Bismillahirrahman
nirrahim…
Wahai
Tuhanku yang membolak-balikkan hati, peganglah hatiku, peganglah hatinya.
Sudah dua hari rasa susah nak tidur, lega rasanya bila dapat
tidur dengan lena pagi tadi. Ya, benar tak
baik tidur selepas subuh. Tapi mata dan minda terasa berat sangat, tak tertahan-tahan.
Bila diluah kena umpat, jika tak diluah memakan diri. Seorang kenalan saya punya hobi bergayut
tengah-tengah malam kadang-kadang masuk ke pagi. Ya, benar. Kegemarannya bukan masalah bagi saya. Tetapi
jika nada suaranya tinggi disulami gelak besar hingga mengganggu ketenteraman
yang lain untuk tidur, bukankah perlu ditegur? Masakan boleh terus bertoleransi
jika berlarutan bukan sekadar sehari atau dua.
Jam telah menghampiri 2 pagi. Setelah lebih sejam cuba memaksa diri untuk tidur
(tapi gagal) saya mengambil keputusan untuk menegurnya setelah berfikir
masak-masak. Namun, setiap kali saya cuba bersuara, saya batalkan niat semula.
Dalam hati bermonolog, “Biarlah. Kejap lagi dia senyaplah tu. Kau kan
mengantuk, penat. Tidur saja. Tidur…” Hati cuba memujuk diri, namun ya Allah
sesungguhnya aku tak tertahan lagi.
Akhirnya, setelah menarik nafas dalam-dalam, saya lepaskan juga. “XX perlahan
sikit. Dah pagi ni.” Itu saja ayat saya.
Keadaan senyap sekejap. Kedengaran dia berbisik dengan
telefon. Oklah tu kan? Ketika baru betul-betul hendak terlelap, saya terjaga semula. Dia
kembali bercakap kuat, malah lebih lantang. Lebih mengejutkan, dia kini
berbicara mengenai saya… mengumpat mungkin. Sebutir, sebutir boleh didengari
dan difahami. Berderau rasanya, mata terasa panas. Ya Allah, setelah sekian
lama bersama, setelah macam-macam dibuat untuknya, sampai hati dia? Sampai hati
dia buat aku macam ni? Hanya disebabkan satu ayat teguran... Ya Allah,
ketika itu aku hanya mahu tidur… kerana bimbang jika tidur lambat
membuatkan aku terlepas subuh. Kenapa perlu aku dengar semua itu? Sesungguhnya
nikmat tidur itu milik-Mu, ya Allah. Jika Kau tarik daripadaku, maka tak keruan jadinya.
Seorang sahabat berkata, “Kau harus
bersabar dengan dia. Sabar tak cukup dengan 4 tahun, sabar perlu selamanya.” Ya,
kuncinya masih sabar. Sekali lagi ayat al-Quran kegemaran saya mengetuk pintu
hati…
“Dan janganlah kamu
(merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi
(darjatnya) jika kamu orang beriman.” (Ali Imran, 3:139)
Pesan seorang sahabat lain, doakanlah dia. Bukan minta supaya
Allah mengubah dia (kerana bukan kita yang berhak menentukan perkara terbaik
untuknya), tetapi berdoalah agar Allah
memegang hatinya agar dapat dia menjadi insan yang lebih baik & bertimbang
rasa.
"Seseorang mukmin bukan seseorang yang suka mencaci atau suka melaknat orang lain dan ia juga tidak bersifat jahat disamping ia tidak bersifat buruk."
(HR al Tirmidzi)
p.s. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Cukuplah keburukan seseorang dengan menghinakan saudaranya yang muslim." (HR Muslim)
Wallahualam~~