Buat duit online

Friday, March 26, 2010

Maknanya melebihi kata-kata


Sejenak memikirkan tentang “kerjasama”… apa agaknya yang boleh difahami pada perkataan kerjasama? “Berkerja bersama-sama” – mungkin itulah maksud yang paling mudah dan ringkas serta tepat untuk diberi. Kerjasama…

Nampak baik, tapi apakah nilai sebenar pada diri?? Betullah kata orang, imej luar yang ditampilkan tidak menggambarkan imej sebenar dalaman. Baru-baru ini para pelajar audiologi tahun 1 telah menganjurkan 1 majlis makan malam @ AGD yang khas ditujukan kepada para palajar tahun 4 yang bakal grad. Membuat sesuatu majlis... merangkumi perancangan, penelitian, perlaksanaan yang semuanya memerlukan kepada pembahagian tugas kepada semua... dalam erti kata lain memerlukan kerjasama...

Salah satu siri animasi yang popular sekarangpun, 3 kawan baik – itik, kura-kura & hamster – kalau tak silap… yang pentingnya ialah moto “hidup” mereka… “Apa yang penting? Kerjaaaasama!”

Sekali lagi, kerjasama!

Berbalik pada perlaksanaan AGD pada mulanya semuanya boleh dikatakan berjalan lancar... tapi semua menjadi ‘tegang’ disaat akhir perlaksanaan @ “final touch”. Dimana ramai yang balik, ramai yang ‘lari’ daripada tugas. Ketika ini baru nampak siapa lawan, siapa kawan, siapa yang mementingkan diri sendiri, siapa yang mementingkan tanggungjawab. Siapa yang mementingkan hak peribadi, siapa yang mementingkan kerjasama... memang diakui, perlaksanaannya bak kata orang, “tak kena masa.”- ketika peperiksaan akhir semester berada di celah-celah sudut. Sepatutnya semua orang sibuk mengulang kaji, bukan buat AGD. Tapi, hidup ni memang sentiasa menguji... antara AGD dan peperiksaan akhir, mana lagi penting? Kedua-duanya merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul. Lari daripada tugas AGD semata-mata untuk fokus kepada peperiksaan akhir bukan jawapannya. Sikap itu pada erti kata lainnya, “Biarlah mereka yang buat. Aku nak study, tak habis study lagi ni.” Rasanya nak saja cakap, “Habis tu kami ni dah habis study la?” Masya Allah... Masya Allah!

Sesungguhnya perbuatan-perbuatan macam tu memang sangat tak bagus dalam hidup bermasyarakat. Berkerja bagai kitakan hidup 1000 tahun lagi, beribadat bagai kitakan mati sekejap lagi! Kerja yang berat, kalau buat dibuat bersungguh-sungguh, beramai-ramai pasti akan ringan. Bersama-sama kitakan jadi kuat, bersemangat dan seronok dalam menyempurnakan tugas... yang berat jadi ringan...itulah kekuatan "kerjasama".


Maknanya melebihi kata-kata......

Bila kita berkerjasama, melakukan kerja dengan ikhlas tanpa paksa, lillahi taa'la, pasti hasil kerja itu kan terasa manis bagaikan madu, harum bagaikan mawar, indah bagaikan pelangi... Bak kata Dwight Davis Eisenhower,

“Though force can protect in emergency, only justice, fairness, consideration and cooperation can finally lead men to the dawn of eternal peace.”

Memang dalam erti kata lain, orang yang enggan memberikan kerjasama ni boleh dipaksa saja, tapi... kalau terpaksa melakukan sesuatu kerja tu, mana agaknya keseronokan tu? Hilanglah pula kegembiraan...

Ingatlah,
Rom tidak membangun dengan sendiri,
Piramid tidak terbentuk dengan sendiri,
Tembok Cina tidak merentas gunung dengan sendiri,
Stonehenge tidak berdiri dengan sendiri,
Kaabah tidak terbina dengan sendiri,
Semua binaan tidak berlaku dengan sendiri,
Semua binaan agung tidak dibina oleh seorang diri,
Semuanya terbina atas nama,
Yang maknanya melebihi kata-kata,
Atas nama KERJASAMA manusia membina,
Atas izin dan kehendak Allah swt semuanya dicipta,

Jadi, berkerjasamalah...
Dan jangan pentingkan diri...
Sesungguhnya seberkas lidi lebih kuat daripada sebatang!

~wallahu a'lam~

Monday, March 8, 2010

Mencari Cinta Sang Nabi 2

Assalammualaikum… salam selembut sutera, seputih salju yang membelai jiwa setiap insan yang sangat dahagakan kasih sayang Allah SWT dan kekasih-Nya, Muhammad saw. Telah lebih seminggu kiranya selepas maulud nabi. Bagaimana agaknya hati ini sekarang?
Sejenak terkenang pada diri… tatkala masa mendewasakan jiwa, mematangkan fikiran, menguatkan hati… aku bertanya, “Ada apa dengan cinta?” Ya, aku seorang insan biasa bahkan seorang remaja. Layaknya rasa cinta itu sentiasa ada. Terlalu tinggi untuk diluahkan, terlalu dalam untuk dipendamkan. Tapi aku tak tahu! Kelirukahkah aku?

“Siapakah sebenarnya yang layak untuk ku berikan cinta ini?”Huh! Lihatlah, sungguh mudah sekali ia terpesong!! Disangka hati ini kuat,tapi nyata hanya omongan kosong. Mengapa sibuk memandang dunia, sedangkan sifatnya sementara? “Kehidupan kita di dunia adalah cermin kepada kehidupan kita di akhirat!”, kata Dr. Abd Razak Abdullah Hashi dalam kelas semalam. Hmmm… betul, malah tersangat betul. Aku tahu hakikat itu, sangat terang dan jelas. Tapi, kenapa terlalu susah untuk aku tetapkan hati ini? Sering berbuai-buai ditiup angin, macam lalang!
Rasa bersalahku padamu, kekasih Allah! Mulutmu basah menyebut, “Ummati, ummati,ummati…” (umatku,umatku,umatku) walaupun saat datang malaikat untuk mencabut nyawamu, saat kematianmu hanya berbaki beberapa hembusan nafas saja lagi. Tapi aku? Mulut sibuk mengatakan cinta pada nabi, namun hati? Betulkah perasaan yang ada untuk nabi itu adalah perasaan cinta dan kasih seorang umat kepada nabi-Nya? Atau sekadar satu perasaan hormat? Atau hanya satu tanda terima kasih? Layakkah aku menerima syafaatmu nanti, ya Rasulullah? Tergolongkah aku dalam kalangan ikhwanmu?
Perlukah menyambut maulidur rasul? Bermula daripada para sahabat, kemudian para ulama dalam kalangan tabien sampailah imam mazhab yang empat, diriwayatkan, bahawa mereka tak pernah sambutpun maulud nabi . Bahkan tiada dalil (samada ayat Quran atau sunnah)yang betul-betul menggariskan tentang kewajipan menyambut maulud nabi ni. Amalan menyambut maulidur rasul ni pula bermula daripada masyarakat Fatimiyyah (Fatimid) di Mesir. Kata orang, “Maulud nabi ni disambut untuk menunjukkan rasa cinta pada nabi.” Hmmm… macam tu ke? Ustaz kata, “Para sahabat tak sambut maulidur rasul sebab mereka cinta nabi hari-hari.” Aduh! ! Rasa macam jantung ni kena tusuk dengan pedang Khalid al-Walid yang sangat tajam tu. CINTA SAHABAT PADA NABI SETIAP HARI! SETIAP HARI!!

Tak perlu bila maulud nabi baru nak tunjuk rasa cinta,
Sebab cinta pada nabi tak perlu ditunjuk pada orang lain,
Cukup sekadar memupuknya di hati tak bermusim.
Tak perlu membazir pada hiasan dewan atau sepanduk perarakan,
Sebab cinta pada nabi bukan pada wang dan harta,
Cukup sekadar mengingati baginda dalam selawat dan doa.
Tak perlu berpura-pura melahirkan cinta,
Sebab cinta pada nabi adalah ikhlas lillahi taa’la,
Cukup sekadar amar ma’ruf nahi mungkar.
Tak perlu lafaz, “Aku cinta padamu, Muhammad!!”.
Sebab cinta pada nabi lebih daripada sekadar kata-kata,
Cukup sekadar menyambung perjuangan baginda.
Sebagai tanda kasih, rindu dan cinta,
Yang berpanjangan, tiada penghujung,
Yang luas, tiada bertepian,
Yang dalam, tiada berdasar,
Yang tinggi, tiada berpuncak,
Yang terus bergerak, tak pernah berhenti.
Kerana tiada cinta lain selain daripada cinta kepada Allah dan rasul-Nya,
Yang mampu mengubah manusia,
Yang mampu menggoncang dunia,
Yang mampu membawa ke syurga.

p/s. bila maulidur rasul disambut setiap tahun, sekurang-kurangnya ingatan masyarakat sekarang ini akan berbalik juga pada nabi saw walaupun setahun sekali.
~wallahu a’alam~

Popular Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...