Buat duit online

Monday, July 26, 2010

Nabi kata, lebih wangi daripada misik!"

Salam' alaik....

Sedar tak sedar... bulan Sya'ban dah hampir ke penghujungnya... Bakal tiba tak lama lagi ialah Ramadhan. Ya, Ramadhan...
Mendengarkan tentang Ramadhan, pasti ada berbagai persepsi yang bakal terlahir dari mulut setiap muslim...
Mungkin ada yang kata, "Ya Allah, terima kasih kerana menemukan aku dengan Ramadhan sekali lagi."
Mungkin juga ada yang kata, "Ramadhan kali aku akan cuba manfaatkan sebaik-baiknya!"
Tak kurang juga ada yang kata, "Ramadhan kali ni aku nak khatam quran dan pergi tarawikh tiap-tiap malam."
Tapi mungkin juga akan ada yang kata, "Alamak, Ramadhan datang lagi? Kenapalah tiap-tiap tahun kena puasa?"
Atau ada juga yang kata, "Puasa kali ni nak buka kat mana, ek?"
Bagi yang berpandangan jauh, boleh juga kata, "Raya kali ni aku nak beli kuih 10 jenis, baju raya 5 pasang. Beli di mana murah?"
Lebih dasyat lagi bila ada yang kata, "Mana port aku nak ponteng puasa tahun ni, ek?"

Hmm... ragam manusia ni macam-macam. Kalau dah sebab "Islam" tu diwarisi turun-temurun...
Masya Allah. Semoga tahun ini, untuk Ramadhan kali ini, golongan-golongan (bertulisan kuning di atas) semakin berkurangan. Dan semoga saya tidak digolongkan dalam kalangan golongan tersebut. Amin...

Kalaulah setiap manusia sedar akan hakikat kehebatan puasa semasa Ramadhan ni, pasti... pasti tiap-tiap malam surau dan masjid akan penuh dengan jemaah-jemaah yang menunaikan tarawikh. Atau kalau kaki rasa berat sangat nak ke masjid, tarawikh di rumahpun jadilah (lebih baik daripada tak buat langsung). Pasti semua orang akan mengaji Quran, bertadabbur, berzikir, bermunajat... sampai kering air liur.

Dalam 1 buku yang saya baca, penulis menekankan bahawa puasa yang diwajibkan di bulan Ramadhan adalah bertujuan untuk menguji umat Islam. Setiap orang diberi ujian yang sama yakni berpuasa di bulan Ramadhan. Menahan lapar, dahaga dan nafsu di siang hari selama 1 bulan. Yakinlah bahawa Allah swt sedang menguji kita. Keinsafan, kesabaran, keikhlasan semuanya... Kata baginda nabi, "Sesiapa yang melaksanakan puasa Ramadhan dengan keimanan dan keikhlasan akan diampuni dosa-dosa yang telah lalu." Dosa terampun! Percuma saja... tak perlu susah-susah...

Selain itu, sistem pencernaan kita juga dapat direhatkan dan dibersihkan serta kandungan toksik dalam badan juga dapat dikurangkan. Jadi, bukankah dengan berpuasa kita dapat menjadi lebih sihat? Tambahan lagi, puasa bukanlah bertujuan untuk membataskan aktiviti seseorang bahkan untuk memberi kegembiraan dan kebahagian pada semua. Kata nabi lagi, "Orang yang berpuasa memiliki 2 kegembiraan. Kegembiraan saat dia berbuka dan kegembiraan saat dia bertemu Tuhannya."

Malahan dalam bulan Ramadhan juga al-Quran telah diturunkan dari langit (nuzul Quran, 17 Ramadhan) - Semak al-Baqarah, 2:185. Tak lupa juga pada penghulu segala malam, Lailatul Qadar yang penuh keberkatan dan ganjaran pahala bagi malam itu menyamai pahala bagi 1000 bulan. Doa orang yang berpuasa juga akan dimakbulkan. Sabda Rasulullah saw, "3 doa tidak ditolak. Doa seorang bapa, doa orang berpuasa dan doa orang dalam musafir." (riwayat al Baihaqi).

Malahan juga diriwayatkan dalam 1 hadis nabi, riwayat Bukhari bahawa di syurga nanti ada 1 pintu khas untuk orang-orang yang berpuasa memasuki syurga (di hari kiamat kelak). Dikatakan bahawa tidak ada orang lain selain daripada orang yang berpuasa akan diizinkan masuk melaluinya dan ia akan tertutup rapat setelah semua yang berpuasa masuk. Itulah pintu yang dinamakan al-Rayyan (dari perkataan al-Rayy yang bermaksud melepaskan dahaga). Macam vip kan? Ada pintu khas untuk masuk syurga!

Pintu-pintu syurga akan terbuka luas manakala pintu-pintu neraka akan tertutup rapat. Iblis dan syaitan juga akan dirantai. Apa lagi galakan dan ganjaran yang kita perlukan untuk berpuasa seikhlas hati? Walau hanya 1 hari berpuasa, kita sudah dapat merasakan 1 nikmat yang luar biasa ketika berbuka (walaupun dengan segelas air kosong)... jadi dapatkah anda bayangkan nikmat yang lebih besar menanti jika kita berpuasa lillahita'ala selama 1 bulan? Fikirkan sendiri...

p.s. Sabda baginda Rasulullah saw, "Demi zat yang menguasai jiwaku, Nescaya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah swt daripada minyak misik (kasturi)!" (hadis Qudsi)
wallahua'lam...

0 comments:

Popular Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...