...". Kenapa setiap kalinya kita tetap melafazkan doa yang lengkap & panjang selepas solat? Sedangkan kalau difikirkan, ayat doa yang pendek tadipun boleh juga sebab bukankah Allah swt tu maha mengetahui? Masa kan Allah swt lupa doa kita tadi/semalam... (tujuan saya bukan untuk mempersoalkan, tapi sekadar mengajak anda berfikir!).

Kita tak kata "Ya Allah ya tuhanku, aku minta sama macam semalam, ya. Amin..." kerana ia tidak melambangkan kesungguhan kita dalam meminta bantuan daripada Allah swt. Kita kelihatan seolah-olah sekadar melepaskan batuk di tangga, atau bak kata orang, sekadar ambil syarat sahaja. Sebab itulah kita punya adab-adab berdoa - yang akan membantu kita untuk lebih khusyuk ketika memanjatkan doa, agar kita lebih menghayati bait-bait doa yang yang dilafazkan supaya doa itu nilainya bukan sekadar angin lalu; tetapi akan terkesan di hati. Doa yang ikhlas dihulurkan pasti dapat membantu membina peribadi yang lebih baik (insyaAllah!) Lagipun, bukankah doa itu senjata muslim?

“Apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu, hai Muhammad, tentang Aku, maka katakanlah bahwa sesungguhnya Aku ini dekat. Aku dapat mengabulkan permohonan orang yang berdoa padaKu jikalau ia telah memohonkan itu padaKu...”
(al-Baqarah: 186)


p.s. Jangan lupa untuk doakan untuk sekalian umat Islam, ya! ^^
~Wallahu a'lam~

Tuesday, April 5, 2011

Andainya kau tahu...

Semesta bertasbih,
Sealam bertahmid,
Seangkasa bertakbir,
Hanya kepada 1 yang tiada 2-nya,
Kaulah pencipta, pemelihara.
Ampunkan kami, ya Allah!

Andainya kau tahu betapa tingginya nilai solatmu,
Pasti kau takkan tergamak meninggalkannya.
Andainya kau tahu betapa besarnya erti bacaan-bacaan dalam solatmu,
Pasti kau takkan tega memandangnya remeh.
Andainya kau tahu betapa dalamnya erti doa yang kau panjatkan ketika duduk antara 2 sujud (di dalam solatmu), Pasti kau akan lebih teliti dalam melafazkannya...

Rabbigh firli "ya Tuhan, ampunilah aku"
warhamni "kasihanilah aku"
wajburni "tutuplah aibku"
warfa'ni "tinggikanlah darjatku"
warzuqni "berilah aku rezeki"
wahdini "tunjukilah aku"
waa'fini "sejahterakanlah aku"
wa'fua'nni "dan maafkanlah aku"


Dan Tuhanmu berfirman, "Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan aku perk
enankan bagimu..." (al-Ghafir, 40:60)

p.s. bumi ini Allah hamparkan untuk beribadah. Jadi usah lengah, usah was-was. Solatlah walau di mana anda berada.
~Wallahua'lam~

Saturday, March 26, 2011

Langkah pertama...

Assalammua’laikum…

Exam dah dekat!!!”

Hmm… itulah hakikatnya. Seminggu lagi ‘tsunami’ peperiksaan hujung semester akan melanda pelajar UIAM. Banyak sungguh nota-nota yang perlu dibaca, difahami… Ya Allah, dada mula terasa sesak, semak… (*sigh...)

Kelmarin saya hubungi mak, untuk bertanyakan keputusan peperiksaan SPM sepupu saya (maklumlah, keputusan SPMkan baru keluar). Tapi bukan itu yang saya nak cerita… Mak kata, baru-baru ni Haziqa (adik bongsu saya) seperti rutinnya pergi ke tusyen Smart Reader (tusyen bahasa Inggeris). Untuk kelas hari itu, dia telah terlibat dengan ujian kelayakan naik level, dari level 3 ke level 4. Markah yang selalu dia dapat ialah 99% - kira paling cemerlanglah tu, sebab cikgu dia tak akan bagi 100%.

[Sistem penilaian Smart Reader mengikut peringkat – maknanya, dari 1 peringkat ke peringkat yang lain, para pelajar perlu hadapi 1 ujian. Untuk naik ke peringkat (level) yang seterusnya, semua pelajar harus lulus ujian tersebut.]

Tapi untuk ujian kali ni, Haziqa pesan pada mak, “Mak, mak. Nanti mak doakan adik dapat 100%, eh?” Mak kami iyakan sajalah. Bila keluar keputusan (pada kelas yang seterusnya), Haziqa balik ke rumah dengan muka yang… ish, ish, ish… kedut 2-3000 la kot (masam la…). Mak bertanya kepada abah, “Apa pasal tu?”. Abah bisik, “Dia dapat 97%.”

Di Smart Reader, siapa yang paling tinggi markahnya, nama akan dilekatkan di dinding (sebagai penghargaan kerana cemerlang la). Maknanya, kali ini nama Haziqa tidak ada di dinding tu (sebab ada antara mereka yang dapat 99%). Saya bertanya pada mak, "Dia study tak?”. Mak kata, “Mana adanya.” – maknanya, Haziqa tak mengulang kajilah… Tapi Alhamdulillah, dia masih layak ke peringkat seterusnya, level 4.

Nampak tak signifikannya?

“…Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang pada diri mereka… ”

(ar-Ra’d, 13: 11)

Doalah macam nak rakpun, cagarkan segala yang boleh dicagar… tanpa usaha, doa tak bernilai, cagaran tak bererti. Kerana Allah swt sudah berkata, tanpa usaha semuanya pasti sia-sia!

Sekali ombak bah, sekali pantai berubah. Perubahan memerlukan usaha, dan usaha memerlukan langkah pertama. Langkah pertama pula memerlukan kesungguhan. Kesungguhan apa? Hmm… kesungguhan untuk mula membaca notalah! Jadi, usah tangguh-tangguh! Langkah pertama adalah penting untuk berjaya. Walaupun wajah kita (pasti) akan tenggelam dalam susunan nota yang bertimbun-timbun, dengan langkah pertama sedikit demi sedikit pasti semua ilmu dari nota itu akan berjaya kita “serap” masuk ke dalam otak. Insya Allah…

~wallahu a'lam~

Thursday, February 24, 2011

Aku & Cintaku...


Tanda cinta kepada Allah adalah banyak mengingat (menyebut) namaNya, kerana tidaklah engkau menyukai sesuatu kecuali engkau akan banyak mengingatinya."
-Ar Rabi' bin Anas-

Biarlah hidup tak disenangi,
Asalkan hati sentiasa mengasihi.
Tak didamba cinta manusia,
Yang tak sempurna dan hampa.
Kerana hidupku yang hanya sekali,
Jika bertuhankan cinta duniawi...

Ke manakah ku tuju nanti?


Untuk aku & cintaku,
Moga baitnya sehalus
syahadah,
Yang terutus untuk Pencipta,
Yang diharap pada kasih-Nya,
Agar nafasku
tak sia-sia,
Agar sayang kekal sempurna,
Agar duka bernilai syurga.

Seikhlas aku & cintaku,
Sedalam gelisah tuntutannya sabar,
Semarak rintihan menjadi tasbih,
Tika Qada'-Nya duri redhaku terima,
Menjadikan tangis berharga ibadah,
Kifarah dosa yang melebur rindu,
Menggagahkan diri bagaikan
mujahadah.

Semasyur aku & cintaku,
Yang terikat pada nama-nama-Nya,
Kasih-Nya keberanianku,
Nikmat-Nya kesyukuranku,
Terpahat jitu dalam hatiku,
Fikiranku, Kelakuanku.

Semekar aku & cintaku,

fisabilillah,
Itulah jalanku.
Maka dengan segala rahmat-Mu,
Ampunkanlah aku, tuhanku.

Dari Syd. Aisyah r.ha: "Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri,ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa."
(HR Al-Bukhari dan Muslim)


~wallahua'lam~

Sunday, February 13, 2011

Mata yang tertipu...

Assalammua'laikum...
Sehening pagi, senyaman bayu, seindahnya hari ini... Alhamdulillah!

Pepatah Inggeris ada mengatakan, "Don't judge a book by it's cover." Ertinya, jangan menilai seseorang berdasarkan luarannya. Jika dikaji semula, pepatah itu ada asasnya. Kita, ya kita... selalu cenderung untuk menilai orang lain berdasarkan penampilannya, perlakuannya. Orang yang pertama kali kita jumpapun akan kita nilai (pandangan [pendapat] pertamalah orang katakan - first impression). Tak apalah tu... mungkin fitrah. Itu juga salah satu cara yang kita gunakan untuk memilih sama ada sesuai untuk dibuat kawan atau tidak.

Tapi... dah namapun "pandangan", jadi ia mungkin salah. Seeloknya, pandangan/pendapat itu kita simpan sendiri, atau selidik kebenarannya. Bukan sebarkan pada orang lain, tanpa mengambil kira asasnya. Jika pendapat kita betul, maka tak menjadi masalah. Tapi jika salah, bukankah jadi fitnah?

"...Dan fitnah itu lebih kejam daripada pembunuhan..." (Al-Baqarah,2 : 191)

Orang kata, orang yang diam itu sombong.
Orang kata, orang yang bising itu suka publisiti.
Orang kata, orang yang menundukkan kepala itu penakut.
Orang kata, orang yang mendongak ke langit itu berlagak.
Semua orang kata...
Dan semua kata-kata itu datangnya dari mata,
Mata yang tertipu,
Itulah yang celik tapi buta.
Siapa tahu, diamnya kerana berzikir?
Siapa tahu, bisingnya kerana memberi peringatan?
Siapa tahu, kepala ditundukkan kerana menjaga pandangan?
Siapa tahu, kepala didongakkan bagi menikmati tanda-tanda kebesaran Allah swt?
Dan siapa tahu,
Bahawa orang yang berkata-kata itu...
Punya unsur fitnah?
"Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka telitilah (untuk menentukan) kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan sesuatu kaum kerana kebodohan (kecerobohan) yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu."(Al-Hujurat, 49:6)

Fitnah itu besar pengaruhnya. Fitnah punca Saidina Umar Affan dibunuh, punca perang berlaku antara Saidina Ali dan Saidatina Aisyah. Ingatlah! Sedangkan kawan-kawan / pasangan kita yang dah bertahun-tahun bersamapun belum tentu betul-betul dikenali /difahami, inikan pula orang yang baru kita jumpa tadi. Jangan terlalu cepat menilai seseorang, kerana yang zahirnya jahat tak semestinya jahat (dan sebaliknya).

p.s. Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah. (HR Bukhari & Muslim)
~wallahu 'alam~

Saturday, February 5, 2011

Berhenti salahkan papan...

Assalammualaikum...
Tak pandai menari salahkan papan jongkang-jongkit... (pepatah Melayu)

Terpesona dalam keindahan dunia, menghanyutkan. Tarikan itu melalaikan tapi sangat mengasyikkan. Indahnya terzahir di mata, namun terkesankah di jiwa? Sayang... ilmu yang diberi bagai mencurah air ke daun keladi, airnya habis basahnya tiada.

Bila si gadis lari ikut kekasih, orang kata mak ayah
tak mendidik.
Bila si pelajar jadi kaki buli, orang kata cikgu
tak mengajar.
Bila masalah sosial berleluasa, orang kata kerajaan tak ambil peduli.
Macam-macam...

Hakikatnya, kita memang bijak menyalahkan orang lain atau benda lain.
Mengaku silap sendiri? Huh! Jauh panggang dari api. Cacat orang lain lebih jelas di mata daripada cacat sendiri. Bila kita bertanya...

*Kenapa orang Islam sekarang
tak maju-maju?
*Kenapa negara Islam banyak yang porak peranda?

*Kenapa remaja Islam sekarang ramai yang hanyut?

Percayalah, walau apapun bentuk soalan yang diberi, pasti jawapan kebanyakan daripada kita hanya 1, iaitu...
"Propaganda bar
at".

Nampak
tak? Sekali lagi kita menyalahkan orang lain. Kita menyalahkan barat kerana mewujudkan budaya-budaya & trend pelik; kita salahkan barat kerana memonopoli ekonomi hingga negara Islam sukar untuk maju; kita salahkan barat untuk itu dan ini...

Kenapa kita tak salahkan diri sendiri?
*Kita tak maju sebab kita malas berusaha, cuma duduk menanti bantuan saja - hanyut dalam angan-angan.
*Kita porak peranda sebab kita tak bersatu, terlalu mementingkan diri sendiri - tak ada sifat kemasyarakatan.

*Kita hanyut kerana tiada (atau kurang) penghayatan agama, lemah jati diri, kurang moral - Islam hanya pada nama.

Barat yang kerap kita salahkan itu, kita sendiri gelarkan sebagai KAFIR -dah namanya kafir, memanglah tugasnya menyesatkan, melalaikan, memesongkan umat nabi Muhammad saw. Jadi, apa yang nak peliknya? Sepatutnya bila kita dah tahu yang kafir itu menyesatkan, kitalah yang harus lebih berhati-hati, lebih bijak. Ingat... Dalam hidup, yang lemah akan kalah!!

"Jika mereka dapat menguasai kamu, nescaya mereka menjadi musuh yang membahayakan kamu, dan mereka akan membebaskan tangan mereka dan lidah mereka terhadap kamu dengan kejahatan, serta mereka suka kalaulah kamu juga menjadi kafir (seperti mereka)."
- al-Mumtahanah, 60:2 (semak juga ayat 1)

"Ya memang mudah untuk menyalahkan semuanya pada Barat, walaupun hakikatnya diri kita harus di cermin dahulu." - Maher Zain, Awaken (Is Allah Satisfied?)

Walau berapa banyakpun masalah yang berlaku, percayalah... kita takkan dapat belajar apa-apa jika asyik menyalahkan orang lain. Dan jika kita yang tak pandai menari, maka tingkatkanlah latihan dan gandakanlah usaha. Berhenti memberi alasan dan berhenti salahkan papan...

p.s. Bagi saya, bukan semua yang dibawa barat tak baik. Kita cuma perlu bijak memilihnya...

~Wallahu a'alam~

Saturday, January 22, 2011

Kebergantungan...

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam)... (al-Imran,3:103)

Bergantung pada tali Allah... insya Allah takkan sesat. Akan sentiasa terikat, takkan terhambat dek kencang angin walau yang maha kuat.

Minggu lepas adalah antara minggu yang paliiiingg sibuk rasanya. Assignment dah dekat dengan due, pembentangan berderet-deret. Rancangan untuk balik ke rumah terpaksa ditunda. Tapi... bila telefon adik, dia cakap... "Seboleh-bolehnya abah nak kau balik." "Tapi aku sibuk la minggu ni...", saya jawab. Lepas letak telefon, saya fikir balik. Abah sanggup berhabis dalam memberikan yang terbaik buat anak-anaknya. Setiap 1 dari kami, semuanya dilayan dengan adil. Abah berusaha keras untuk menyediakan keperluan kami - hinggakan masa untuk dirinya sendiri sangat terbatas. Ketika memilih, abah tak pernah pentingkan diri sendiri! Kenapa saya harus pentingkan diri di saat perlunya membuat pilihan?! Tiba-tiba hati jadi sayu... (Sayang abah!) Walaupun praktikal di awal pagi Isnin, saya nekad untuk balik lepas exam petang Jumaat. Biarlah balik sekejappun, biarlah semua kerja yang melonggok tu dulu. (Kalau diturutkan memang takkan habis!).

Khamis sebelumnya, saya tempah tiket untuk balik Jumaat. Hish! Ingatkan exam berjam-jam, rupa-rupanya 1 jam saja. Tamat exam, rancangan diubah. Tiket pukul 6 perlu ditukar kepada pukul 5 - supaya tiba sebelum Maghrib. Tapi, keluar dari kampuspun dah pukul 4 lebih. Nak tukar tiket lagi, nak solat Asar lagi... Hati terdetik, "Sempat ke?" Ya Allah, permudahkan semua...

Banyak pula halnya bila nak cepat ni... Terlepas simpang la, macam-macam! Rasa nak marah, tapi sabar, sabar! Sampai terminal dah 4.30, dan kaunter penuh!! (Alamak..!) "Tak pe, tak pe.", bisik hati. "Apa-apapun solat dulu!". Selesai solat saya terus ke kaunter, dan bas pukul 5 masih ada tempat kosong. Bila pergi dekat bas, orang dah mula naik tapi, saya pergi beli air sekejap. Datang semula, driver kata bas dah penuh. Aik? Saya jadi keliru, baspun pergi. Yang peliknya... Saya tak rasa kecewa sangat. Hati berkata, "Tak apa, dah usaha. Tak ada rezeki."

Saya pergi beli makanan (kononnya sementara tunggu bas pukul 6 tu). Tapi, kemudian sampai 1 bas berlabel "Temerloh". Aik? Tadi bas mana? Hehe... Rupa-rupanya saya tak terlepas bas!!

Percaya atau tidak, semuanya berlaku dalam masa 1/2 jam & saya dapat naik bas pukul 5! Nikmatnya bila kita sentiasa mendahulukan yang wajib, berkat. Yang mustahilpun jadi nyata. Saya dah usaha selayaknya, saya doa semampunya, saya tawakal sebaiknya, saya tunaikan yang hak - Kerana itu, tika saya rasa gagal (ditinggal bas), saya tak sedih. Hati terpujuk sendiri. Dan Allah itu maha adil... penunai doa. Kebergantungan pada tali Allah yang sentiasa "terjuntai" bagi semua, tak pernah merugikan.


p.s. moga amalanku & amalanmu sentiasa diterima-Nya... (Amin.)
~Wallahu 'alam~

Sunday, January 9, 2011

Warkah buat-Mu II

Atas nikmat yang terlimpah,
Atas rahmat yang tercurah,
Atas nama-Mu yang maha penyayang lagi pemurah.

Hembusan demi hembusan nafas yang belum terhenti,
Degupan demi degupan jantung yang masih berterusan,
Hari demi hari yang tetap setia berputar,
Pada anugerah-Mu yang tak pernah pudar,
Terima kasih ya Allah!

Demi masa Engkau bersumpah,
Ia kan pergi dan takkan kembali,
Bagi setiap detik yang berlalu,
Isinya hadiah yang terindah,
Pengalaman hidup adalah ajaran dari-Mu,
Yang mendewasakan ku,
Terima kasih ya Allah!

Bagi setiap kesedihan yang terkandung di dalamya,
Bagi setiap kegembiraan yang terselit di celahnya,
Pahitnya, manisnya, dukanya, sukanya...
Mendidik aku untuk menjadi seorang insan.
Satu lagi pengajaran dari-Mu kepadaku,
Kau buatku berfikir bagi setiap satunya,
Kau jadikan ku lebih kuat, tabah.
Kau sedarkan aku agar mengerti,
Bahawa hidup ini tak selalunya indah,
Terima kasih ya Allah!

Walau banyak yang takku dapat,
Dalam redha-Mu lebih banyak yang ku kecap.
Bagi tahun-tahun yang berlalu,
Kau mengajarku erti setiap kejadian,
Yang menjadikan aku "hidup" di dalam kehidupan.
Satu anugerah yang paling bererti... Terima kasih atas kehidupan yang diberi!

Seperti kata pesuruh-Mu, Muhammad saw:
"Sebaik-baik manusia menurut pandangan Allah (Islam) ialah orang yang panjang umurnya dan baik pula perbuatannya, sedang seburuk-buruk manusia ialah orang yang panjang umurnya tetapi buruk pula perbuatannya"
(Ahmad dan al-Hakim).


Semoga hidup semakin bermanfaat,
Yang kedatangannya azimat, kehilangannya pengingat.

p.s. Selamat ulang tahun kepada semua sahabat-sahabatku... hidup adalah anugerah terindah. Jalanilah dan hargailah setiap satu isinya... Wallahu 'alam~

Thursday, January 6, 2011

Aku, Kamu & Dia...



Aku...
Mencari sinar di hati dalam kegelapan malam.
Dalam renyai hujan tangisku deras,
Hatiku takut, jiwaku resah,
Perasaan... terumbang-ambing,
Takut, ya mungkin itulah.
Ancaman nerakanya,
Keabadian syuganya.
Imanku bak di pasaran saham,
Kerana aku manusia yang penuh lalai,
Sekali bah, sekali pantai berubah.
Namun... walau sehebat mana arus merempuh,
Pantai tetap pantai,
Dan aku tetap aku,
Hanya satu harapan menggunung,
Kepada Tuhan janganku berpaling.

Kamu...
Terlalu jauh dariku,
Selaju masa berputar,
Kau tak mampuku kejar.
Kau berubah dari asalmu yang indah.
Dunia... memang manis untuk remaja,
Hiburan, keseronokkan, usia muda itulah,
Mengapa kau berubah?
Hebat sangatkah dunia hingga kau melatah?
Kamu kesayanganku,
Jangan tertipu dengan kecantikkan,
Usah tergoda dek kelalaian, kealpaan...
Moga pada Tuhan tidak kau berpaling.

Dia...
Kebesaran-Nya seindah nama-nama-Nya,
Tanda demi tanda terjadi,
Khazanah demi khazanah diberi.
Hembusan nafasmu, nafasku,
Degupan jantungmu, jantungku,
Hiburanmu, air mataku,
Milik-Nya lah semua.
Maka nikmat Dia yang mana kita dustakan?
Ujian, kunci kesabaran.
Kesabaran... tandanya iman.
Moga hadirnya kita dalam kehidupan bertuhan,
Tak pernah sia-sia.
Tepuk dada, tanya hati,
Hampirkah aku dengan Dia?
Ingatkah kamu pada Dia?
Sama-sama bangkitkan iman.
~Wallahu a'lam~

Popular Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...