Buat duit online

Thursday, May 20, 2010

Jalan-jalan di taman...



Assalammualaikum... salam untuk berfikir!
Pada insan yang bijak menilai tentang erti kehidupan, dalam menentukan penampilan diri... Apakah garis pandunya? Aliran fesyen yang bagaikan sekali air bah, sekali pantai berubah? Atau ketetapan agama yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas?

Apa yang terlihat di mata, itu yang tersurat di minda. Namun itukah yang harus tersirat di hati? Kata orang, rambut sama hitam, tapi hati lain-lain... itu kata orang. Kata saya, jika dirinya mengaku Islam... maka zahirkanlah. Dalam bab berpakaian misalnya, Islam punya garisnya sendiri. Jadi ikutlah dan zahirkanlah. Hati tak boleh lain-lain dalam melaksanakan perintah tuhan. Kita punya fesyen kita sendiri, jadi kenapa perlu ikut yang lain? Kalau takut digelar out of date, jadi cedok saja yang baik dan tanam yang buruk. Bukan tiru bulat-bulat, tapi “menipulah” dalam meniru fesyen.

Keluar saja dan pergilah berjalan-jalan ke taman,
Agak-agaknya... apa yang kita nampak?

Jalan-jalan di taman, aku nampak seorang perempuan Melayu, Muslim... insya Allah.
Berseluar pendek hingga lutut, mengenakan tube ke badan dan ditutupi dengan jaket kulit.
Rambutnya berkarat tercacak macam kulit durian, dijalurkan dengan warna-warna pelangi.
Dagu dan kening bertindik, mata meliar bagai mencari hak miliknya yang hilang.
Jalannya terhenjut-henjut, kepalanya dihayun ke kanan dan kiri.

Jalan-jalan di taman, aku nampak seorang lagi perempuan Melayu... asyik dengan fon.
Berseluar sendat dengan baby-T putih, jelas tali-tali ”sotong” di belakang.
Sambil berlari-lari anak, sesekali dia akan menarik-narik hujung bajunya ke bawah.
Rambutnya hitam di ikat tinggi, tersengih-sengih bila diusik si kumbang taman.

Jalan-jalan di taman, aku nampak pula seorang perempuan Muslim... membelek majalah hiburan.
Berseluar jeans bell bottom dan berkemeja lengan 3 suku, tali pinggang diikat ke perut.
Sanggulnya tinggi kemas di dalam lilitan selendang, jambulnya juga lebat menutup dahi.
Anting-anting berkilau-kilau melepasi gelap selendang yang lut cahaya, berhayun-hayun.
Silang kakinya menampakkan stiletto heel berinci-inci, boleh dikira jari-jemari kakinya.

Jalan-jalan di taman, aku nampak seorang perempuan Muslim... berkepit dengan buah hati.
Samar-samar no. 11 menurusi skirt labuh kembangnya, blouse sempit labuh melepasi punggung.
Tudungnya sedikit pendek atau mungkin sangat pendek, terjuntai hujung rambut ponny tail.
Langkahnya melenggok, bagai terikat badannya dengan si kekasih.

Jalan-jalan di taman, aku nampak seorang perempuan Muslim... umur pertengahan.
Berkain A-cut dan blouse longgar yang tak jarang, tudung kemas tapi diselempang ke belakang.
Kelihatan 2,3 utas rantai emas di leher, tebal... nipis, belum dikira yang dipakai di tangan.
Bibir dan pipinya merah, matanya ungu... bulu matanya lebat macam bulu mata unta.


Hatiku sakit! "Hish... macam-macam gayalah mereka ni!"

Makin dunia langkah ke depan, fesyen mereka makin ke belakang.

Zaman dulu, orang kurang pakai baju sebab tak tahu buat kain... pakai kulit kayu!

Tapi sekarang kain dah pandai buat, tapi skirt makin singkat!

Siapa agaknya yang berani melawan fesyen ni?

Aku teruskan langkah... dalam usaha mencari sang MUSLIMAH.


Jalan-jalan di taman, aku nampak seorang perempuan Muslim… .

Tudungnya ringkas... tak juga besar, tapi cukup labuh melepasi bahu dan menutupi dada. Bajunya longgar dan melepasi peha, seluarnya longgar panjang, berstoking perang dan bersandal hitam.

Fabrik pakaiannya tak jarang, tapi tak juga tebal... selesa dipakai dan cantik dipandang.

Bila berjalan, wajahnya ditundukkan... mata tak meliar, langkahnya sopan.

Aku tahu... dialah si Muslimah, yang berani kerana benar menzahirkan perintah tuhan.


Lantas langkahku terhenti seketika, tatkala pandangan mataku beralih.

Asyik-asyik tengok pakaian orang, pakaianku macam mana?

Tutup semua, kecuali tangan dan muka... ya.

OK, cantik... jom langkah dengan yakin dan sopan.

Pelaburan yang bijak... saham duniapun dapat, akhirat juga!

Kerana aku juga seorang Muslimah yang berani kerana benar menzahirkan perintah tuhan!


p.s. Setiap benda-benda yang mahal dan berharga selalunya susah untuk dijumpa. Contohnya mutiara, tersimpan selamat di dalam cangkerang, jauh di lautan dalam. Ataupun mungkin butiran berlian, terperosok jauh ke dalam kerak bumi. Makin susah nak dapat, makin mahal harga. Macam mana agaknya nak jadi sekuntum mawar yang mahal harganya, yang tak boleh dipetik oleh sebarang tangan, apatah lagi disentuh?



Thursday, May 13, 2010

Jadikanlah aku...


Assalammualaikum wbt...


Masih belum terlewat rasanya untuk mengucapkan “Selamat Hari Ibu” kepada semua yang bergelar ibu di dunia ini. Teringin rasanya untuk menulis tentang cerita Ust. Siti Nur Bahyah (dalam siri hal ehwal Islam terbitan TV1 pada minggu lepas) mengenai seorang pemuda yang ditemui oleh Nabi Sulaiman a.s. Ketika baginda berjalan di tepi pantai bersama-sama rombongannya, tiba-tiba baginda terlihatkan sebuah kubah di dalam air (laut) itu. Oleh sebab keinganannya terlalu tinggi untuk mengetahui isi kubah tersebut, maka baginda memerintahkan jin Ifrit agar mengangkat kubah tersebut ke atas permukaan. Percaya atau tidak, si Ifrit gagal. Lalu turun seorang pemuda yang hebat amalnya. Dia berselawat lalu mengangkat kubah tersebut. Setelah pintu kubah dibuka, kelihatan seorang pemuda di dalamnya. Baginda nabi kemudiannya bertanya kepada pemuda berkenaan... Siapakah dia? Dari zaman manakah dia? Amalan apakah yang dilakukan sehingga dia dihadiahkan nikmat ini?


Pemuda itu mengatakan bahawa dia dari zaman Nabi Ibrahim a.s. Dia mendapat anugerah ini kerana telah menjaga ibunya selepas ayahnya meninggal dunia. Ibunya yang uzur dan lumpuh itu dijaga dengan baik. Bila ibunya lapar, dia suapkan. Bila ibunya panas, dia mandikan. Bila ibunya mahu bergerak, dia dukung dengan belakangnya. Kemudian, bila ibunya meninggal dunia, dia kebumikan. Sebagai balasannya, dia mendapat kubah ini. Selepas mendapat semua jawapan, Nabi Sulaiman a.s. mengarahkan supaya kubah tersebut dikembalikan ke tempat asalnya.


Menarik bukan? Betapa hebatnya ciptaan Allah yang digelar sebagai “IBU” ini. Memberi kebahagian kepada insan yang bergelar anak...


Naluri keibuan itu sudah pasti datang saat hari pertama disahkan mengandung. Sebab itu, ramai yang kecewa saat keguguran - walaupun janin yang dikandung baru sekejap, tapi naluri yang telah wujud membuatkan seseorang yang bakal bergelar ibu itu merasakan bagai sudah terhubung nyawa. Saat melahirkan tidak mudah – saya tak tahu, tapi itulah yang mereka katakan. Sakitnya... bagai nak tercabut nyawa kata mereka. Mungkin sebab itu ramai yang terluka saat bayi yang dilahirkan meninggal dunia. Kata mak cik saya, sakitnya ibu melahirkan bayinya itu hilang serta-merta saat dia mendengarkan tangisan bayi yang dikandungnya 9 bulan lalu. Senyuman akan terukir saat mencuit hidung genit si bayi, semakin lebar senyuman itu jika si bayi cukup sifat dan sihat.


Satu yang saya perasan… Ibu selalunya meletakkan kebajikan dirinya ditangga terakhir. Kalau beli baju, anak-anak dulu. Kalau masak, lauk kegemaran anak-anak dulu. Walaupun penat, karenah anak-anak pasti didahulukan. Pada ibu-ibu lain, saya kurang pasti. Tapi itulah emak saya… dia mengutamakan yang lain, manakal dia jatuh entah ke tangga yang keberapa. Saya pasti para ibu yang lain juga begitu.


Pernah satu hari emak menangis… saya duduk disebelah untuk mendengar luahannya - dia tertekan - tanggungjawab untuk suami, untuk anak-anak, untuk kerja. Baru saya perasan, emak punya masa yang sangat sikit untuk dirinya sendiri. Saya yang lebih 8 tahun menghabiskan masa di asrama, kurang teliti tentang hakikat ini. Tapi baru kali ini saya nampak…emak terluka. Saat adik bongsu saya bersuara, “Kesian mak…” hati saya bagai disentap. Tambahan bila emak sendiri mengakuinya… Mungkin, ada satu saat yang emak merasakan penat. Penat dalam menjaga keperluan keluarga – emak juga manusia biasa. Namun, pasti kepenatan itu mahal harganya. Dan pasti, kepenatan itu hanya Allah swt saja yang mampu membayarnya.


Hai insan keturunan Adam dan Hawa, tanyakan pada diri, “Berapa kali agaknya saya buat emak tersenyum?”. Saya sendiri bukannya anak yang baik saya kira. Tetapi, marilah sama-sama kita berusaha untuk melakukan yang terbaik dan bukan sekadar yang termampu, agar dapat dihadiahkan gelaran “anak soleh” kelak. Hanya doa anak soleh yang dapat membahagiakan si ibu. Semoga emak tak malu untuk mengaku bahawa kitalah anak yang dikandungnya selama 9 bulan, kitalah anak yang dibesarkan selama usia mematangkan minda.


Ya, saat usia mematangkan minda…

Jadikanlah aku anak yang lebih mengerti akan perasaan kedua-dua orang tuaku.

Jadikanlah aku anak yang mementingkan emak dan abah daripada diri sendiri.

Jadikanlah aku anak yang dapat menghadiahkan senyuman yang paling bermakna diwajah emak dan abah.

Jadikanlah aku anak yang sabar dengan segala kerenah emak dan abah saat mereka dimamah masa kelak.

Jadikanlah aku anak soleh yang sentiasa menyenangkan hati abah dan emak.


"Saya sayangkan ibu saya seperti mana pokok suka pada air dan sinaran mentari. Dia membesarkan saya, menjadikan saya seorang yang berjaya dan membantu saya untuk mencapai yang tertinggi dalam hidup." - Adabella Radici


p.s. jangan sampai jadi si Tanggang sudahlah...

Monday, May 3, 2010

menyentuh puncak dunia

Salamu a'laik...

Tersenyap seketika mengenangkan kekurangannya.
Terkedu memikirkan kelebihannya - kekuatan, keazaman, kecekalan - sungguh luar biasa...

Erik Weihenmayer...
Nyata sekali daripada namanya, dia bukannya seorang muslim.
Tapi itu bukan masalahnya (bukan untuk post ini)...
Matanya celik semasa dilahirkan, tetapi kecelikan itu merosot saat dia meniti awal usia remajanya. Terjaga daripada tidurnya di satu malam, Weihenmayer kecewa dan takut kerana disaat itu dia telah menjadi buta secara keseluruhan. Perspektif pertamanya, dia pasti tidak akan mempunyai kawan, tidak mampu untuk bersukan dan tidak akan mendapat pasangan.

Benarkah begitu?? Mungkin benar jika dulu dia hanya duduk di satu sudut lalu memencilkan diri serta menyalahkan takdir... Kini, boleh dikatakan bahawa dia telah berjaya memperoleh segala-galanya. Dia telah menjadi atlet bertaraf dunia, mempunyai kawan di merata dunia dan telah berkeluarga! Malah, dia dikelompokkan dalam kumpulan antara pendaki gunung termuda yang berjaya menawan puncak-puncak dunia - McKinley, Kilimanjaro, Aconcagua, Vinson Massif, Everest, Elbrus, Kosciusko...

Demi masa yang Allah bersumpah ke atasnya. Atas sokongan dan dorongan, Weihenmayer bukan saja mampu untuk berdiri, malah dia mampu berlari... Lebih daripada yang normal... Dia mampu menawan dunia serta melebihinya. Bayangkan, seseorang yang buta mampu untuk menawan puncak tetulang dunia, meneroka langit, serta berjalan menjelajah alam - yang celikpun belum tentu mampu! - Ya, mungkin dia tidak mampu untuk menangkap bola lisut yang dilontarkan, namun lihatlah pencapaiannya. Subhanallah...

Benar, bila satu pintu di tutup, ternyata terbuka pintu-pintu yang lain. Walaupun nikmat penglihatannya ditarik, tapi Weihenmayer tak murung lama... Dia berdiri dengan berbekalkan semangat yang tinggi. Namun, sekali lagi dia jatuh... Si pendokong semangat iaitu ibunya meninggal dunia di dalam satu kemalangan jalan raya. Walau berkali-kali jatuh, pastikan diri bangkit semula. Dugaan yang besar mengajar erti tabah, menjadikan diri kuat. Bukankah Allah telah berkata, kita pasti akan diuji? - dengan diri, harta, kesedihan, kegembiraan, penyakit, orang sekeliling... Semuanya untuk memberikan kita kekuatan agar dapat memanfaatkan hidup dengan sebaiknya. Dan saya pasti, itulah yang telah dilakukan oleh Weihenmayer. Dia belajar daripada kekurangan lantas menjadikannya sebagai satu cabaran dan bukan alasan!!
Kekecewaan menjadikan manusia lebih gagah. Weihenmayer percaya bahawa sepasang tangan manusia yang kerdil mampu untuk mengubah dunia... mampu untuk membentuk jiwa dan minda.

Kata Weihenmayer, "Saya punya dua jalan dalam hidup. Satu untuk hanya duduk di tepi, dan mendengar tentang hiruk-pikuk dunia di sepanjang jalan kehidupan. Dan satu lagi, saya boleh menjadi seorang yang pragmatik - mencari jalan untuk keluar daripada keadaan ini dan lakukan segala yang patut."

Sekarang fikirkan... seorang buta yang bukan muslim mampu untuk mencapai puncak tertinggi dalam kehidupannya. Jadi mengapa tidak kita? Kita cukup pancaindera, kita punya Allah dan rasul-Nya, kita punya Quran dan sunnah, kita sudah berada di landasan yang betul, malah dalam keretapi yang betul... tidakkah kita sepatutnya mampu untuk mencapai yang lebih hebat? Alasan apakah lagi untuk tidak berjaya? Sekali kalah tidak bermakna kalah untuk selamanya kerana kekalahan hari ini adalah untuk kemenangan dan kejayaan hari esok. Pepatah Jepun mengatakan, jika jatuh buat kali yang ketujuh maka bangkitlah untuk kali yang kelapan. Kita tidak punya ruang untuk gagal malah kita tidak akan gagal jika kita terus bangkit dan belajar daripada segala perkara yang tidak berjaya kita capai. Yakinlah, setiap yang terjadi pasti ada hikmahnya. Kita cuma perlu menerimanya dengan sabar dan redha.

Bukan niat untuk berbangga dengan si wira yang berbeza agamanya ini. Namun, cara
Weihenmayer menilai kekurangannya ini amat mengagumkan. Di saat ramai manusia melihat kekurangan masing-masing sebagai satu kelemahan, Weihenmayer mengambilnya sebagai satu kelebihan. Dan tidak salah rasanya jika kita mengambil nilai yang ada pada Weihenmayer ini sebagai pendorong semangat, bahawa kekurangan kita ini merupakan satu rahmat.
Jadi, jika Weihenmayer mampu untuk menyentuh puncak dunianya, mengapa tidak kita?

p/s. semoga satu hari nanti Erik
Weihenmayer dan keluarganya dikurniakan oleh Allah swt taufik dan hidayah yang pasti dapat membawa kesempurnaan dalam hidup di dunia dan akhirat. Insya Allah...

Popular Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...