Buat duit online

Showing posts with label ramadhan. Show all posts
Showing posts with label ramadhan. Show all posts

Saturday, August 13, 2011

Tangan yang terhulur...


"Orang yang bersifat kasihan, dikasihi oleh Yang Maha Mengasihani. Kasihanilah mereka di bumi nescaya yang di langit akan mengasihani kamu." - (HR Abu Daud & al-Tirmizi)

Lumrah manusia memang suka berbelanja. Belanja untuk pakaian, perapi diri, hiasan rumah, gadget & sebagainya. Duit gaji/elaun yang diterima setiap bulan kadang-kadang habis begitu saja. Lebih malang lagi, kadang-kadang duit kita sampai negatif bakinya (berhutang). Hutang kawan, hutang bank, hutang kad kredit... berbelanja dengan duit yang kita tak ada.

Tapi itu bukan masalahnya di sini. Cuba jawab, berapa banyak daripada bahagian gaji/elaun kita habis ke jalan sedekah? RM1 seminggu, atau RM1 setahun? Sedangkan harta kita yang sebenar-benarnya adalah yang disedekahkan, diinfakkan, dizakatkan, diwakafkan... bukan yang dibelanjakan. Maka tak hairanlah jika orang yang paling kaya di dunia boleh menjadi orang yang paling miskin di akhirat...

"Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda, tetapi kekayaan sebenar ialah kekayaan jiwa." (daripada Abu Hurairah r.a., HR al-Bukhari & Muslim)

Jangan tunggu kaya baru nak bersedekah. Kerana bersedekah tidak menuntut kita untu menjadi kaya @ miskin. Beri sekadar yang termampu, walau hanya dengan sebiji kurma. Bersedekahlah, walau hanya dengan senyuman. Perkara yang disedekahkan tidak penting (sekurang-kurangnya jatuh ke nombor 2) asalkan sumbernya halal , yang lebih penting ialah keikhlasan hati. Dan apabila kita bersedekah, jangan sesekali riak & usah sekali-kali mengungkit (dengan tujuan menunjuk-nunjuk) dengan apa yang diberi, atau pemberian itu hanya akan menjadi sia-sia.

"3 golongan yang tidak dipandang Allah pada hari kiamat; penderhaka ibu, penagih arak & orang yang suka menyebut permberiannya." (dariapada Abdullah b Umar, HR al-Hakim)

Yakin & percayalah bahawa hak orang lain tetap terletak di dalam setiap harta & kekayaan yang kita miliki, walau ia hadir dengan titik peluh kita sendiri... Maka hulurkan tangan kepada yang memerlukan, sebagai tanda kasih & cinta kita sesama manusia. Tapi ingat! jangan pernah mengharapkan balasan (duniawi)...

p.s. "Apabila seseorang itu mati terputuslah daripadanya amalan melainkan 3; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat 7 anak soleh yang mendoakannya." (daripada Abu Hurairah r.a., HR al-Tirmizi)

Wallahua'lam~~

Friday, August 12, 2011

Bulan yang tak didendang...


"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa" (2:183)

Alhamdulillah, Ramadhan sudah masuk ke hari yang ke-13. Syukur pada peluang yang diberi hingga ke hari ini... ibadah puasa masih dapat disempurnakan tanpa cela... Alhamdulillah!

Bulan yang tak didendang...

Mungkin ramai yang tahu, tapi tak ramai yang sedar akan keadaan kita sekarang. Kedatangan Ramadhan bagaikan datangnya bulan-bulan biasa yang lain... tak didendangkan, hambar. Yang kelakarnya, bulan Syawal yang masih sebatu didepan telahpun diraikan terlebih dahulu. Buktinya?? Buka saja radio, dengar lagu-lagu yang dimainkan... Lagu bertemakan Ramadhankah yang bakal didengari atau lagu-lagu raya? Semalam saya ke Kuantan Parade, lagu-lagu raya cukup rancak dimainkan. Lepas satu, satu. Haish... kenapa tak diselang-selikan dengan lagu-lagu tentang puasa ke, solat tarawih ke... atau mungkin peringatan-peringatan yang bermanfaat. Kalau 2,3 hari lagi nak raya tu, lainlah ceritanya... bulan penuhpun belum lagi (Sabar je la... T_T)

Cuba lihat aktiviti kita selepas berbuka puasa...

** Ramai yang berbondong-bondong ke pasaraya untuk membeli baju raya, bekalan kuih raya, hiasan rumah & sebagainya. Alasannya, takut pilihan akan menjadi terhad jika beli lambat-lambat. Beli -belah waktu siang? Hish... tak naklah. Takut 'tersejat' agaknya. Maklumlah, Malaysiakan panas...

** Tak kurang juga pada mereka yang 'tersidai' di rumah selepas berbuka. Perut senak, katanya. Tak boleh nak solat terus, takut termuntah ketika sujud nanti. Maklumlah, makan banyak sangat. Dah pancit... Maknanya lepas berbuka, jadi macam ular sawa kenyanglah... melingkar je.

** Kalau dah solat Maghribpun, nak melangkahkan kaki untuk ke masjid, jauh sekali. Maklumlah, siang tadi puasa, pagi tak sahur pula, tengahari habis 1 bandar di ronda... menjelang malam, sudah 'melepek'. Kepenatan katanya.

Berapa ramai saja yang berjaya meguatkan diri untuk bertarawih di masjid/surau. Haish... manusia, manusia. Kalau bulan lain, mungkin mereka akan salahkan syaitan kerana menggoda. Ni dalam Ramadhan, siapa pula yang nak disalahkan? Nafsu? (Kenapa tak salahkan diri sendiri saja...). Orang yang proaktif akan sentiasa mencari jalan, bukan alasan.

Ataupun sekurang-kurangnya bertarawihlah di rumah, berjemaah dengan keluarga ke, buat sendiri ke... Tak tahu nak solat sendiri? Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan... kalau duit boleh habis ratus-ratus ringgit untuk beli baju raya, puluh-puluh ringgit belanja di bazar, takkan tak boleh keluar RM 5-6 untuk beli buku panduan solat terawih?

Memang tiket ke syurga tiada had, tapi ia juga tidak murah. Lagipun... Helllloooo....??!! Ramadhan ini hanya untuk berpuasa saja ke????

p.s. Rasulullah saw. bersabda: Barang siapa lupa bahwa ia sedang berpuasa, sehingga ia makan atau minum, maka hendaklah ia meneruskan puasanya, kerana sesungguhnya ia telah diberi makan dan minum oleh Allah. (H.R. Abu Hurairah ra. - Shahih Muslim No.1952)

Tuesday, August 10, 2010

Ramadhan: khutbah Nabi saw

Assalammua'laikum...
Khutbah Nabi Muhammad saw sebeum menjelang Ramadhan (pada malam terakhir Sya'ban).

Wahai manusia! Sungguh telah datang kepada kalian bulan Allah yang membawa berkah, rahmat dan maghrifah. Bulan yang paling mulia disisi Allah. Hari-harinya paling utama.. Detik demi detiknya paling utama. Inilah bulan dimana kalian diundang menjadi tetamu Allah dan dimuliakan oleh-Nya.

Pada bulan ini nafas-nafas kalian menjadi tasbih, tidur kalian ibadah, amal kalian diterima & doa-doa kalian dikabulkan. Mohonlah kepada Allah, Tuhan kalian, dengan niat yang tulus & hati yang suci agar Dia membimbing kalian untuk melakukan puasa & membaca kitab-Nya. Celakalah orang yang tidak mendapat ampunan Allah pada bulan agung ini.

Bersedekahlah kepada kaum fakir & miskin. Muliakanlah orang tua. Sayangilah orang muda. Sambungkanlah tali persaudaraan. Jagalah lidah. Tahanlah pandangan dari apa yang tidak halal untuk kalian pandang. Peliharalah pendengaran dari apa yang tidak halal untuk kalian dengar.

Bertaubatlah kepada Allah dari dosa-dosa. Angkatlah tangan-tangan kalian untuk berdoa pada waktu solat. Itulah saat-saat yang paling utama ketika Allah ‘Azza wa jalla memandang hamba-hambanya dengan penuh kasih. Dia menyahut mereka ketika mereka menyeru-Nya, menyahut mereka ketika mereka memanggil-Nya & mengabulkan doa-doa mereka ketika mereka berdoa kepada-Nya.

Wahai manusia! Sesungguhnya diri kalian tergadai kerana amal-amal kalian. Oleh kerana itu, bebaskanlah dengan beristighfar. Belakang-balakang kalian berat kerana beban (dosa). Maka dari itu, ringankanlah dengan memperpanjangkan sujud.

Ketahuilah! Allah swt bersumpah dengan segala kebesaran-Nya, bahawa Dia tidak akan mengazab orang-orang yang solat & sujud, & tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari manusia berdiri dihadapan-Nya.

Wahai manusia! Siapa saja diantara kalian memberi makan (untuk berbuka puasa) kepada orang-orang mukmin yang berpuasa pada bulan ini, maka disisi Allah nilainya sama dengan membebaskan seorang hamba & diberi ampunan di atas dosa-dosa yang lalu.

Jagalah diri kalian dari api neraka walaupun hanya dengan sebiji kurma. Jagalah diri kalian dari api neraka walaupun hanya dengan seteguk air.

Wahai manusia! Sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagi kalian. Kerana itu mintalah kepada Tuhan kalian agar tidak pernah menutupkannya bagi kalian. Sesungguhnya pintu-pintu neraka itu tertutup. Kerana itu mohonlah kepada Tuhan untuk tidak akan pernah membukakannya bagi kalian. Sesungguhnya syaitan-syaitan terbelenggu. Kerana itu, mintalah agar mereka tak pernah lagi menguasai kalian.

Wahai manusia! Sesungguhnya kalian akan dinaungi oleh bulan yang senantiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bulan yang mana Allah telah menjadikan puasanya suatu kefardhuan, dan qiyam pada malam harinya suatu tathawwu’.

Siapa saja yang mendekatkan diri kepada Allah dengan suatu amal kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menuaikan 1 kefardhuan di dalam bulan yang lain.

Ramadhan itu adalah bulan sabar, sedangkan sabar itu adalah pahalanya syurga. Ramadhan itu adalah bulan memberi pertolongan & bulan Allah memberikan rezeki kepada Mukmin di dalamnya.

Siapa saja yang memberikan makanan berbuka puasa kepada seseorang yang berpuasa, yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya & kemerdekaan dirinya dari neraka. Orang yang memberikan makanan itu memperoleh pahala seperti orang yang berpuasa tanpa sedikitpun berkurang.

Inilah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya ampunan & akhirnya pembebasan dari neraka. Siapa saja yang meringankan beban dari hamba sahaya, nescaya Allah mengampuni dosanya & memerdekakannya dari neraka.

Kerana itu, perbanyakkanlah 4 perkara pada bulan Ramadhan: 2 perkara untuk mendatangkan keredhaan Tuhan kalian, 2 perkara lagi yang sangat kalian perlukan. 2 perkara yang pertama ialah mengakui dengan sesungguhnya bahawa tidak ada Tuhan selain Allah & mohon ampunan kepada-Nya.. Dua perkara yang sangatkan kalian perlukan ialah memohon syurga & perlindungan dari neraka.

Siapa saja yang memberi minuman kepada orang yang berbuka puasa, nescaya Allah memberi minum kepadanya dari air kolam-Nya, dengan 1 minuman yang dia tidak merasakan haus lagi sesudahnya, sehingga dia masuk ke dalam syurga." - hadith riwayat Ibnu Khuzaimah.

p.s. Khutbah ini diberikan oleh seorang sahabat saya dalam bentuk hardcopy. Jadi saya taipkan semula untuk perkongsian... semoga bermanfaat!

Monday, July 26, 2010

Nabi kata, lebih wangi daripada misik!"

Salam' alaik....

Sedar tak sedar... bulan Sya'ban dah hampir ke penghujungnya... Bakal tiba tak lama lagi ialah Ramadhan. Ya, Ramadhan...
Mendengarkan tentang Ramadhan, pasti ada berbagai persepsi yang bakal terlahir dari mulut setiap muslim...
Mungkin ada yang kata, "Ya Allah, terima kasih kerana menemukan aku dengan Ramadhan sekali lagi."
Mungkin juga ada yang kata, "Ramadhan kali aku akan cuba manfaatkan sebaik-baiknya!"
Tak kurang juga ada yang kata, "Ramadhan kali ni aku nak khatam quran dan pergi tarawikh tiap-tiap malam."
Tapi mungkin juga akan ada yang kata, "Alamak, Ramadhan datang lagi? Kenapalah tiap-tiap tahun kena puasa?"
Atau ada juga yang kata, "Puasa kali ni nak buka kat mana, ek?"
Bagi yang berpandangan jauh, boleh juga kata, "Raya kali ni aku nak beli kuih 10 jenis, baju raya 5 pasang. Beli di mana murah?"
Lebih dasyat lagi bila ada yang kata, "Mana port aku nak ponteng puasa tahun ni, ek?"

Hmm... ragam manusia ni macam-macam. Kalau dah sebab "Islam" tu diwarisi turun-temurun...
Masya Allah. Semoga tahun ini, untuk Ramadhan kali ini, golongan-golongan (bertulisan kuning di atas) semakin berkurangan. Dan semoga saya tidak digolongkan dalam kalangan golongan tersebut. Amin...

Kalaulah setiap manusia sedar akan hakikat kehebatan puasa semasa Ramadhan ni, pasti... pasti tiap-tiap malam surau dan masjid akan penuh dengan jemaah-jemaah yang menunaikan tarawikh. Atau kalau kaki rasa berat sangat nak ke masjid, tarawikh di rumahpun jadilah (lebih baik daripada tak buat langsung). Pasti semua orang akan mengaji Quran, bertadabbur, berzikir, bermunajat... sampai kering air liur.

Dalam 1 buku yang saya baca, penulis menekankan bahawa puasa yang diwajibkan di bulan Ramadhan adalah bertujuan untuk menguji umat Islam. Setiap orang diberi ujian yang sama yakni berpuasa di bulan Ramadhan. Menahan lapar, dahaga dan nafsu di siang hari selama 1 bulan. Yakinlah bahawa Allah swt sedang menguji kita. Keinsafan, kesabaran, keikhlasan semuanya... Kata baginda nabi, "Sesiapa yang melaksanakan puasa Ramadhan dengan keimanan dan keikhlasan akan diampuni dosa-dosa yang telah lalu." Dosa terampun! Percuma saja... tak perlu susah-susah...

Selain itu, sistem pencernaan kita juga dapat direhatkan dan dibersihkan serta kandungan toksik dalam badan juga dapat dikurangkan. Jadi, bukankah dengan berpuasa kita dapat menjadi lebih sihat? Tambahan lagi, puasa bukanlah bertujuan untuk membataskan aktiviti seseorang bahkan untuk memberi kegembiraan dan kebahagian pada semua. Kata nabi lagi, "Orang yang berpuasa memiliki 2 kegembiraan. Kegembiraan saat dia berbuka dan kegembiraan saat dia bertemu Tuhannya."

Malahan dalam bulan Ramadhan juga al-Quran telah diturunkan dari langit (nuzul Quran, 17 Ramadhan) - Semak al-Baqarah, 2:185. Tak lupa juga pada penghulu segala malam, Lailatul Qadar yang penuh keberkatan dan ganjaran pahala bagi malam itu menyamai pahala bagi 1000 bulan. Doa orang yang berpuasa juga akan dimakbulkan. Sabda Rasulullah saw, "3 doa tidak ditolak. Doa seorang bapa, doa orang berpuasa dan doa orang dalam musafir." (riwayat al Baihaqi).

Malahan juga diriwayatkan dalam 1 hadis nabi, riwayat Bukhari bahawa di syurga nanti ada 1 pintu khas untuk orang-orang yang berpuasa memasuki syurga (di hari kiamat kelak). Dikatakan bahawa tidak ada orang lain selain daripada orang yang berpuasa akan diizinkan masuk melaluinya dan ia akan tertutup rapat setelah semua yang berpuasa masuk. Itulah pintu yang dinamakan al-Rayyan (dari perkataan al-Rayy yang bermaksud melepaskan dahaga). Macam vip kan? Ada pintu khas untuk masuk syurga!

Pintu-pintu syurga akan terbuka luas manakala pintu-pintu neraka akan tertutup rapat. Iblis dan syaitan juga akan dirantai. Apa lagi galakan dan ganjaran yang kita perlukan untuk berpuasa seikhlas hati? Walau hanya 1 hari berpuasa, kita sudah dapat merasakan 1 nikmat yang luar biasa ketika berbuka (walaupun dengan segelas air kosong)... jadi dapatkah anda bayangkan nikmat yang lebih besar menanti jika kita berpuasa lillahita'ala selama 1 bulan? Fikirkan sendiri...

p.s. Sabda baginda Rasulullah saw, "Demi zat yang menguasai jiwaku, Nescaya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah swt daripada minyak misik (kasturi)!" (hadis Qudsi)
wallahua'lam...

Popular Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...