Buat duit online

Monday, March 8, 2010

Mencari Cinta Sang Nabi 2

Assalammualaikum… salam selembut sutera, seputih salju yang membelai jiwa setiap insan yang sangat dahagakan kasih sayang Allah SWT dan kekasih-Nya, Muhammad saw. Telah lebih seminggu kiranya selepas maulud nabi. Bagaimana agaknya hati ini sekarang?
Sejenak terkenang pada diri… tatkala masa mendewasakan jiwa, mematangkan fikiran, menguatkan hati… aku bertanya, “Ada apa dengan cinta?” Ya, aku seorang insan biasa bahkan seorang remaja. Layaknya rasa cinta itu sentiasa ada. Terlalu tinggi untuk diluahkan, terlalu dalam untuk dipendamkan. Tapi aku tak tahu! Kelirukahkah aku?

“Siapakah sebenarnya yang layak untuk ku berikan cinta ini?”Huh! Lihatlah, sungguh mudah sekali ia terpesong!! Disangka hati ini kuat,tapi nyata hanya omongan kosong. Mengapa sibuk memandang dunia, sedangkan sifatnya sementara? “Kehidupan kita di dunia adalah cermin kepada kehidupan kita di akhirat!”, kata Dr. Abd Razak Abdullah Hashi dalam kelas semalam. Hmmm… betul, malah tersangat betul. Aku tahu hakikat itu, sangat terang dan jelas. Tapi, kenapa terlalu susah untuk aku tetapkan hati ini? Sering berbuai-buai ditiup angin, macam lalang!
Rasa bersalahku padamu, kekasih Allah! Mulutmu basah menyebut, “Ummati, ummati,ummati…” (umatku,umatku,umatku) walaupun saat datang malaikat untuk mencabut nyawamu, saat kematianmu hanya berbaki beberapa hembusan nafas saja lagi. Tapi aku? Mulut sibuk mengatakan cinta pada nabi, namun hati? Betulkah perasaan yang ada untuk nabi itu adalah perasaan cinta dan kasih seorang umat kepada nabi-Nya? Atau sekadar satu perasaan hormat? Atau hanya satu tanda terima kasih? Layakkah aku menerima syafaatmu nanti, ya Rasulullah? Tergolongkah aku dalam kalangan ikhwanmu?
Perlukah menyambut maulidur rasul? Bermula daripada para sahabat, kemudian para ulama dalam kalangan tabien sampailah imam mazhab yang empat, diriwayatkan, bahawa mereka tak pernah sambutpun maulud nabi . Bahkan tiada dalil (samada ayat Quran atau sunnah)yang betul-betul menggariskan tentang kewajipan menyambut maulud nabi ni. Amalan menyambut maulidur rasul ni pula bermula daripada masyarakat Fatimiyyah (Fatimid) di Mesir. Kata orang, “Maulud nabi ni disambut untuk menunjukkan rasa cinta pada nabi.” Hmmm… macam tu ke? Ustaz kata, “Para sahabat tak sambut maulidur rasul sebab mereka cinta nabi hari-hari.” Aduh! ! Rasa macam jantung ni kena tusuk dengan pedang Khalid al-Walid yang sangat tajam tu. CINTA SAHABAT PADA NABI SETIAP HARI! SETIAP HARI!!

Tak perlu bila maulud nabi baru nak tunjuk rasa cinta,
Sebab cinta pada nabi tak perlu ditunjuk pada orang lain,
Cukup sekadar memupuknya di hati tak bermusim.
Tak perlu membazir pada hiasan dewan atau sepanduk perarakan,
Sebab cinta pada nabi bukan pada wang dan harta,
Cukup sekadar mengingati baginda dalam selawat dan doa.
Tak perlu berpura-pura melahirkan cinta,
Sebab cinta pada nabi adalah ikhlas lillahi taa’la,
Cukup sekadar amar ma’ruf nahi mungkar.
Tak perlu lafaz, “Aku cinta padamu, Muhammad!!”.
Sebab cinta pada nabi lebih daripada sekadar kata-kata,
Cukup sekadar menyambung perjuangan baginda.
Sebagai tanda kasih, rindu dan cinta,
Yang berpanjangan, tiada penghujung,
Yang luas, tiada bertepian,
Yang dalam, tiada berdasar,
Yang tinggi, tiada berpuncak,
Yang terus bergerak, tak pernah berhenti.
Kerana tiada cinta lain selain daripada cinta kepada Allah dan rasul-Nya,
Yang mampu mengubah manusia,
Yang mampu menggoncang dunia,
Yang mampu membawa ke syurga.

p/s. bila maulidur rasul disambut setiap tahun, sekurang-kurangnya ingatan masyarakat sekarang ini akan berbalik juga pada nabi saw walaupun setahun sekali.
~wallahu a’alam~

0 comments:

Popular Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...