Buat duit online

Tuesday, August 3, 2010

Saat dia datang lagi...

Salamu a’laik…

Saat dia datang lagi…
Terasa sedih dan sayu tika mendapat tahu akan perkara ini. Semuanya datang secara tiba-tiba. Betapa tak pernah disangka, namun semuanya telah diduga cuma tidak secepat ini. Banyak sungguh rahsia Allah… subhanalllah!
Sesungguhnya setiap yang bermula pasti akan tamat. Setiap yang tercipta pasti akan hancur. Setiap yang benyawa pasti akan mati. Ya, mati. Saya, awak… kita semua akan mati. Persoalannya bila?

Bila?? Hmm… hari-hari kita mengira. “Bilalah nak sampai hari lahir aku ni?” Tapi bila tiba tarikh lahir kita, pernahkah kita berfikir tentang kehidupan kita selama ini? Pernahkah kita bersyukur kerana masih diberi peluang untuk “meraikan” hari lahir kita sekali lagi? Pernahkah kita merasa takut kerana hari demi hari, kita sebenarnya semakin menghampiri mati...

Baru kelmarin keluarga kami dikejutkan dengan berita pemergian mak long (sebelah abah), akibat daripada komplikasi diabetis. Menerusi telefon, mak memberitahu bahawa mak long telah dimasukkan ke hospital. Mak juga menceritakan tentang keadaan mak long yang semakin teruk. Diabetisnya yang sudah melarat telah menyebabkan dia hilang penglihatannya. Saya tahu, mak long pasti merasa sangat takut saat itu. Selepas solat zohor, kepada Allah swt, saya panjangkan doa buat mak long…

“Ya Allah, jika sakit yang Kau beri kepada mak long merupakan 1 ujian, maka aku mohon, ya Allah… berikan dia kekuatan, kesabaran, keikhlasan dan keredaan dalam menghadapi ujian-Mu. Namun, jika sakit itu merupakan 1 tanda bahawa dia harus pergi, maka aku mohon kepada-Mu, ya Allah… Mudahkan urusannya untuk kembali kepada-Mu & berikan kepadanya kekuatan, kesabaran, keikhlasan serta keredaan untuk menempuhinya.”

Sungguh, betapa Allah swt menepati janji-janjinya. Mak long telah menghebuskan nafas terakhirnya pada malam hari pertama dia di wad. Innalillah… dari Dia kita datang, kepada-Nya kita pulang.

“Dan setiap umat mempunyai ajal (batas waktu). Apabila ajalnya tiba, mereka tidak dapat meminta penundaan atau percepatan sesaatpun.” (Al-A‘raf,7:34) -Allah swt berulang kali menegaskan perkara yang sama di dalam Yunus, 10:49; al-Hijr,15:5; al-Nahl, 16:61 dan Nuh,71: 4 serta beberapa ayat lain.

Sesungguhnya, kematian yang lain merupakan peringatan buat yang lain. Bahawasanya, harta berbondong-bondong yang dicari setiap hari, kedudukan tinggi yang diperoleh atau diwarisi hanya akan kekal di dunia. Dimana saat dia datang lagi, semuanya akan ditinggalkan dibelakang. Tika dia, Izrail datang lagi dengan membawa perintah Allah swt semua yang telah diusahakan oleh seorang anak Adam itu akan lenyap darinya kecuali 3 perkara. Doa anak yang soleh, amal jariah dan sedekah.

Maka, didiklah anak agar menjadi anak mithali yang sentiasa mendoakan kebahagiaan & kesejahteraan orang tuanya. Bersolatlah 5 waktu kerana tanpa solat, amal yang setinggi gunungpun tak diambil kira. Dan bersedekahlah kerana sedekah itu merupakan harta kita yang sebenar dan saham kita di akhirat kelak.

Wallahua’lam…

p.s. Semoga Allah swt melimpahkan rahmat & rahim-Nya ke atas roh mak long. Amin...

0 comments:

Popular Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...