Sunday, December 30, 2012
Peganglah hatiku & hatinya
Monday, May 7, 2012
ilmu itu bagaikan...
Salamu a'laik...
Tertarik tadi dengan 1 analogi yang diberikan oleh salah seorang mursyid di akhir rancangan Imam Muda 2 tadi... Dia bercerita secara ringkas tentang keperluan dalam mencari ilmu.
Katanya, awan yang berat akan menurunkan air. Air yang turun tidak akan bertakung atas puncak bukit yang tinggi...tapi akan bergenang disekitar bukit tersebut, pada permukaan tanah yang paling rendah.
Bukit yang tinggi itu digambarkan sebagai orang yang sombong dan air pula sebagai ilmu. Jelasnya, ilmu tidak akan lekat pada hati orang yang sombong. Tetapi, pada mereka yang merendahkan diri dan mengikhlaskan hati, ilmu akan mengalir dan terkumpul di dalamnya. Mereka ini golongan yang tahu nilai sesuatu ilmu dan pandai menghargainya, malahan bijak memanfaatkannya.
Kadang-kadang saya musykil, bagaimana seseorang ustaz itu mampu menghafal dan mengulas petikan-petikan dalam buku-buku atau kitab-kitab yang mereka baca dengan tepat. Malahan, kebanyakannya mampu memberitahu nama buku, pengarang bahkan nombor muka suratnya sekali. Saya bila baca buku, jangankan boleh ingat sebiji-sebiji ayat tu, kadang-kadang boleh terlupa baca daripada buku yang mana satu. (*sigh~~)
Teringat kata seorang sahabat saya, mungkin kerana keberkatan. Bagi saya, mungkin kerana niat. Niat mereka menuntut ilmu lillahi taa'la. Kita? oopppst... maaf, tersilap. Saya? Memang setiap kali sebelum bermula semester, niat akan diluruskan. "Belajar kerana Allah swt" Tapi bila menjelang hujung semester, silap-silap membaca hanya tak mahu gagal exam.
Wallahua'lam... Sama-samalah kita perbetulkan niat, ya.
p.s. Rasa terpisah sekejap dari masalah-masalah dunia yang serabut ni. Ya Allah! Beri kami kekuatan dan ketenangan.
Thursday, September 8, 2011
Berkelana Mencari Ilmu...
Di mana ada ilmu terlimpah, ke situ kaki melangkah.
Berkelana mencari ilmu... bagaikan 1 lumrah yang hakiki kepada setiap insan, baik lelaki mahupun perempuan. Siapalah diri ini tanpa ilmu & pengetahuan? Ilmu yang bermanfaat adalah kunci kejayaan, kejayaan adalah kunci kesenangan & kesenangan kunci terhindarnya kekufuran.
Abah saya pernah bercerita (dari sumber yang beliau percayai), katanya... Saudari-saudari se-Islam kita dari Indonesia (yang datang ke Malaysia tanpa izin dengan tujuan mencari rezeki) dikehendaki meninggalkan telekung mereka. Kalau ada yang bawa, telekung itu akan dicampakkan oleh tekong bot ke laut. Alasan yang diberi memang tak munasabah tapi mungkin itulah hakikatnya- kalau bersolat, orang Cina takkan ambil berkerja. Logik juga... ekonomi kita memang dikuasai mereka, jadi mereka yang ramai mengambil buruh luar. Tanpa solat, mudah saja untuk lupa pada agama.
1 lagi kisah... lebih menyayat hati. Abah saya pernah berjumpa dengan seorang pekerja wanita Indonesia yang beragama Islam, telah dipaksa berkahwin dengan majikannya yang bukan beragama Islam. Waktu itu, nasi telah menjadi bubur. Mereka sudahpun bertahun-tahun kahwin, sudah beranak -pinak. Abah bertanya kepada wanita tersebut, tahu tak perbuatannya itu hukumnya haram. Dia jawab tahu, cuma dia terpaksa. Kalau tak kahwin, dia akan dihantar pulang ke Indonesia. Datangnya ke Malaysia sudah berhutang, jika dihantar pulang pasti bertambah hutangnya, sedangkan dia gagal mencari nafkah di negara sendiri. Nampak tak? Dia menjual agamanya demi wang untuk meneruskan hidup (ya Allah, minta dijauhkan!)
Disitulah pentingnya ilmu, dunia & akhirat.
Dan yang pastinya, hadirku di bumi UIAM ini bukanlah untuk menuntut ilmu dunia semata-mata.
Ilmu dunia penting demi kemajuan diri, agama & negara.
Ilmu akhirat penting demi keselamatan diri & masyarakat.
Tanpa ilmu dunia masyarakat akan miskin, negara akan mundur.
Tanpa ilmu akhirat diri mudah terpesong, masyarakat boleh rosak.
Kerana hidup ini hanya sekali, maka usahlah ia sia-sia!
Daripada Sa'ad b Abu Waqqas ra, Nabi saw bersabda, "Kelebihan ilmu lebih aku sukai daripada kelebihan ibadat. Kebaikan dalam agama kamu ialah warak." (HR al-Hakim)
Pesan abah sewaktu di dalam kereta tadi, carilah ilmu seikhlas hati. Niatkan lillahi ta'ala. Jihadkan diri dalam mencari ilmu - demi Allah, agama, masyarakat & negara. Insya Allah jika mati ketika berkelana mencari ilmu, nilainya syahid.
Kerana umat Islam adalah yang terbaik, maka pastikanlah ilmu kedap di dada & bermanfaat kepada semua... agar dihormati bangsa lain, agama lain. Bangsa yang berilmu & beragama akan menjadi bangsa pemerintah yang komprehensif, kompetatif & mulia.
p/s. lihat 6 syarat-syarat menuntut ilmu yang digariskan oleh Imam al-Syafie di Menjejak Khazanah Ilmu.
wallahua'lam~~
Saturday, August 13, 2011
Tangan yang terhulur...
Lumrah manusia memang suka berbelanja. Belanja untuk pakaian, perapi diri, hiasan rumah, gadget & sebagainya. Duit gaji/elaun yang diterima setiap bulan kadang-kadang habis begitu saja. Lebih malang lagi, kadang-kadang duit kita sampai negatif bakinya (berhutang). Hutang kawan, hutang bank, hutang kad kredit... berbelanja dengan duit yang kita tak ada.
Tapi itu bukan masalahnya di sini. Cuba jawab, berapa banyak daripada bahagian gaji/elaun kita habis ke jalan sedekah? RM1 seminggu, atau RM1 setahun? Sedangkan harta kita yang sebenar-benarnya adalah yang disedekahkan, diinfakkan, dizakatkan, diwakafkan... bukan yang dibelanjakan. Maka tak hairanlah jika orang yang paling kaya di dunia boleh menjadi orang yang paling miskin di akhirat...
Jangan tunggu kaya baru nak bersedekah. Kerana bersedekah tidak menuntut kita untu menjadi kaya @ miskin. Beri sekadar yang termampu, walau hanya dengan sebiji kurma. Bersedekahlah, walau hanya dengan senyuman. Perkara yang disedekahkan tidak penting (sekurang-kurangnya jatuh ke nombor 2) asalkan sumbernya halal , yang lebih penting ialah keikhlasan hati. Dan apabila kita bersedekah, jangan sesekali riak & usah sekali-kali mengungkit (dengan tujuan menunjuk-nunjuk) dengan apa yang diberi, atau pemberian itu hanya akan menjadi sia-sia.
Yakin & percayalah bahawa hak orang lain tetap terletak di dalam setiap harta & kekayaan yang kita miliki, walau ia hadir dengan titik peluh kita sendiri... Maka hulurkan tangan kepada yang memerlukan, sebagai tanda kasih & cinta kita sesama manusia. Tapi ingat! jangan pernah mengharapkan balasan (duniawi)...
p.s. "Apabila seseorang itu mati terputuslah daripadanya amalan melainkan 3; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat 7 anak soleh yang mendoakannya." (daripada Abu Hurairah r.a., HR al-Tirmizi)
Wallahua'lam~~
Wednesday, April 27, 2011
D.O.A
(H. R Muslim, Abu Dawud, Nasaai)
Cuba renungkan...
Dalam sibuk seharian, berapa ramai antara kita yang meluangkan masa untuk berdoa?
Sementara duduk termenung di dalam bas, berapa ramai antara kita yang berdoa?
Selepas menunaikan solat, berapa ramai antara kita yang berdoa?
Dalam keriangan tawa gembira, berapa ramai antara kita yang berdoa?
Doa yang kita dipanjatkan itu bukanlah untuk kepentingan tuhan. Allah swt tetap tuhan yang esa, gagah & tak terjejas tanpa doa kita. Tanpa doa, Allah swt tidak apa-apa (bukan seperti lagenda kuno Greek yang menganggap bahawa dewa-dewi mereka bergantung pada doa manusia untuk kekal). Tapi hakikatnya sebagai muslim, doa yang kita panjatkan itu sebenarnya adalah untuk diri kita juga, untuk umat Islam juga. Doa merupakan tanda kesungguhan kita dalam mengharapkan pertolongan Allah swt.
Cuba fikir, kenapa setiap hari (selalunya selepas solat la...) kita akan baca doa yang sama? 5 kali sehari, berulang-ulang... OK, mungkin ada dalam kalangan kita yang berbeza-beza doanya setiap kali lepas solat, tapi saya rasa, intipati doa itu sedikit sebanyak pasti tak jauh beza, kan? Kita biasanya mohon diampunkan dosa, dimurahkan rezeki, dilindungi di dunia & akhirat dll.
Hmm... Kalau dah intipati doa itu lebih kurang sama saja setiap kalinya, kawan-kawan perasan tak, kenapa kita tak doa "Ya Allah ya tuhanku, aku minta sama macam semalam, ya. Amin...". Kenapa setiap kalinya kita tetap melafazkan doa yang lengkap & panjang selepas solat? Sedangkan kalau difikirkan, ayat doa yang pendek tadipun boleh juga sebab bukankah Allah swt tu maha mengetahui? Masa kan Allah swt lupa doa kita tadi/semalam... (tujuan saya bukan untuk mempersoalkan, tapi sekadar mengajak anda berfikir!).
Kita tak kata "Ya Allah ya tuhanku, aku minta sama macam semalam, ya. Amin..." kerana ia tidak melambangkan kesungguhan kita dalam meminta bantuan daripada Allah swt. Kita kelihatan seolah-olah sekadar melepaskan batuk di tangga, atau bak kata orang, sekadar ambil syarat sahaja. Sebab itulah kita punya adab-adab berdoa - yang akan membantu kita untuk lebih khusyuk ketika memanjatkan doa, agar kita lebih menghayati bait-bait doa yang yang dilafazkan supaya doa itu nilainya bukan sekadar angin lalu; tetapi akan terkesan di hati. Doa yang ikhlas dihulurkan pasti dapat membantu membina peribadi yang lebih baik (insyaAllah!) Lagipun, bukankah doa itu senjata muslim?
“Apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu, hai Muhammad, tentang Aku, maka katakanlah bahwa sesungguhnya Aku ini dekat. Aku dapat mengabulkan permohonan orang yang berdoa padaKu jikalau ia telah memohonkan itu padaKu...”
(al-Baqarah: 186)
p.s. Jangan lupa untuk doakan untuk sekalian umat Islam, ya! ^^
~Wallahu a'lam~
Friday, December 31, 2010
Anak baik...
Assalammualaikum...
Aku? Cuma insan biasa.
Sejarahku dimulakan oleh mak dan abah.
Syukur pada-Mu, ya Allah!
Yang memberikan sebaik-baik manusia...
Anugerah-Mu padaku yang paling besar... mak dan abah.
Senakal-nakal aku...
Kalau mak dan abah marah,
Aku akan diam.
Kepala kutundukkan tanda hormat,
Walau mukaku akan kelat,
Namun bantahanku terhad.
Diamku tanda taat,
Kerana aku tahu,
Amarahnya mendidik,
Tegurannya kasih sayang.
Semalas-malas aku,
Kalau mak dan abah suruh,
Aku akan buat,
Agenda peribadi kuketepikan ketika itu.
Kerana aku tahu,
Suruhannya baik,
Permintaanya berpatutan,
Dan kerana mereka sayangkan aku,
Mereka meminta aku membantu.
Mak dan abah bagaikan penjaga syurga,
Mentaati mereka insya Allah terjamin di Sana.
Sedegil-degil aku,
Kalau mak dan abah larang,
Aku akan ikut.
Sudah pasti ku pujuk rayu dahulu,
Dan jika ditolak,
Hatiku pasti akan akhirnya merajuk,
Namun aku tak berani membantah.
Kerana aku tahu,
Masinnya garam itu awal terasa di lidah mereka.
Larangannya bersebab,
Alasannya munasabah.
Semarah-marah aku,
Kalau mak dan abah tanya,
Aku akan jawab.
Nada ku rendahkan,
Ketidakpuasan hati kutepikan.
Kerana aku tahu,
Meninggikan suara ertinya derhaka,
Dan derhaka balasannya neraka!
Segarang-garang aku,
Kalau mak dan abah minta jaga adik,
Aku akan taat,
Walaupun ketika itu aku nak keluar dengan teman,
Sanggup aku tangguhkan,
Kerana kepentingan jatuh pada keluarga,
Yang susah senangnya bersama,
Tanggungjawab diberi aku pegang,
Kerana muslimin sejati harus amanah.
Makan minum mereka aku jaga,
Agar adik-adik melihatku sebagai contoh terbaik,
Yang cuba untuk jadi anak baik.
Atas nama cinta aku tercipta,
Atas nama masa aku dewasa,
Atas nama zuriat aku dipelihara,
Atas nama ilmu aku berjaya.
Kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sewaktu kecilku, ya Rab!
Lindungilah mereka sebagaimana mereka melindungiku sewaktu kecilku, ya Rab!
Bahagiakan mereka sebagaimana mereka membahagiakanku sewaktu kecilku, ya Rab!
Moga dapat ku menjaga mereka sebagaimana mereka menjaga ku sewaktu kecil...
Malahan.... Semoga lebih baik lagi... amin~~
Wallahu 'alam~
Wednesday, August 12, 2009
bagai tercampak ke dunia lain?
Assalammuailaikum...
salam sejahtera buat semua hamba kepada tuhan yang maha menciptakan...
yang berada di langit dan di bumi, serta yang menetap di antara kedua-duanya...
sesungguhnya semua ini adalah milikNya, yang maha pemurah lagi maha penyayang...
terlahir 1 rasa dalam diri, yang mana agak susah untuk ditafsirkan.
tertanya2, "apakah rasa ini?"
gembirakah @ bahagia? dalam menerima sesuatu?
bukan... bukan... ia lebih daripada itu.
apa saja ia, terlalu manis rasanya.
mungkin ini adalah 1 rasa berterima kasih kepadaNya.
bukan bersyukur.
perkataan "syukur" itu terlalu besar ertinya.
rasanya insan yang kerdil ini masih tak layak untuk menggunakan perkataan itu.
bak kata seorang sahabat, "susah kita nak dapat rasa bersyukur tu. tapi tak salah kalau cari."
kenapa agaknya, tiba2 saja rasa berterima kasih?
ya, mungkin kerana Allah swt telah memilih aku agar dilahirkan terus dalam Islam.
aku diajar terus cara hidup Islam, batas2nya, diajar mengucap, solat, puasa... semuanya!
dan dikira juga sebagai bernasib baik, kerana Islam itu bukan pada nama semata2.
diri ditemani dengan kelompok yang beramal dengannya, yg baik2...
pengalamam kerja selama 1bulan setengah sebagai seorg promoter biskut di sebuah mini market sememangnya membuka minda...
diri ini bagai diseret ke dlm 1 tmpat yang agak asing, bukan2... sangat asing!
bagai tercampak ke dunia lain? agaknya itu yang paling tepat.
seperti berada di planet yang lain. dunia yg bukan aku kenal.
komuniti tempat kerja sementaraku itu nyata bezanya dengan tampat belajarku sekarang...
di sini, diri ini bagai tiada sinarnya, namun ketika di sana terasa seperti berlian yang tercampak ke gunungan kaca... melampau pula bunyinya, namun itu yang nyata.
majoriti pekerja tetap mini market itu adalah golongan muda, 19-20++ tahun.
bagiku mereka sedikit berbeza dengan golongan yang sedia ku dikenali.
fizikalnya seperti yang lain, namun mungkin gaya hidup yang memeranjatkan ku,
serius... macam kena culture shocked!
hmm... pada usia muda, meraka dah fikirkan secara serius pasal kahwin.
bukan nak kata salah, betullah tu... memikirkan masa depan.
tapi, yang terjelas daripada mereka itu, konsep "kahwin" hanyalah kahwin...
-suka sama suka, kahwin, buat anak, dapat anak... itu saja.
lebih daripada itu??? kebajikan keluarga? ekonomi rumah tangga? hal ehwal agama?
yang lucunya, rancang nak kahwin hujung bulan ni, tapi kerja tetappun tak ada lagi. mengajipun tak tahu, hurufpun tak kenal. jenis najispun tak tahu.
solat? tak payah cakap...
boleh bilang dengan jari saja siapa yang buat. dasyat rasanya...
itupun sibuk2 nak kahwin, nak bina keluarga tapi masih menetap di rumah mak dan ayah.
tapi pelik, macam mana boleh lulus kursus kahwin? mudah sangatkah?
bila tiba hari Jumaat, semua pergi ke gerai makan, lepak di surau (yang disediakan), tidur-tidur, bercampur lelaki perempuan? memang, pintu dibuka luas... mungkin tiada maksiat berlaku, tapi maniskah bagitu? nauzubillah... rasa nak menangis...
bertepuk tampar lelaki perempuan, berkata-kata lucah sesuka hati...
tak keterlaluan rasanya untuk mengatakan betapa ceteknya pengetahuan agama, amalannya...?
tapi, pandai pula. kalau dah 2 minggu berturut2 tak pergi solat Jumaat, minggu ketiga mereka pasti pergi, beramai2... "ish...dosa.", katanya.
yang tu dosa. yang lain? solat yang sengaja ditinggalkan tiap2 hari? "aku penatlah", katanya.
"akak lupa nak sembahyang tadi, dik"-teringat kata seorang pekerja di situ.
lupaaa???!!! macam mana boleh lupa? padahal dia nampak aku solat tadi.
prosedur tempat kerja perlu berpakaian kemas dan sopan.
jadi, semua perempuanpun pakai tudung. tampak sopan, kemas. ikut syarat kerja.
tapi, bila masa cuti, datang membeli-belah di tempat kerja...
huh! berlumba2. siapa punya sanggul yang lebih tinggi? siapa yang lebih seksi?
sungguh, mungkin biasa bagi yang lain. tapi tidak padaku.
seorang sahabat yang kuhubungi ketika aku masih bekerja di situ mengatakan, "sungguh, kau harus ada rasa simpati dan kasihan pada mereka."
dia berkata begitu kerana aku berasa marah dengan keadaan itu.
"satu yang kau boleh buat, tunjukkan contoh yang baik.", pesannya lagi.
ya... itulah yang cuba dilakukan sepanjang itu.
sedikit rasa gembira, kerana aku di situ cuma 1bulan setengah.
ya... mungkin bunyinya seperti aku mementingkan diri.
tapi, rasanya dah tak sanggup untuk melaluinya untuk 1 tempah masa lagi. cukup sekali!
semoga Allah akan membuka setiap pintu hati mereka agar menyedari bahawa hidup ini bukan hanya di sini... tapi juga di sana. akan datangnya Sa'ah, hari yang nyata.
Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan taatkan Allah, beramal soleh, maka ia dibangkitkan oleh Allah hidup kembali dengan keadaan yang menyukakannya; dan sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan derhaka kepada Allah, berbuat jahat, maka ia dihidupkan kembali dengan keadaan yang mendukacitakannya".
Jabir r.a
wallahu a'lam
Thursday, July 2, 2009
Saat harapan lama berputik...
Assalammualaikum… salam sejahtera ke atas kamu, kelangsungan doa yang membasuh jiwa-jiwa insan yang ternoda. Penyuci hati nurani setiap umat manusia, kesalingan untuk berdoa bagi kesejahteraan setiap yang lain. Semoga jalinan ucapan salam akan berterusan, insya Allah…
Apa agaknya rasa saat harapan lama kembali berputik? Disaat hati asyik merintih mengenangkan perihal nasib, tiba-tiba pintu harapan terbuka luas. Peluang keemasan yang begitu lama diharap datang menjengah. Semua yang diperlukan hanyalah beberapa langkah, untuk maju dan terus maju... melangkah dan menjengah ke gerbang impian. Setelah sekian lama cita-cita dipendam, setelah begitu kerap dikecewakan, setelah sering merintih dan menangis akhirnya pintu rezeki terbuka, luas dan terasa mudah. Impian yang hampir tinggal angan-angan kini tampil semula dengan harapan. Harapan yang ada halanya, yang ada tujunya. Setelah sekian lama...
Disaat impian mahu menjadi kenyataan, barulah kita sedar bahawa kita sebenarnya telah berada terlalu jauh daripadaNya. Hanyut dalam godaan dunia yang fana. Tatkala cuba menyelami hati sendiri, ternyata di dasarnya terlalu gelap dan hitam hingga tak mampu untuk disuluh. Adakah kekecewaan telah menggelapkan hati? Membutakan perasaan hingga tak dapat dibezakan lagi baik dan buruknya kelakuan?
Memang benar! Sebelum peluang keemasan tersebut datang, keyakinan mungkin tergugat, keakuran telah memaksa diri untuk berpaling... berpaling deripada jalan yang lurus. Kekecewaan dan kesedihan kerana kegagalan memang mampu untuk menyesatkan, menyesakkan hati menyebabkan diri terpesong, tersasar jauh... terkeluar daripada cahaya keimanan. Kita mula menyalahkan keadaan, menyalahkan diri, dan ada pula segelintir yang menyalahkan tuhan! Nauzubillah... apakah kesedihan dan kehampaan yang dialami maha hebat? Adakah ia terlalu besar hingga mampu mensyirikkan hati?
Sepatutnya disaat kekecewaan, kehampaan dan kesedihan bermaharajalela di dalam jiwa, hati sepatutnya lebih berusaha untuk mendekatkan diri kepadaNya. Dalam keadaan diri yang melewati zaman kejatuhan, keyakinan kepada Allah SWT sebagai al-khaliq tidak seharusnya tergugat.
Percaya, percaya kepadaNya!
Ingat, ingat sentiasa kepadaNya,
Nescaya Dia jugakan ingat kepadamu...
Renungkan kembali... kepada siapa kau mengharapkan bantuan? Kepada siapa kau meminta pertolongan?
Berharap pada manusia... kecewa,
Berharap pada hati... dilukai,
Berharap pada dunia... sementara,
Berharap pada syaitan... disesatkan,
Berharap pada Allah... indah!!!
Ketahuilah bahawa janji Allah itu benar. Sentiasa yakin dan reda kerana Dia tidak pernah mengecewakan hamba-hambaNya percaya kepadaNya. Allah SWT berfiman dalam surah al-Baqarah ayat 112,
”Bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah,disamping melakukan kebaikan, baginya ganjaran daripada sisi TuhanNya, dan dia tidak akan berdukacita.”
Nyata sekali bahawa Allah SWT, adalah tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang. Dia menjanjikan kebahagiaan kepada hambaNya, yang beramal dan berserah diri kepadaNya. Jadi, mengapa perlu disangsi lagi? Yang penting adalah ikhlas. Keikhlasan adalah kunci segala kebaikan, kunci kepada keredaan.
Keikhlasan dalam menerima segala qada dan qadarNya pasti menjanjikan kebahagian. Kebahagiaan yang membuatkan hati tersenyum dan rasa seakan ingin menjerit lalu berkata, ”Inilah perkara terbaik yang pernah tarjadi kepadaku!”. Namun, akankah ia berpanjangan? Dapatkah peluang keemasan yang diberi ini dimanfaatkan dengan baik? Akankah ia memberikan hasil yang lumayan, atau sekadar datang sebagai satu lagi ujian dek kerana hati yang terlalu merintih dan meminta?
Wallahualam... sesungguhnya setiap manusia tidak pernah terlepas daripada diuji. Bergembiralah sesiapa yang lulus dengan cemerlang, tapi usah berduka jika gagal. Sesungguhnya, manusia pastikan berlajar daripada setiap kegagalan yang melanda diri.
Perkara yang perlu dilakukan cuma empat... niat, usaha dan tawakal serta ikhlas dengan setiap yang ditentukan kerana sesungguhnya Allah SWT itu adalah pentadbir sekalian alam. Maha hebat Dia! Dia maha mengetahui setiap perkara yang terjadi walau hanya sebesar zarah sekalipun.
Ternyata hujan lebat yang datang melewati hati sememangnya meresahkan diri. Disaat jasmani dan rohani diselubungi awan mendung, kita tertanya-tanya, ”Ke mana hilangnya sang mentari?”. Kita tercari-cari dengan penuh kehampaan... tanpa kita sedari bahawa sebenarnya Allah SWT mahu menghadiahkan kita sang pelangi yang berwarna-warni, indah sekali untuk kembali menghiasi empayar diri.
Subhanallah... maha suci Allah, tuhan yang menciptakan sekalian alam.
Monday, June 22, 2009
kenapa hati, kenapa wahai hati?
salam sejahtera... salam kesyukuran buat alam yg luas terbentang, buat langit yg tinggi menjulang. salam keinsafan dipanjatkan kpd Ilahi, tuhan yg maha menciptakan.
entah kenapa, mlm ini hati ini rasa sayu. sedih sndiri tanpa sbb yg wajar. kesayuan dan kesedihan yg melangkaui batasan fikiran menyebabkan hati ini terguris sendiri, lantas menitiskan air mata ke bumi. seperti selalu, seperti hari-hari yg sblmnya hati ini meronta-ronta meminta sesuatu.
kenapa hati selalu meminta sesuatu yang bukan haknya? kenapa hati selalu tidak bersyukur dgn nikmat yg sudah ada, yg sudah dikecapi? kenapa hati sering kali buta dan tidak nampak hala tujunya? kenapa hati sering mengata, mendengki? kenapa hati selalu terguris dgn situasi? kenapa hati, kenapa wahai hati?
hati ini berasa sedih sekali... pedih. entah kenapa hati ini enggan menerima hakikat yg hakiki. bila angan-angan yg dipasang tinggi melangit tidak kesampaian, rasa seperti jatuh terhempas ke bumi...berkecai, berderai. rasa sedih, kecewa dan sayu bagai tak terkata. lukanya dalam, sangat dalam tapi tak kelihatan. cuma air mata yg diharap dpt menyembuhkan. namun, sampai bila? sampai bila harus berendam air mata, menangisi pada cita-cita yg tak kesampaian? dan bila yg diharap menjd hak yg lain, hati mula mendengki. iri hati... dan bila rasa tak puas hati menguasai diri, kekecewaan mula mengambil alih. kemurungan kan bakal melanda. namun haruskah kekecewaan dan kemurungan ini menjadi busuk? perlukah perasaan 'busuk hati' diberi peluang utk bermaharajalela?
hati mulai membengkak, luka melarat. makin dipendam, makin hati sakit. makin diperam, makin hati melarat, lukanya merebak... umpama kuman berbahaya yang mampu merasuk minda.
namun, disaat kemurniaan hati mulai dibawa pergi, diwaktu hati mulai dibuai perasaan iri, benci, dan kecewa... bagai ada nur yg dtg mengetuk, menjenguk... kewarasan minda terjaga, kehalusan jiwa tersentuh, mengapa kedamaian hati perlu diusir? bukankah semuanya ketentuan Ilahi? bukankah semuanya telah tercatat di lauh mahfuz? mengapa perlu disesalkan tentang nasib? sedangkan memang itu yg telah dijanjikan dulu... sblm ruh ditiupkan ke dalam jasad, semasa masih di rahim ibu.
perlukah ditambah satu lagi noda hitam di dalam hati? menggelapkan lagi warnanya, menghilangkan langsung serinya. sedangkan, telah diciptakan manusia sebaik-baiknya, untuk menjadi insan berguna. namun, bagaimana agaknya untuk menjadi seorang insan yg berguna, jika hati penuh noda? gelap kelam dengan bintik-bintik sang noda hitam, merubah warna hati, menyelaputi kebaikannya.
bukankah setiap insan di dunia ini telah diciptakan untuk saling berkasih sayang, hormat-menghormati, bertoleransi... agar sejahtera dan damai hidup ini. namun mampukah insan utk berkasih sayang, hormat-menghormati dan bertoleransi andai 'tiada' hati? dan mampukah insan hidup dalam ketiadaan hati?
walaupun hati pada zahirnya cuma sekadar seketul daging yg berlumuran darah, namun hakikatnya hatilah nadi kehidupan. nadi insan utk meneruskan kelangsungan hidup. di situlah letaknya kasih sayang, cinta, toleransi, rasa tanggungjawab dan segalanya. namun ingat!!! di hati juga letaknya benci, marah, kecewa, ego dan dengki. kecelikan minda dan kelapangan jiwa perlu sentiasa membimbing hati, agar diri tidak tergolong dlm golongan yg rugi.
jadi...
bersyukurlah,
bersyukurlah wahai hati!
krn hidup ini masih indah,
masih bersinar dgn nur Ilahi.
walau hajat mungkin tak dikecapi,
namun jgnlah iri wahai hati.
usahlah dengki...
krn kelak merana diri.
sabarlah hai hati,
tabahlah hai hati...
krn sementara cuma hidup duniawi.
yakinlah, yakinlah hai hati,
Allah itu maha mengadili,
maha mengetahui, maha mengasihi,
Dia tahu apa yg terbaik utkmu hati.
demi Allah SWT, tuhan yg esa, tuhan yg menciptakan sekalian alam... kumohon, bimbinglah sang hati dgn taufik dan hidayahMu agar tidak tergolong dlm kalangan mereka yg rugi. sinarilah sang hati dgn cahayaMu, damaikanlah hati agar hidup ini penuh keberkatan, penuh kesyukuran, penuh keimanan.
wassalam...
Popular Posts
-
assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh... disebalik setiap kesedihan dan kedukaan yg acap kali melanda diri... jiwa insani yg tak selal...
-
Bismillahirrahman nirrahim… Wahai Tuhanku yang membolak-balikkan hati, peganglah hatiku, peganglah hatinya. Sudah dua hari rasa su...
-
salam sejahtera... salam kesyukuran buat alam yg luas terbentang, buat langit yg tinggi menjulang. salam keinsafan dipanjatkan kpd Ilahi, tu...
-
Nabi Muhammad saw., bersabda, "Perbanyaklah mengingat pemutus segala kenikmatan duniawi (ke mati an)." Kata seorang sahaba...
-
Assalammua'alikum... Hmm... tak tahu nak kata apa sekarang ni... Tengok fesyen tudung sekarang ni semakin entah apa-apa. Apa agaknya ert...
-
Tuhan amat dekat dengan hambanya apabila dia sedang sujud maka perbanyakkanlah do’a (waktu sujud).” (H. R Muslim, Abu Dawud, Nasaai) Cuba r...
-
Salamu a'laik... Tertarik tadi dengan 1 analogi yang diberikan oleh salah seorang mursyid di akhir rancangan Imam Muda 2 tadi... Dia...
-
Alhamdulillah...Syukur kepada Allah swt yang telah memberikan kesempatan kepada saya untuk melangkahkan kaki semula di Bumi UIAM, Kuantan ya...
-
Assalammua'alikum... Salam perangsang minda disaat-saat dunia diambang keruntuhan akhlak. Dimanakah kita agaknya? Baru-baru ini ada seor...
-
salam'alaika.... terfikir sejenak tentang lumrah kehidupan yang kelihatan seolah2 mempermainkan... terkadang terjulang di puncak, terkad...



