Buat duit online

Wednesday, April 14, 2010

hati yang mati...


Salammua'laik...

Seronok rasanya bila cuti semester sudah bermula. Hmm... hari yang dinanti-nanti telahpun tiba. Permulaannya agak baik. Kelmarin, saya baru saja balik daripada menghadiri Kem Iflah II anjuran Persatuan SLUe (UIAM) di Kem Kalumpang, Hulu Selangor. Seronok sungguh rasanya dapat berkenalan dengan kawan-kawan yang datang daripada seluruh pelusuk dunia (yang juga merupakan pelajar UIA Gombak). Di kampus Kuantan kurang orang luar (foreigners).

Apa-apapun perkara yang hendak dikongsikan hari ini ialah tentang isi tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Warso Winata. 'Kamu begitu istimewa' (You are very special) dan 'Kebenaran hidup di dunia ini' (The truth of life of this world), itulah tajuk kedua-dua tazkirah yang diberikan. Penyampaiannya padat dan mengagumkan!

Perkara yang dapat disimpulkan ialah, ternyata hidup kita di dunia ini telah menjadikan kita sebagai insan yang istimewa dalam cara kita yang tersendiri. Setiap insan mempunyai kelebihan dan kelemahan yang perlu dipelihara dan dipulihara. Katanya, kita harus bersyukur kerana diberi peluang untuk belajar dengan selesa disaat saudara-saudara kita yang lain terpaksa belajar di atas tanah, merana akibat kebuluran dan peperangan.

Ustaz Warso juga membangkitkan persoalan-persoalan yang menarik. Persoalannya membuatkan pandangan mata hati terbuka luas, bertapa kita "tidak sedar" dengan perkara yang berlaku disekeliling kita.

"Apa perkara yang paling besar?" > NAFSU
"Apa perkara yang paling jauh?" > MASA LEPAS
"Apa perkara yang paling dekat?" > MATI
"Apa perkara yang paling berat?" > AMANAT
"Apa perkara yang paling ringan" > MENINGGALKAN SOLAT

Menakjubkan bukan? kita seringkali lupa dan lalai dengan hakikat ini, namun inilah kenyataanya. Bila ditanya, kita lebih cenderung untuk memberikan jawapan-jawapan seperti gunung Everest (paling besar), bintang (paling jauh), ahli keluarga (paling dekat), ikan paus (paling berat) dan mungkin juga kapas (paling ringan). Namun, sebenarnya semua jawapan tersebut cuma berkitar disekeliling kita! Subhanallah... masih banyak lagi yang kita tidak ketahui...

Ketika berbicara tentang doa, ustaz Warso berkata, telah ditulis dalam Ihya Ulum al-Din, Kitab Sharh Aja'ib al-Qalb, ketika ditanya kapada Ibrahim b Adam... "Kenapa doaku tidak dijawab?". Ibrahim b Adam menjawab dengan ringkas, "Sebab hati awak mati."

HATI YANG MATI? Apa yang dikatakan sebagai 'hati yang mati?' Kenapa hati itu mati?
Hati itu dikatakan mati apabila empunya hati itu...
>> Tahu hak Allah swt ke atas dirinya tetapi tidak memenuhi hak tersebut.
>> Membaca al-Quran tetapi tidak bertindak dan berkelakuan mengikutnya.
>> Suka pada Nabi Muhammad saw tetapi tidak mengikut ajaran dan sunnahnya.
>> Mengakui bahawa diri takut pada neraka tetapi melakukan perkara-perkara yang mendekatkan diri kepadanya.
>> Mengakui sukakan syurga tetapi tidak berusaha mendapatkannya malah melakukan sebaliknya.
>> Mengikuti bisikan syaitan dan berbuat dosa serta tidak patuh kepada Allah swt.

BAGAIMANA PULA UNTUK MELUASKAN HATI? AGAR HATI TAK MATI? Asasnya sama, mudah saja (pasti tak semudah yang dikata).
>> Penuhkan iman di dada, serahkan segala-galanya (total submission).
>> Percaya bahawa hidup ini hanyalah satu ujian (dan berkelakuan sesuai dengannya).
>> Percaya bahawa semua yang ada di dunia ini adalah betul dan benar (sebab Allah swt itu maha mengetahui).

Pesannya, yang penting... IKHTIAR, DOA, TAWAKAL...

SESUNGGUHNYA ALLAH SWT MEMBENTANGKAN TANGANNYA PADA WAKTU MALAM KEPADA ORANG YANG MELAKUKAN KESALAHAN DI SIANG HARI...
DAN DIA MEMBENTANGKAN TANGANNYA PADA WAKTU SIANG KEPADA ORANG YANG MELAKUKAN KESALAHAN DI MALAM HARI, SEHINGGALAH MATAHARI TERBIT DARI BARAT ...

P/s. Dapat juga merasa Qorma (masakan Afghanistan). Tak sangka budak-budak lelaki Afghan tu pandai masak walaupun resepi diorang boleh dikatakan 'hentam kromo' saja...

0 comments:

Popular Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...