Buat duit online

Sunday, December 30, 2012

Peganglah hatiku & hatinya


Bismillahirrahman nirrahim…

Wahai Tuhanku yang membolak-balikkan hati, peganglah hatiku, peganglah hatinya.

Sudah dua hari rasa susah nak tidur, lega rasanya bila dapat tidur dengan lena pagi tadi. Ya, benar tak baik tidur selepas subuh. Tapi mata dan minda terasa berat sangat, tak tertahan-tahan.

Bila diluah kena umpat, jika tak diluah memakan diri. Seorang kenalan saya punya hobi bergayut tengah-tengah malam kadang-kadang masuk ke pagi. Ya, benar. Kegemarannya bukan masalah bagi saya. Tetapi jika nada suaranya tinggi disulami gelak besar hingga mengganggu ketenteraman yang lain untuk tidur, bukankah perlu ditegur? Masakan boleh terus bertoleransi jika berlarutan bukan sekadar sehari atau dua.

Jam telah menghampiri 2 pagi. Setelah lebih sejam cuba memaksa diri untuk tidur (tapi gagal) saya mengambil keputusan untuk menegurnya setelah berfikir masak-masak. Namun, setiap kali saya cuba bersuara, saya batalkan niat semula. Dalam hati bermonolog, “Biarlah. Kejap lagi dia senyaplah tu. Kau kan mengantuk, penat. Tidur saja. Tidur…” Hati cuba memujuk diri, namun ya Allah sesungguhnya aku tak tertahan lagi. Akhirnya, setelah menarik nafas dalam-dalam, saya lepaskan juga. “XX perlahan sikit. Dah pagi ni.” Itu saja ayat saya.

Keadaan senyap sekejap. Kedengaran dia berbisik dengan telefon. Oklah tu kan? Ketika baru betul-betul hendak terlelap, saya terjaga semula. Dia kembali bercakap kuat, malah lebih lantang. Lebih mengejutkan, dia kini berbicara mengenai saya… mengumpat mungkin. Sebutir, sebutir boleh didengari dan difahami. Berderau rasanya, mata terasa panas. Ya Allah, setelah sekian lama bersama, setelah macam-macam dibuat untuknya, sampai hati dia? Sampai hati dia buat aku macam ni? Hanya disebabkan satu ayat teguran... Ya Allah, ketika itu aku hanya mahu tidur… kerana bimbang jika tidur lambat membuatkan aku terlepas subuh. Kenapa perlu aku dengar semua itu? Sesungguhnya nikmat tidur itu milik-Mu, ya Allah. Jika Kau tarik daripadaku, maka tak keruan jadinya.

            Seorang sahabat berkata, “Kau harus bersabar dengan dia. Sabar tak cukup dengan 4 tahun, sabar perlu selamanya.” Ya, kuncinya masih sabar. Sekali lagi ayat al-Quran kegemaran saya mengetuk pintu hati…

“Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang beriman.” (Ali Imran, 3:139)

Pesan seorang sahabat lain, doakanlah dia. Bukan minta supaya Allah mengubah dia (kerana bukan kita yang berhak menentukan perkara terbaik untuknya), tetapi berdoalah agar Allah memegang hatinya agar dapat dia menjadi insan yang lebih baik & bertimbang rasa
"Seseorang mukmin bukan seseorang yang suka mencaci atau suka melaknat orang lain dan ia juga tidak bersifat jahat disamping ia tidak bersifat buruk."
(HR al Tirmidzi)


p.s. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Cukuplah keburukan seseorang dengan menghinakan saudaranya yang muslim." (HR Muslim)

Wallahualam~~

Sunday, July 8, 2012

Maka inilah waktunya 2




Assalammualaikum...


Dari Jabir Radliyallaahu ‘anhu bahwa Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Setiap kebaikan adalah sedekah.” (Riwayat Bukhari).


Pada hari Khamis lepas, saya dan seorang sahabat menaiki bas dari Kota Bharu ke Machang. Hari yang panas terik dengan keadaan yang sesak (ramai budak asrama bercuti) ditambah pula kami yang berpuasa nisfu Syaaban ketika itu membuatkan rasa tak selesa menguasai diri. Kebetulan ramai pula yang hendak ke Machang ketika itu, jadi keadaan dalam bas memang agak sesak (kira-kira 12-13 orang berdiri). Kemudian, naik seorang mak cik tua (boleh pangkat nenek dengan saya). Dia naik dengan membawa banyak barang. Lalu disusunnya dicelah kaki-kaki orang yang duduk (pada ruang antara kerusi). Saya memerhatikan keadaan sekeliling... OK. Tiada siapa yang sudi memberinya tempat duduk. Dalam hati, saya katakan, "Tak apa. Mungkin akan ada yang akan bangun dan menawarkannya tempat duduk sebaik saja bas bergerak nanti." Mak cik itupun berdiri disebelah kawan saya yang berdiri dibelakang saya.  


Keadaan trafik yang sibuk serta jalan yang agak sempit dan tak rata membuatkan si pemandu kerap menekan brek. Faham-faham sajalah. Kami yang berdiri ini sudah pastinya akan tersesar ke depan dan belakang. Sudah beberapa lama, saya teringatkan mak cik tadi. Lantas saya toleh belakang. Alhamdulillah. Kebetulan pada waktu itu, ada seorang wanita Melayu tak bertudung (yang memang duduk disebelah tempat mak cik tu berdiri sejak awal lagi) bangun untuk menawarkannya tempat duduk. Saya boleh nampak kegembiraan yang terpancar diwajah mak cik tersebut. Syukur, masih ada yang mengerti.


Setibanya di Machang, saya memuji sikap wanita tersebut. Ketika itulah saya tahu kisah sebenarnya... Kata sahabat saya, mak cik tu berusaha keras untuk mengekalkan kestabilannya sepanjang perjalanan tadi. Sampai satu masa, ketika bas berhenti dengan kuat, mak cik tersebut terjatuh ke atas sahabat saya yang mana dia sempat menyambutnya daripada tersungkur. Yang lebih mengecewakan sahabat saya ialah mereka yang menyedari insiden itu hanya bertindak sebagai pemerhati, termasuklah 2 orang pelajar lelaki maahad dan seorang wanita berpurdah, tanpa ada niat untuk menawarkan tempat duduk mereka. Mak cik tersebut sendiri yang meminta untuk menumpang duduk pada wanita yang tak bertudung tersebut (tumpang duduk sedikit). Yang mana keadaan itu membuatkan wanita tersebut kurang selesa barangkali, lalu kemudiannya menawarkan tempat duduknya tak lama kemudian.


Sayu hati tatkala mendapat tahu perkara sebenar yang terjadi. Ya, mungkin saya dan kawan saya tak cukup berani untuk memintakan tempat duduk bagi pihak mak cik tersebut diawal perjalanan. Saya mengaku itu silap kami. Namun, bagi mereka yang sedang duduk ketika itu dan sedar akan keadaan itu, tidakkah terdetik dalam hati mereka untuk membantunya? Apa yang saya lihat, sikap mementingkan diri terlalu kuat hingga sanggup mengabaikan kebajikan orang yang lebih memerlukan


Ya, semua orang buat silap. Jadi, biarlah kesilapan tadi menjadi pengajaran bagi yang lain. Yang tua itu haruslah dihormati, disayangi dan dipelihara. Insya Allah, kita akan dijaga dengan baik saat kita tua nanti. Kesempurnaan menutup aurat dan pergi belajar di maahad saja belum cukup bagus untuk mengatakan kita sudah beriman. Peliharalah adabmu sesama manusia. Semoga dengannya akan bertambah iman di dada. Fahamilah adab yang dipelajari dan amalkanlah. Amalkanlah, amalkanlah! Saya yakin, akhlak baik yang ditunjukkan merupakan salah satu jalan dakwah yang mudah dan berkesan, insya Allah.


Dari Anas bahwa Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah seorang hamba (dikatakan) beriman sehingga ia mencintai tetangganya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri.” (Muttafaq Alaihi).


Dari Abu Dzar Radliyallaahu ‘anhu bahwa Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Janganlah engkau memandang rendah bentuk apapun dari kebaikan, walaupun engkau hanya bertemu dengan saudaramu dengan muka manis.”

(Riwayat Muslim.)


p.s. Jika inilah keadaanya, bagaimanakah kita hendak berbicara tentang pembebasan Palestin? Menghulurkan bantuan kepada rakyat Syria? Menolong puak Islam minoriti Rohingya?  Wallahua'lam... 

Thursday, July 5, 2012

Laa illaha illallah... terimalah imanku!

Assalammualaikum...

Laa illaha illallah... tiada tuhan melainkan Allah. Indahnya kalimah tauhid ini hanya kepada mereka yang memahami dan mencintai. Namun sedarkah kita, bahawa sebenarnya terdapat syarat yang harus dipenuhi sebelum kecintaan itu diterima?

1. Mamahami makna Laa illaha illallah, baik dari segi nafi atau itsbat. - yakni menidakkan (nafi) ketuhanan yang selain dari Allah ta'ala dan menetapkan (itsbat) Allah taa'la sebagai satu-satunya sembahan dunia dan akhirat.

2. Yakin yang menafikan adanya syak. - keyakinan itu menjadi prasyarat kepada keimanan (tidak yakin maka tiadalah iman). Keyakinan sepenuh hati terhadap Laa illaha illallah akan menolak adanya syak (yang menidakkan adanya keraguan walaupun sedikit).

3. Ikhlas yang menidakkan syirik. - ikhlas mencintai Allah bererti menginginkan keredaan-Nya, memurnikan ibadah kepada-Nya, menjauhi larangan-Nya dan bersih dari segala perbuatan syirik.

4. Jujur yang menafikan dusta. - ringkasnya, hati haruslah seiring dengan lisan. Jangan menjadi orang munafik (yang berdusta secara batin), kerana munafik itu adalah musus Islam yang tersembunyi berbanding orang kafir (musuh yang nyata).

5. Cinta kepada Laa illaha illallah dan berbahagia dengannya. - ibadah itu ditegakkan atas rasa takut, harap dan cinta kepada Allah taa'la. Cinta yang bersifat wajib menuntut kita untuk mengerjakan suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Manakala cinta yang bersifat sunat pula akan mendorong seseorang melakukan  perkara sunat yang dianjurkan.

6. Inqiyad yang menidakkan at-tark. - Perlulah kita mematuhi (inqiyad) segala suruhan-Nya tanpa berat hati dan tidak ragu meninggalkan larangan-Nya. Mematuhi Allah taa'la tanpa membangkang-Nya (at-tark) membuktikan keikhlasan kita dalam mencintai Laa illaha illallah.

7. Al-Qabuul yang menafikan ar-Radd. - Keperluan menerima kalimat tauhid (al-Qabuul) haruslah nyata secara hati dan lisan. perkara ini akan menghindari kita dripada menolakkya (al-Radd). Ingatlah, al-Qabul bakal membawa kita menuju keredaan Allah taa'la sekaligus akan menjauhkan kita daripada azab-Nya. Sesungguhnya Rabbmu tidak akn menzalimimu melainkan dirimu sendiri.


Itulah 7 syarat diterimanya tauhid yang dianalisis dan dikumpulkan dari al-Quran dan as-Sunnah seperti yang ditulis oleh Ibrahim b asy-Syaikh Shalih b Ahmad al-Khuraishi di dalam kitabnya yang berjudul, At-Tanbiihaat al-Mukhtasharah Syarh al-Waajibat al-Mutahattimat al-Ma'rifah 'alaa Kulli Muslim wa Muslimah (Hal-hal yang wajib diketahui setiap muslim).
Wallahu a'lam...

p.s.Bersamalah kita berusaha untuk memenuhinya, insya Allah... semoga iman kita diterima. Semoga bermanfaat...

Monday, May 7, 2012

ilmu itu bagaikan...

Salamu a'laik...


Tertarik tadi dengan 1 analogi yang diberikan oleh salah seorang mursyid di akhir rancangan Imam Muda 2 tadi... Dia bercerita secara ringkas tentang keperluan dalam mencari ilmu.

Katanya, awan yang berat akan menurunkan air. Air yang turun tidak akan bertakung atas puncak bukit yang tinggi...tapi akan bergenang disekitar bukit tersebut, pada permukaan tanah yang paling rendah.

Bukit yang tinggi itu digambarkan sebagai orang yang sombong dan air pula sebagai ilmu. Jelasnya, ilmu tidak akan lekat pada hati orang yang sombong. Tetapi, pada mereka yang merendahkan diri dan mengikhlaskan hati, ilmu akan mengalir dan terkumpul di dalamnya. Mereka ini golongan yang tahu nilai sesuatu ilmu dan pandai menghargainya, malahan bijak memanfaatkannya. 

Kadang-kadang saya musykil, bagaimana seseorang ustaz itu mampu menghafal dan mengulas petikan-petikan dalam buku-buku atau kitab-kitab yang mereka baca dengan tepat. Malahan, kebanyakannya mampu memberitahu nama buku, pengarang bahkan nombor muka suratnya sekali. Saya bila baca buku, jangankan boleh ingat sebiji-sebiji ayat tu, kadang-kadang boleh terlupa baca daripada buku yang mana satu. (*sigh~~)

Teringat kata seorang sahabat saya, mungkin kerana keberkatan. Bagi saya, mungkin kerana niat. Niat mereka menuntut ilmu lillahi taa'la. Kita? oopppst... maaf, tersilap. Saya? Memang setiap kali sebelum bermula semester, niat akan diluruskan. "Belajar kerana Allah swt" Tapi bila menjelang hujung semester, silap-silap membaca hanya tak mahu gagal exam.

Wallahua'lam... Sama-samalah kita perbetulkan niat, ya.



p.s. Rasa terpisah sekejap dari masalah-masalah dunia yang serabut ni. Ya Allah! Beri kami kekuatan dan ketenangan.

Popular Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...