Buat duit online

Thursday, September 8, 2011

Berkelana Mencari Ilmu...

Alhamdulillah...Syukur kepada Allah swt yang telah memberikan kesempatan kepada saya untuk melangkahkan kaki semula di Bumi UIAM, Kuantan yang tercinta.

Daripada Anas b Malik ra, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim." (HR Ibn Majah & Abu Ya'la)

Di mana ada ilmu terlimpah, ke situ kaki melangkah.
Berkelana mencari ilmu... bagaikan 1 lumrah yang hakiki kepada setiap insan, baik lelaki mahupun perempuan. Siapalah diri ini tanpa ilmu & pengetahuan? Ilmu yang bermanfaat adalah kunci kejayaan, kejayaan adalah kunci kesenangan & kesenangan kunci terhindarnya kekufuran.

Abah saya pernah bercerita (dari sumber yang beliau percayai), katanya... Saudari-saudari se-Islam kita dari Indonesia (yang datang ke Malaysia tanpa izin dengan tujuan mencari rezeki) dikehendaki meninggalkan telekung mereka. Kalau ada yang bawa, telekung itu akan dicampakkan oleh tekong bot ke laut. Alasan yang diberi memang tak munasabah tapi mungkin itulah hakikatnya- kalau bersolat, orang Cina takkan ambil berkerja. Logik juga... ekonomi kita memang dikuasai mereka, jadi mereka yang ramai mengambil buruh luar. Tanpa solat, mudah saja untuk lupa pada agama.

1 lagi kisah... lebih menyayat hati. Abah saya pernah berjumpa dengan seorang pekerja wanita Indonesia yang beragama Islam, telah dipaksa berkahwin dengan majikannya yang bukan beragama Islam. Waktu itu, nasi telah menjadi bubur. Mereka sudahpun bertahun-tahun kahwin, sudah beranak -pinak. Abah bertanya kepada wanita tersebut, tahu tak perbuatannya itu hukumnya haram. Dia jawab tahu, cuma dia terpaksa. Kalau tak kahwin, dia akan dihantar pulang ke Indonesia. Datangnya ke Malaysia sudah berhutang, jika dihantar pulang pasti bertambah hutangnya, sedangkan dia gagal mencari nafkah di negara sendiri. Nampak tak? Dia menjual agamanya demi wang untuk meneruskan hidup (ya Allah, minta dijauhkan!)

Disitulah pentingnya ilmu, dunia & akhirat.
Dan yang pastinya, hadirku di bumi UIAM ini bukanlah untuk menuntut ilmu dunia semata-mata.
Ilmu dunia penting demi kemajuan diri, agama & negara.
Ilmu akhirat penting demi keselamatan diri & masyarakat.
Tanpa ilmu dunia masyarakat akan miskin, negara akan mundur.
Tanpa ilmu akhirat diri mudah terpesong, masyarakat boleh rosak.
Kerana hidup ini hanya sekali, maka usahlah ia sia-sia!

Daripada Sa'ad b Abu Waqqas ra, Nabi saw bersabda, "Kelebihan ilmu lebih aku sukai daripada kelebihan ibadat. Kebaikan dalam agama kamu ialah warak." (HR al-Hakim)

Daripada Abu Darda' ra, Nabi saw bersabda, "Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para nabi. Nabi-nabi pula tidak mewariskan dinar & dirham. Mereka mewariskan ilmu. Siapa yang mengambilnya ia telah mendapat bahagian yang banyak & sempurna." (HR Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah & Ibn Hibban)

Pesan abah sewaktu di dalam kereta tadi, carilah ilmu seikhlas hati. Niatkan lillahi ta'ala. Jihadkan diri dalam mencari ilmu - demi Allah, agama, masyarakat & negara. Insya Allah jika mati ketika berkelana mencari ilmu, nilainya syahid.

Daripada Abu Hurairah ra, Nabi saw bersabda yang bermaksud, "Apabila seseorang mati terputuslah amalannya melainkan 3; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat & anak soleh yang mendoakannya." (HR al-Tirmizi)

Kerana umat Islam adalah yang terbaik, maka pastikanlah ilmu kedap di dada & bermanfaat kepada semua... agar dihormati bangsa lain, agama lain. Bangsa yang berilmu & beragama akan menjadi bangsa pemerintah yang komprehensif, kompetatif & mulia.

p/s. lihat 6 syarat-syarat menuntut ilmu yang digariskan oleh Imam al-Syafie di Menjejak Khazanah Ilmu.

wallahua'lam~~

0 comments:

Popular Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...