Buat duit online

Saturday, July 10, 2010

Warkah buat-Mu...

Setiap kali aku berasa sepi,
Ingatkan aku ya Allah,
Bahawa aku tak pernah sendiri.
Setiap kali aku gembira,
Ingatkan aku ya Allah,
Bahawa hidup ini penuh cabaran.

Setiap kali aku jatuh dan tersungkur,
Bangunkan aku ya Rab,
Tiupkan padaku semangat untuk maju,
Agar jatuh pada kali ke-7 dan bangkit untuk ke-8,
Celikkan mataku pada pintu-pintu lain yang terbuka,
Dan tidak merenung pada pintu yang telah terkunci,
Sesungguhnya aku insan yang lemah ya Rab,
Gagah sekejap goyah berpanjang.

Setiap kali aku leka ya Rab,
Sedarkan aku pada maut,
Ingatkan aku pada tanggungjawabku,
Agar aku hidup bagai seribu tahun berbudi,
Supaya ibadatku bagai mati sedetik lagi,
Buka mindaku untuk kembali ke titi yang lurus,
Hindari aku dari keseronokan duniawi.

Setiap kali aku berasa-rasa,
Ingatkan padaku bahawa segalanya dari-Mu,
Usah amarahku meracun hati,
Jangan takburku memakan diri,
Jauhkan aku daripada dengki dan iri,
Padamkan kecewaku yang menggunung,
Lindungi aku dari kezaliman dunia,
Ingatkan aku ya Rahman,
Ingatkan aku ya Rahim,
Semuanya milik-Mu dan hanya kepunyaan-Mu,
Ingatkan bahawa aku cuma menumpang anugerah-Mu,
Maka tidak layak bagiku untuk berasa-rasa.

Setiap kali aku meminta lagi,
Pada sesuatu yang sangatku mahu,
Pada sesuatu yang sangatku impi,
Namun tak dapatku kecap,
Tidak ia hinggap walau sekejap,
Ingatkan aku ya Rab,
Bahawa usaha itu ditanganku,
Namun ketentuan itu hanya milik-Mu,
Dan jika aku terus meminta,
Merintih dan mendesak,
Ingatkan aku ya Rab,
Bahawa Kau maha mengetahui setiap sesuatu,
Bahawa segala yangku mahu tak semestinya yang terindah,
Bahawa segala yangku benci bukannya tercela.

Dan jika nanti aku berhenti berharap,
Sedarkan aku ya Rab,
Bahawa pada Engkaulah aku perlu terus meminta,
Ingatkan aku pada kuasa doa,
Yang tertuju hanya pada-Mu,
Ingatkan aku ya Rab,
Bahawa Kau ialah sang pencipta,
Tiada yang mustahil bagi-Mu,
Yang mewujudkan segala yang tiada,
Ingatkan aku ya Rab,
Agar terusku memanjatkan doa,
Tanpa henti, tanpa jemu,
Dan ingatkan aku ya Rab,
Bahawa doa itu hanya pada-Mu.

Dan kalau satu hari nanti,
Kau perlihatkan lagi kebesaran-Mu padaku,
Ingatkan aku ya Rab,
Untuk bersyukur pada-Mu,
Ingatkan aku sekali lagi ya Rab,
Bahawa Kau ialah al-Khaliq,
Maha mencipta segala sesuatu,
Ingatkan aku ya Rab,
Agar keajaiban itu mendekatkanku lagi pada-Mu.

Dan tika aku meminta cinta yang lain,
Maka ingatkan aku bahawa ianya fana,
Cinta itu mungkin tertolak dan digelak,
Ingatkan aku ya Rab,
Cinta itu takkan seindah kasih dan sayang-Mu,
Cinta itu tak mungkin sehebat cinta-Mu,
Maka ingatkan aku ya Rab,
Agar cinta itu takkan pernah melebihi cinta pada-Mu,
Moga ia membawaku mendekati-Mu,
Dan moga cintaku padanya adalah kerana agamanya,
Yang tika imannya hilang melenyap,
Maka terpadamlah cintaku padanya.

Dan sesungguhnya ya Rab,
Aku seorang insan yang lemah,
Makaku mohon diperkuatkan semangat,
Agar resmiku sama seperti si padi,
Makin berisi makin menunduk,
Usah resmiku bagai lalang,
Meliuk lentuk ditiup angin,
Mendabik tinggi tatkala berisi,
Ingatkan aku ya Rab,
Untuk terus meminta pada-Mu,
Dan hanya pada-Mu.

Ingatkan aku ya Rab,
Supaya selalu meluruskan niat,
Agar ibadatku, hidupku & matiku,
Hanyalah untuk-Mu.

2 comments:

Anonymous said...

inspiraso ko sendiri nis kan? wahhh.... bestttt ! :)

HUeDA said...

hmmm... ilham dari Allah, ak cuma merealisasikan saja...
klu dah best, sharelah dgn org lain. smg bermanfaat!
ingat untuk mengingat! :)

Popular Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...