Buat duit online

Saturday, August 20, 2011

Berpantang maut...

Nabi Muhammad saw., bersabda, "Perbanyaklah mengingat pemutus segala kenikmatan duniawi (kematian)."

Kata seorang sahabat saya, "Malang tidak berbau, mujur tidak berbunyi..."
Siapa sangka perjalanan yang awalnya lancar & tenang akan berakhir dengan tragedi? Maha suci Allah yang bijak mengatur & mencatur segalanya. Sesungguhnya dengan nama-Mu ya Allah, aku redha…

Kami dalam perjalanan pulang dari UIAM Kuantan, sejurus saja habis praktikal di Klinik Pendengaran UIAM pada hari Jumaat lepas (19/08/11). Segalanya baik, sekurang-kurangnya lancar sehinggalah susur keluar Lebuhraya Chenor. Sampai di kawasan Jengka 19 (lebih kurang 4.30 ptg), ketika menghampiri sebuah lori pasir 10 tayar (dari arah bertentangan), tiba-tiba saja tayar depan (bawah pemandu) lori itu tercabut... lantas menuju laju ke arah kami. Masya Allah, jalan yang sempit & jarak antara lori & kereta yang sudah terlalu dekat (dalam 5-6 m) membuatkan mustahil bagi saya untuk mengelak tayar yang bergolek laju, masuk ke jalan kami.


Saya cuma sempat brek & menghimpit sedikit ke tengah jalan dengan harapan tayar itu akan terus terpesong ke kiri bahu jalan serta tidak akan melanggar kami. Tapi adalah mustahil bagi saya untuk mengelak kedua-duanya sekali (lori & tayar yang tercabut tu)... Maka, innalillahi wainna ilaihi roji'un. Gang!!! Hentakan kuat membuatkan kereta terhenti serta-merta. Tayar itu menghentam bahagian depan kiri kereta. Allahuakbar!! Saya tersentak. Saya toleh ke arah kawan yang duduk di sebelah, dia ok, saya ok. Enjin masih hidup, tapi gear jam terus. Saya melangkah keluar ke depan kereta, subhanallah! Habis terbarai semua, bumper tercabut, kemek... Saya berjalan ke arah lori yang berjaya diparkir ke bahu jalan, pemandunya baru selesai membuat panggilan telefon.


Syukur Alhamdulillah… Ramai penduduk kampung yang datang membantu. Setelah mengambil gambar, mereka menolak kereta ke tepi kerana mengganggu lalu lintas. Polis dari Maran... lambat sangat sampainya.

“... (Mereka berdoa): "Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepadaMu).” (al-A’raaf:126)

Allah berfirman: "Wahai orang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." (Ali Imran, 3 : 102)

Berpantang maut sebelum ajal…

Saya bersyukur kerana kami berdua terselamat, tidak ada sebarang lebam & calarpun. Saya cuma terbayangkan, kalaulah tayar tadi menuju terus ke arah kami, dalam keadaannya yang laju, tidak mustahil untuknya memanjat naik ke atas bumper & memecahkan cermin depan kereta. Kalau itu terjadi, masya Allah... sesungguhnya aku berserah saja pada Kau, ya Allah!

Walau kita di mulut harimau sekalipun, walau kita sudah patah riuk sekalipun, kalau Allah kata ajal kita belum tiba, maka pasti kita akan terus bernafas (insya Allah). Sedangkan jika kita berada di tempat yang paling selamat sekalipun, mahupun menyorok dalam peti besi (kerana takut mati), kalau Allah kata ajal kita sudah tiba, maut pasti tidak akan gagal menjenguk kita. Maka sesungguhnya ya Allah, aku bersyukur pada kesempatan yang Kau masih beri.

“Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa (orang) yang belum mati di waktu tidurnya; maka Dia tahanlah jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir.” (az-Zumar:39)

p.s. Dapat juga merasa buka puasa dibalai polis (azan Maghrib berkumandang masa tengah buat laporan polis). Dan jangan lupa pakai tali pinggang keledar ya, memang sangat, sangat, saaaaangat... berguna (tak dapat bayang keadaan kami kalau tak pakai tali pinggang keledar tu)...

wallahua'lam~~

Saturday, August 13, 2011

Tangan yang terhulur...


"Orang yang bersifat kasihan, dikasihi oleh Yang Maha Mengasihani. Kasihanilah mereka di bumi nescaya yang di langit akan mengasihani kamu." - (HR Abu Daud & al-Tirmizi)

Lumrah manusia memang suka berbelanja. Belanja untuk pakaian, perapi diri, hiasan rumah, gadget & sebagainya. Duit gaji/elaun yang diterima setiap bulan kadang-kadang habis begitu saja. Lebih malang lagi, kadang-kadang duit kita sampai negatif bakinya (berhutang). Hutang kawan, hutang bank, hutang kad kredit... berbelanja dengan duit yang kita tak ada.

Tapi itu bukan masalahnya di sini. Cuba jawab, berapa banyak daripada bahagian gaji/elaun kita habis ke jalan sedekah? RM1 seminggu, atau RM1 setahun? Sedangkan harta kita yang sebenar-benarnya adalah yang disedekahkan, diinfakkan, dizakatkan, diwakafkan... bukan yang dibelanjakan. Maka tak hairanlah jika orang yang paling kaya di dunia boleh menjadi orang yang paling miskin di akhirat...

"Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda, tetapi kekayaan sebenar ialah kekayaan jiwa." (daripada Abu Hurairah r.a., HR al-Bukhari & Muslim)

Jangan tunggu kaya baru nak bersedekah. Kerana bersedekah tidak menuntut kita untu menjadi kaya @ miskin. Beri sekadar yang termampu, walau hanya dengan sebiji kurma. Bersedekahlah, walau hanya dengan senyuman. Perkara yang disedekahkan tidak penting (sekurang-kurangnya jatuh ke nombor 2) asalkan sumbernya halal , yang lebih penting ialah keikhlasan hati. Dan apabila kita bersedekah, jangan sesekali riak & usah sekali-kali mengungkit (dengan tujuan menunjuk-nunjuk) dengan apa yang diberi, atau pemberian itu hanya akan menjadi sia-sia.

"3 golongan yang tidak dipandang Allah pada hari kiamat; penderhaka ibu, penagih arak & orang yang suka menyebut permberiannya." (dariapada Abdullah b Umar, HR al-Hakim)

Yakin & percayalah bahawa hak orang lain tetap terletak di dalam setiap harta & kekayaan yang kita miliki, walau ia hadir dengan titik peluh kita sendiri... Maka hulurkan tangan kepada yang memerlukan, sebagai tanda kasih & cinta kita sesama manusia. Tapi ingat! jangan pernah mengharapkan balasan (duniawi)...

p.s. "Apabila seseorang itu mati terputuslah daripadanya amalan melainkan 3; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat 7 anak soleh yang mendoakannya." (daripada Abu Hurairah r.a., HR al-Tirmizi)

Wallahua'lam~~

Friday, August 12, 2011

Bulan yang tak didendang...


"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa" (2:183)

Alhamdulillah, Ramadhan sudah masuk ke hari yang ke-13. Syukur pada peluang yang diberi hingga ke hari ini... ibadah puasa masih dapat disempurnakan tanpa cela... Alhamdulillah!

Bulan yang tak didendang...

Mungkin ramai yang tahu, tapi tak ramai yang sedar akan keadaan kita sekarang. Kedatangan Ramadhan bagaikan datangnya bulan-bulan biasa yang lain... tak didendangkan, hambar. Yang kelakarnya, bulan Syawal yang masih sebatu didepan telahpun diraikan terlebih dahulu. Buktinya?? Buka saja radio, dengar lagu-lagu yang dimainkan... Lagu bertemakan Ramadhankah yang bakal didengari atau lagu-lagu raya? Semalam saya ke Kuantan Parade, lagu-lagu raya cukup rancak dimainkan. Lepas satu, satu. Haish... kenapa tak diselang-selikan dengan lagu-lagu tentang puasa ke, solat tarawih ke... atau mungkin peringatan-peringatan yang bermanfaat. Kalau 2,3 hari lagi nak raya tu, lainlah ceritanya... bulan penuhpun belum lagi (Sabar je la... T_T)

Cuba lihat aktiviti kita selepas berbuka puasa...

** Ramai yang berbondong-bondong ke pasaraya untuk membeli baju raya, bekalan kuih raya, hiasan rumah & sebagainya. Alasannya, takut pilihan akan menjadi terhad jika beli lambat-lambat. Beli -belah waktu siang? Hish... tak naklah. Takut 'tersejat' agaknya. Maklumlah, Malaysiakan panas...

** Tak kurang juga pada mereka yang 'tersidai' di rumah selepas berbuka. Perut senak, katanya. Tak boleh nak solat terus, takut termuntah ketika sujud nanti. Maklumlah, makan banyak sangat. Dah pancit... Maknanya lepas berbuka, jadi macam ular sawa kenyanglah... melingkar je.

** Kalau dah solat Maghribpun, nak melangkahkan kaki untuk ke masjid, jauh sekali. Maklumlah, siang tadi puasa, pagi tak sahur pula, tengahari habis 1 bandar di ronda... menjelang malam, sudah 'melepek'. Kepenatan katanya.

Berapa ramai saja yang berjaya meguatkan diri untuk bertarawih di masjid/surau. Haish... manusia, manusia. Kalau bulan lain, mungkin mereka akan salahkan syaitan kerana menggoda. Ni dalam Ramadhan, siapa pula yang nak disalahkan? Nafsu? (Kenapa tak salahkan diri sendiri saja...). Orang yang proaktif akan sentiasa mencari jalan, bukan alasan.

Ataupun sekurang-kurangnya bertarawihlah di rumah, berjemaah dengan keluarga ke, buat sendiri ke... Tak tahu nak solat sendiri? Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan... kalau duit boleh habis ratus-ratus ringgit untuk beli baju raya, puluh-puluh ringgit belanja di bazar, takkan tak boleh keluar RM 5-6 untuk beli buku panduan solat terawih?

Memang tiket ke syurga tiada had, tapi ia juga tidak murah. Lagipun... Helllloooo....??!! Ramadhan ini hanya untuk berpuasa saja ke????

p.s. Rasulullah saw. bersabda: Barang siapa lupa bahwa ia sedang berpuasa, sehingga ia makan atau minum, maka hendaklah ia meneruskan puasanya, kerana sesungguhnya ia telah diberi makan dan minum oleh Allah. (H.R. Abu Hurairah ra. - Shahih Muslim No.1952)

Popular Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...