Buat duit online

Monday, July 26, 2010

Nabi kata, lebih wangi daripada misik!"

Salam' alaik....

Sedar tak sedar... bulan Sya'ban dah hampir ke penghujungnya... Bakal tiba tak lama lagi ialah Ramadhan. Ya, Ramadhan...
Mendengarkan tentang Ramadhan, pasti ada berbagai persepsi yang bakal terlahir dari mulut setiap muslim...
Mungkin ada yang kata, "Ya Allah, terima kasih kerana menemukan aku dengan Ramadhan sekali lagi."
Mungkin juga ada yang kata, "Ramadhan kali aku akan cuba manfaatkan sebaik-baiknya!"
Tak kurang juga ada yang kata, "Ramadhan kali ni aku nak khatam quran dan pergi tarawikh tiap-tiap malam."
Tapi mungkin juga akan ada yang kata, "Alamak, Ramadhan datang lagi? Kenapalah tiap-tiap tahun kena puasa?"
Atau ada juga yang kata, "Puasa kali ni nak buka kat mana, ek?"
Bagi yang berpandangan jauh, boleh juga kata, "Raya kali ni aku nak beli kuih 10 jenis, baju raya 5 pasang. Beli di mana murah?"
Lebih dasyat lagi bila ada yang kata, "Mana port aku nak ponteng puasa tahun ni, ek?"

Hmm... ragam manusia ni macam-macam. Kalau dah sebab "Islam" tu diwarisi turun-temurun...
Masya Allah. Semoga tahun ini, untuk Ramadhan kali ini, golongan-golongan (bertulisan kuning di atas) semakin berkurangan. Dan semoga saya tidak digolongkan dalam kalangan golongan tersebut. Amin...

Kalaulah setiap manusia sedar akan hakikat kehebatan puasa semasa Ramadhan ni, pasti... pasti tiap-tiap malam surau dan masjid akan penuh dengan jemaah-jemaah yang menunaikan tarawikh. Atau kalau kaki rasa berat sangat nak ke masjid, tarawikh di rumahpun jadilah (lebih baik daripada tak buat langsung). Pasti semua orang akan mengaji Quran, bertadabbur, berzikir, bermunajat... sampai kering air liur.

Dalam 1 buku yang saya baca, penulis menekankan bahawa puasa yang diwajibkan di bulan Ramadhan adalah bertujuan untuk menguji umat Islam. Setiap orang diberi ujian yang sama yakni berpuasa di bulan Ramadhan. Menahan lapar, dahaga dan nafsu di siang hari selama 1 bulan. Yakinlah bahawa Allah swt sedang menguji kita. Keinsafan, kesabaran, keikhlasan semuanya... Kata baginda nabi, "Sesiapa yang melaksanakan puasa Ramadhan dengan keimanan dan keikhlasan akan diampuni dosa-dosa yang telah lalu." Dosa terampun! Percuma saja... tak perlu susah-susah...

Selain itu, sistem pencernaan kita juga dapat direhatkan dan dibersihkan serta kandungan toksik dalam badan juga dapat dikurangkan. Jadi, bukankah dengan berpuasa kita dapat menjadi lebih sihat? Tambahan lagi, puasa bukanlah bertujuan untuk membataskan aktiviti seseorang bahkan untuk memberi kegembiraan dan kebahagian pada semua. Kata nabi lagi, "Orang yang berpuasa memiliki 2 kegembiraan. Kegembiraan saat dia berbuka dan kegembiraan saat dia bertemu Tuhannya."

Malahan dalam bulan Ramadhan juga al-Quran telah diturunkan dari langit (nuzul Quran, 17 Ramadhan) - Semak al-Baqarah, 2:185. Tak lupa juga pada penghulu segala malam, Lailatul Qadar yang penuh keberkatan dan ganjaran pahala bagi malam itu menyamai pahala bagi 1000 bulan. Doa orang yang berpuasa juga akan dimakbulkan. Sabda Rasulullah saw, "3 doa tidak ditolak. Doa seorang bapa, doa orang berpuasa dan doa orang dalam musafir." (riwayat al Baihaqi).

Malahan juga diriwayatkan dalam 1 hadis nabi, riwayat Bukhari bahawa di syurga nanti ada 1 pintu khas untuk orang-orang yang berpuasa memasuki syurga (di hari kiamat kelak). Dikatakan bahawa tidak ada orang lain selain daripada orang yang berpuasa akan diizinkan masuk melaluinya dan ia akan tertutup rapat setelah semua yang berpuasa masuk. Itulah pintu yang dinamakan al-Rayyan (dari perkataan al-Rayy yang bermaksud melepaskan dahaga). Macam vip kan? Ada pintu khas untuk masuk syurga!

Pintu-pintu syurga akan terbuka luas manakala pintu-pintu neraka akan tertutup rapat. Iblis dan syaitan juga akan dirantai. Apa lagi galakan dan ganjaran yang kita perlukan untuk berpuasa seikhlas hati? Walau hanya 1 hari berpuasa, kita sudah dapat merasakan 1 nikmat yang luar biasa ketika berbuka (walaupun dengan segelas air kosong)... jadi dapatkah anda bayangkan nikmat yang lebih besar menanti jika kita berpuasa lillahita'ala selama 1 bulan? Fikirkan sendiri...

p.s. Sabda baginda Rasulullah saw, "Demi zat yang menguasai jiwaku, Nescaya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah swt daripada minyak misik (kasturi)!" (hadis Qudsi)
wallahua'lam...

Saturday, July 10, 2010

Warkah buat-Mu...

Setiap kali aku berasa sepi,
Ingatkan aku ya Allah,
Bahawa aku tak pernah sendiri.
Setiap kali aku gembira,
Ingatkan aku ya Allah,
Bahawa hidup ini penuh cabaran.

Setiap kali aku jatuh dan tersungkur,
Bangunkan aku ya Rab,
Tiupkan padaku semangat untuk maju,
Agar jatuh pada kali ke-7 dan bangkit untuk ke-8,
Celikkan mataku pada pintu-pintu lain yang terbuka,
Dan tidak merenung pada pintu yang telah terkunci,
Sesungguhnya aku insan yang lemah ya Rab,
Gagah sekejap goyah berpanjang.

Setiap kali aku leka ya Rab,
Sedarkan aku pada maut,
Ingatkan aku pada tanggungjawabku,
Agar aku hidup bagai seribu tahun berbudi,
Supaya ibadatku bagai mati sedetik lagi,
Buka mindaku untuk kembali ke titi yang lurus,
Hindari aku dari keseronokan duniawi.

Setiap kali aku berasa-rasa,
Ingatkan padaku bahawa segalanya dari-Mu,
Usah amarahku meracun hati,
Jangan takburku memakan diri,
Jauhkan aku daripada dengki dan iri,
Padamkan kecewaku yang menggunung,
Lindungi aku dari kezaliman dunia,
Ingatkan aku ya Rahman,
Ingatkan aku ya Rahim,
Semuanya milik-Mu dan hanya kepunyaan-Mu,
Ingatkan bahawa aku cuma menumpang anugerah-Mu,
Maka tidak layak bagiku untuk berasa-rasa.

Setiap kali aku meminta lagi,
Pada sesuatu yang sangatku mahu,
Pada sesuatu yang sangatku impi,
Namun tak dapatku kecap,
Tidak ia hinggap walau sekejap,
Ingatkan aku ya Rab,
Bahawa usaha itu ditanganku,
Namun ketentuan itu hanya milik-Mu,
Dan jika aku terus meminta,
Merintih dan mendesak,
Ingatkan aku ya Rab,
Bahawa Kau maha mengetahui setiap sesuatu,
Bahawa segala yangku mahu tak semestinya yang terindah,
Bahawa segala yangku benci bukannya tercela.

Dan jika nanti aku berhenti berharap,
Sedarkan aku ya Rab,
Bahawa pada Engkaulah aku perlu terus meminta,
Ingatkan aku pada kuasa doa,
Yang tertuju hanya pada-Mu,
Ingatkan aku ya Rab,
Bahawa Kau ialah sang pencipta,
Tiada yang mustahil bagi-Mu,
Yang mewujudkan segala yang tiada,
Ingatkan aku ya Rab,
Agar terusku memanjatkan doa,
Tanpa henti, tanpa jemu,
Dan ingatkan aku ya Rab,
Bahawa doa itu hanya pada-Mu.

Dan kalau satu hari nanti,
Kau perlihatkan lagi kebesaran-Mu padaku,
Ingatkan aku ya Rab,
Untuk bersyukur pada-Mu,
Ingatkan aku sekali lagi ya Rab,
Bahawa Kau ialah al-Khaliq,
Maha mencipta segala sesuatu,
Ingatkan aku ya Rab,
Agar keajaiban itu mendekatkanku lagi pada-Mu.

Dan tika aku meminta cinta yang lain,
Maka ingatkan aku bahawa ianya fana,
Cinta itu mungkin tertolak dan digelak,
Ingatkan aku ya Rab,
Cinta itu takkan seindah kasih dan sayang-Mu,
Cinta itu tak mungkin sehebat cinta-Mu,
Maka ingatkan aku ya Rab,
Agar cinta itu takkan pernah melebihi cinta pada-Mu,
Moga ia membawaku mendekati-Mu,
Dan moga cintaku padanya adalah kerana agamanya,
Yang tika imannya hilang melenyap,
Maka terpadamlah cintaku padanya.

Dan sesungguhnya ya Rab,
Aku seorang insan yang lemah,
Makaku mohon diperkuatkan semangat,
Agar resmiku sama seperti si padi,
Makin berisi makin menunduk,
Usah resmiku bagai lalang,
Meliuk lentuk ditiup angin,
Mendabik tinggi tatkala berisi,
Ingatkan aku ya Rab,
Untuk terus meminta pada-Mu,
Dan hanya pada-Mu.

Ingatkan aku ya Rab,
Supaya selalu meluruskan niat,
Agar ibadatku, hidupku & matiku,
Hanyalah untuk-Mu.

Friday, July 2, 2010

Couple? Haram tu...

Assalammua'alikum...
Salam perangsang minda disaat-saat dunia diambang keruntuhan akhlak. Dimanakah kita agaknya?

Baru-baru ini ada seorang kawan lama saya yang minta dinasihatkan kerana katanya, secara tiba-tiba dia berkeinginan untuk couple. Bagus betulkan? Keinginannya untuk bercinta telah mendorongnya untuk berfikir tentang baik buruknya perbuatan tersebut. Akhirnya, dia menafikan kehendaknya itu. Malangnya, kebanyakan daripada kita tidak akan buat begitu. Ramai yang berkata, "kalau nak couple, couple je la. Apa salahnya?"

"Apa salahnya?"
Itulah masalahnya. Islam menggariskan panduan dalam pergaulan seharian umatnya. Couple itu salah disisi agama. Malahan, bercouple adalah bunga-bunga zina.Tidak ada istilah "berdua" antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim melainkan yang ketiganya ialah syaitan. Nabi saw kata, janganlah kamu mendekati zina.

"Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk." (al-Isra', 17 : 32)

Nak dekat dengan zinapun tak boleh, apatah lagi nak berzina. Cuba fikir, tengah solatpun syaitan boleh kacau kita, apatah lagi kalau kita tengah dekat dengan zina? Kan lagi bahaya? Ingat! Kita ni bukannya sekuat yang kita sangka. Bercouple boleh menyebabkan kita terlanjur, dan sekali terlanjur... sangatlah susah utntuk berpatah balik. Ingat sahabat! Allah swt kata, perempuan yang baik hanya untuk lelaki yang baik, lelaki yang baik hanya untuk perempuan yang baik. Jadi, kalau satu hari nanti kita ingin bernikah dengan seseorang yang suci dirinya daripada noda, yang pandai menjaga maruah diri... kita juga harus menjaga diri (dari sekarang) agar bersih daripada zina yang dibenci Islam ini.



Ada ke istilah "couple tapi tak berzina"? Kalau dah namanya couple @ berpasangan... dah tentunya kombo sekali dengan zina. Kalaupun zina mata, tangan, mulut dan telinga boleh dijaga, zina hati itu mesti ada... pasti ada. Itulah zina yang paling susah untuk dibuang. Tipulah kalau ada yang kata dia bercinta tapi tak buat zina hati. Ya ke? Bayangkan, orang yang bercinta ni paling-paling sempoipun 1 sms jiwang mesti ada dalam sehari tu - tu dah zina hati. Tengah duduk lepak-lepak kat rumah tetiba hati teringatkan si dia, siap terbayang lagi dia tengah buat apa, rindu-rindu lagi - tupun dah zina hati. Hati kita ni rapuh sangat. Hati nabi sawpun dicuci oleh malaikat Jibrail and Mikail bagi menjamin kebersihannya, inikan pula hati manusia biasa yang tak pernah dicuci. Bayangkan saja kekotoran yang melekat...

Memang berat untuk melawan kehendak untuk berpasangan. Naluri manusia ingin sentiasa dicintai dan mencintai. Anugerah itu sangat indah, tapi kalau asas cinta yang dibina itu sudah salah, sudah pasti cinta yang berdiri kelak juga salah. Perkara yang diharamkan takkan pernah menjadi halal walau apa cara sekalipun. Utamakanlah cinta kepada Allah swt, kerana itu adalah cinta hakiki, cinta yang tak mungkin ditolak.

Jadi mulakanlah perubahan daripada sekarang. Jika sudah bercouple, jangan fikir lagi, hentikanlah. Jangan tunggu hingga ada kekuatan. Kekuatan itu takkan hadir sendiri, ikhtiarkannya dan pupuklah. Cinta tanpa keredaan-Nya adalah cinta yang sia-sia. Mungkin ada yang akan menyindir, "Alah, dia tu tak nak couple ke, tak laku?" Mulut orang lain bukan macam mulut tempayan yang boleh kita tutup bila-bila masa saja. Cuba fikir, berbaloikah untuk kita mendekati zina semata-mata takut digelar 'tak laku'? Usah terlalu memikirkan kata-kata orang, kerana bukan mereka yang menentukan pahala dosa kita. Sudah jelas couple itu haram dan semua yang membawa kepada perkara yang haram juga adalah haram. Jadi, mengapa perlu dipersoalkan lagi?

p.s. Allah swt takkan mengubah nasib sesuatu kaum sebelum mereka mengubah nasib mereka sendiri. Usahalah dan kumpullah kekuatan untuk KATAKAN TIDAK PADA COUPLE. Lakukanlah anjakan paradigma demi kebaikan diri sendiri.

Popular Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...