Buat duit online

Thursday, June 17, 2010

Kuatkah aku untuk setia berdampingan?

Assalammua'laikum...


Ambil dan simpan jadikan teladan,
Kisahnya nyata bukan dongengan,
Ingat nilainya, sebar dan kongsikan,
Daripada insan kepada insan.

Usia remajanya bukanlah halangan,
Hidup yang tenang jadi berantakan,
Bahagia keluarga tidak berpanjangan,
Musibah menimpa bukan usikan.

Hidupnya susah bagai buangan,
Kambing dijual buat bekalan,
Adik yang mentah terpikul beban,
Tangis dan sayu menjadi teman.

Derita si kakak kemas tersimpan,
Kehendak diri ditolak, diabaikan,
Tanggungjawab datang meminta tuntutan,
Tegarnya berdiri demi ayah kesayangan.

Si ayah mengerang panjang berterusan,
Menahan sakit yang sudah berlarutan,
Tika mengurus diri bukan lagi kemampuan,
Tampil si anak meringankan beban.

Si ayah terjamin minum dan makan,
Walau hidup serba kesempitan,
Najis si ayah dikorek dibersihkan,
Demi kasih yang tiada sempadan.

Kasihnya ibu telah berpergian,
Sayang pada ayah hiasannya tangisan,
Derita si anak dalam kesepian,
Saudara bertandang meringan beban.

Jika tidak kerana sabar dan iman,
Apakah mampu si anak bertahan?
Di telapak kaki ibu syurga didambakan,
Di telapak tangan ayah bahagia diharapkan.

Demi si ibu yang kekal diingatan,
Demi si ayah yang uzur keseorangan,
Gagah si kakak memikul bebanan,
Agar adik-adiknya tak rasa kesusahan.

Hebat sungguh aturan-Mu, Tuhan,
Cubaan datang selaras kemampuan,
Dugaan mengukur dalamnya iman,
Jaminan hidup di hari yang berkekalan.

Kuatkah aku untuk setia berdampingan?
Dengan ayah dan ibu yang banyak berkorban,
Demi masa yang terus tanpa perhentian,
Jauhkan aku daripada segala kerugian.

p.s. Puisi ini saya adaptasi daripada kisah benar yang berlaku kepada sebuah keluarga (tonton di tv3, "Bersamamu"), di mana seorang kakak (anak sulung) yang masih muda sanggup memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga setelah ayahnya terlantar sakit akibat barah yang melarat. Keadaan pula bertambah parah apabila ibunya meninggal dunia akibat daripada komplikasi kencing manis. Satu-satunya saudara yang mengambil berat ialah mak cik mereka (adik kepada si ayah) yang sering menjenguk keadaan abangnya dan memantau keadaan anak-anak saudaranya. Si kakaklah yang menjaga kebajikan si ayah dan adik-adiknya. Persoalannya, mampukah kita melakukan perkara yang sama seperti anak gadis ini? Diceritakan bahawa, bagi memastikan keselasaan ayahnya yang sudah terlantar sakit itu, dia (si kakak) sanggup mengorek najis ayahnya menggunakan tangan tanpa sarung tangan dan penutup muka. Berapa ramai dalam kalangan kita yang boleh buat macam tu? Hmmm...

0 comments:

Popular Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...