Buat duit online

Sunday, December 13, 2009

Rambut sama hitam, tapi hati...

Salamua’laik…

Merenung sejenak tentang masa lalu, ternyata masih ada perkara yang belum selesai. Konflik yang telah bersarang diminda sebegitu lama. Sungguh! Sampai kini aku masih tak dapat jalan penyelesaiannya. Masih terkapai-kapai sendiri. Ya Allah, ku pohon sebuah jawapan.
Hari demi hari, tanpa disedari. Aku terajui hidup dengan kehadirannya disisi. Beban yang masih terpikul di bahu. Ke mana harusku bawanya? Di mana harusku tinggalkannya?

Akankah hadir disuatu masa nanti seorang penyelamat? Penyelamat yang dapat membebaskan belenggu hati ini?
Seperti datangnya Rasulullah SAW kepada umat manusia, menerangi jiwa setiap insani. Akankah Dia melakukan perkara yang sama untukku? Menghantar seseorang yang dapat membebaskan rantaian yang menjerat diri. Aku cuba untuk membuang perasaan itu jauh-jauh. Aku cuba meyakini hikmahnya. Atau harusku selesaikan semuanya sendiri? Soalnya, “Bagaimana?”

Aku cuba mempositifkan semua yang berlaku. “Apa-apapun, semua itu adalah pengalaman yang bakal mematangkan diri.” Namun rasanya aku tak cukup kuat untuk mengakuinya. Diri ini seperti enggan menolaknya pergi.
Sebuah siri pengalaman yang langsung tidak ada indahnya. Pengalaman yang meninggalkan seribu satu kesan yang mendalam di hati... sepahit-pahit kenangan. Melekat bagaikan digam kuat di dalam sanubari, terpaku kukuh diminda. Bagaimana harusku lupakan? Pada siapa harusku ceritakan? Setiap kali mengingatinya, hanya pada Dia aku mengadu. Butir-butir mutiara gugur lagi ke bumi, dengan harapan iakan dibawa pergi... melenyap dari diri. Sudahkah terjawab doa-doaku? Harga apakah yang perluku bayar untuk semua ini? Hutang apakah yang masih belum dilangsai?

Wallahi... aku tak mahu menjadi seorang hamba yang tak tahu bersyukur. Dengan kesyukuran, hatiku pastikan tenang. Namun, mana ia?

“Ya Yuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami, sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

Kadang-kala aku bertanya, “Kenapa tidak ada yang memahami aku?” atau sebenarnya, aku yang tak mahu difahami? Entah apa lagi yang harusku lakukan... namun yang pasti, tidak ada satupun daripada saat itu yang telah aku lupakan. Hmm... manusia memang selalu begitu, bercakap ikut sesuka hati tanpa memikirkan kesan pada orang lain. Mengukur segalanya daripada pandangan mata kasar, menutup mata hati.

Ya Rabbal a’lamin, ya Rahman, ya Rahim... sesungguhnya, Dialah yang sentiasa ada disisiku. Namun, seringku lupa pada-Nya. Ku yakini, semuanya pastikan berakhir nanti. Hidupku pastikan menjadi normal seperti yang lain. Biarlah semua kenangan pahit itu menjadi pengajaran bagiku, tersimpan kuat dihati dan menjadi rahsia sendiri. Semua orang juga pasti punya rahsia peribadi yang tak pernah diungkapkan kepada orang lain...
Sesungguhnya, rambut mungkin sama hitam tapi hati lain-lain. Dan bukannya semua rambut berwarna hitam itu baik, yang berwarna-warni tak semestinya teruk. Pengalaman mengajarku untuk menilai dengan mata hati, bukan dengan mata kasar yang selalu tergoda dengan benda-benda yang cantik.

Yakinlah wahai hati! Bahawa semuanya adalah milik Allah SWT. Jasad ini hanya sementara, semuanya adalah pinjaman cuma. Kecantikannya, keburukannnya semua adalah ujian daripada yang maha mencipta. Apabila sampai masa kembali, hal duniawi yang merungsingkan hati ini... pasti! pasti tidak ada gunanya lagi...

“Ya Allah, aku minta kepada Engkau akan kebaikan hari ini dan kebaikan perkara dalam hari ini; dan aku minta perlindungan pada Engkau daripada buruknya dan buruknya perkara dalam hari ini.”

~~Wallaua’alam~~

Popular Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...