Buat duit online

Friday, April 23, 2010

Daripada insan kepada insan...




Assalamualaikum wbt...


Tiada hidup tanpa harapan,

Tiada harapan tanpa peringatan,

Senyumlah pada hidup, harapan dan peringatan,

Daripada insan kepada insan...


Bila gagal,

Ingatlah bahawa tiada satupun di dunia ini milik kita.

Bila berjaya,

Ingatlah untuk bersyukur pada yang Esa.

Bila sedih,

Ingatlah hidup ini ada maknanya.

Bila gembira,

Ingatlah pada dugaan yang bakal tiba.

Bila marah,

Redakanlah segera kerana syaitan itulah kegemarannya.

Dan bila rindu,

Bisikkanlah dalam sujudmu kerana Tuhan itu maha mendengar semuanya.


Berhentilah sebentar,

Dan hidulah wanginya mawar.

Berehatlah seketika,

Dan lihatlah keindahan dunia.

Deruan ombak dan hembusan bayu,

Ciptaan “tangan-tangan ajaib” Ilahi.

Ukur pada diri,

“Siapalah aku untuk marah?”

“Siapalah aku untuk sedih?”

“Siapalah aku untuk gagal?”


Kegagalan itu hanya terjadi,

Apabila kita yang menghendaki.

Berkerjalah dengan ikhlas,

Berkerjalah dengan sebaik mungkin,

Hidup hanya sekali,

Berkerjalah sampai mati.

Bertawakallah, berdoalah,

Agar hajat berjaya dipenuhi,

Namun jika tidak berjaya,

Sesungguhnya ujian itu mematangkan insan,

Allah itu maha mengetahui.

Tak berjaya tak bermakna gagal!


Kenali erti hidup.

Kenali diri sendiri.

Sayangi kehidupan,

Rindui kematian.

Sedari kewujudanmu,

Hargai dirimu,

Ketahuilah kelebihanmu.

Keseronokan akan datang,

Bila kamu menghargai yang lain.

Ucaplah, “terima kasih”,

Ucaplah, “maaf”.

Lafazkan, “tolong” bila perlu,

Usah ego,

Usah sombong.


Berani untuk berkata, "tidak",

Berani untuk hadapi kenyataan,

Berani kerana benar.

Bila jalan tak mampu gapai impian,

Jangan tersembam dan mengeluh,

Berhenti mencuba adalah kekalahan hakiki,

Kekalkan dan kuatkan impian,

Tapi ubahlah jalan.


Palinglah pada orang disebelah,

Katakan padanya, “Kau memang istimewa.”.

Setiap pujian untuk yang lain itu,

Kelak pastikan kembali pada kita.

Jangan mengata orang,

Terutama pada kekurangan.

Jangan merendahkan usaha yang lain,

Mungkin itu usaha terbaik mereka.

Sahabat yang sejati pastikan melangkah masuk,

Ketika seluruh dunia berpaling pergi.


Kecantikan asli adalah tanpa solekan,

Kesucian hati adalah tanpa kejahatan,

Kematangan minda adalah tanpa perbalahan,

Tahu pada agama bukan sekadar “tahu”,

Tapi pada hati, lidah dan perbuatan.

Iman di dada bukan untuk disimpan,

Tunjukkan dan kongsikan.


Berhenti menjadi materialistik,

Tapi jadilah seorang yang fantastik.

Apa ada pada duit?

Jika tak mampu membeli kebahagiaan.

Apa ada pada harta?

Jika tak mampu berasa selamat.

Apa ada pada manusia?

Jika tak mampu menjaga maruah.

Apa ada pada rindu?

Jika melayannya buatkan kita hanyut dari-Nya.

Apa ada pada hidup?

Jika tak mampu mencapai syurga.


Ingat untuk mengingatkan,

Kerana manusia itu mudah lupa.

Berkerja bagai hidup seribu tahun,

Beribadah bagai mati sekejap lagi.

Bumi ini amanah,

Jagalah dan peliharalah.

Manusia itu bersaudara,

Serulah dan berdakwahlah,

Kerana kubur itu masing-masing,

Jadi sekarang!

Bantulah, oh bantulah.

Kerana syurga itu luas,

Tiketnya tak terhad.


Demi Allah,

Yang bersumpah atas nama masa,

Jauhkanlah kami daripada kerugian yang nyata.

Bimbingi kami ke jalan yang lurus,

Mudahkan hati meninggalkan dunia.

Hapuskan “wahan” dalam jiwa ini,

Dan bawalah kami pulang dalam keadaan terpuji.

Amin…



p/s. “wahan” adalah sejenis penyakit hati dimana manusia amat menyintai dunia dan takutkan mati.


Wednesday, April 14, 2010

hati yang mati...


Salammua'laik...

Seronok rasanya bila cuti semester sudah bermula. Hmm... hari yang dinanti-nanti telahpun tiba. Permulaannya agak baik. Kelmarin, saya baru saja balik daripada menghadiri Kem Iflah II anjuran Persatuan SLUe (UIAM) di Kem Kalumpang, Hulu Selangor. Seronok sungguh rasanya dapat berkenalan dengan kawan-kawan yang datang daripada seluruh pelusuk dunia (yang juga merupakan pelajar UIA Gombak). Di kampus Kuantan kurang orang luar (foreigners).

Apa-apapun perkara yang hendak dikongsikan hari ini ialah tentang isi tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Warso Winata. 'Kamu begitu istimewa' (You are very special) dan 'Kebenaran hidup di dunia ini' (The truth of life of this world), itulah tajuk kedua-dua tazkirah yang diberikan. Penyampaiannya padat dan mengagumkan!

Perkara yang dapat disimpulkan ialah, ternyata hidup kita di dunia ini telah menjadikan kita sebagai insan yang istimewa dalam cara kita yang tersendiri. Setiap insan mempunyai kelebihan dan kelemahan yang perlu dipelihara dan dipulihara. Katanya, kita harus bersyukur kerana diberi peluang untuk belajar dengan selesa disaat saudara-saudara kita yang lain terpaksa belajar di atas tanah, merana akibat kebuluran dan peperangan.

Ustaz Warso juga membangkitkan persoalan-persoalan yang menarik. Persoalannya membuatkan pandangan mata hati terbuka luas, bertapa kita "tidak sedar" dengan perkara yang berlaku disekeliling kita.

"Apa perkara yang paling besar?" > NAFSU
"Apa perkara yang paling jauh?" > MASA LEPAS
"Apa perkara yang paling dekat?" > MATI
"Apa perkara yang paling berat?" > AMANAT
"Apa perkara yang paling ringan" > MENINGGALKAN SOLAT

Menakjubkan bukan? kita seringkali lupa dan lalai dengan hakikat ini, namun inilah kenyataanya. Bila ditanya, kita lebih cenderung untuk memberikan jawapan-jawapan seperti gunung Everest (paling besar), bintang (paling jauh), ahli keluarga (paling dekat), ikan paus (paling berat) dan mungkin juga kapas (paling ringan). Namun, sebenarnya semua jawapan tersebut cuma berkitar disekeliling kita! Subhanallah... masih banyak lagi yang kita tidak ketahui...

Ketika berbicara tentang doa, ustaz Warso berkata, telah ditulis dalam Ihya Ulum al-Din, Kitab Sharh Aja'ib al-Qalb, ketika ditanya kapada Ibrahim b Adam... "Kenapa doaku tidak dijawab?". Ibrahim b Adam menjawab dengan ringkas, "Sebab hati awak mati."

HATI YANG MATI? Apa yang dikatakan sebagai 'hati yang mati?' Kenapa hati itu mati?
Hati itu dikatakan mati apabila empunya hati itu...
>> Tahu hak Allah swt ke atas dirinya tetapi tidak memenuhi hak tersebut.
>> Membaca al-Quran tetapi tidak bertindak dan berkelakuan mengikutnya.
>> Suka pada Nabi Muhammad saw tetapi tidak mengikut ajaran dan sunnahnya.
>> Mengakui bahawa diri takut pada neraka tetapi melakukan perkara-perkara yang mendekatkan diri kepadanya.
>> Mengakui sukakan syurga tetapi tidak berusaha mendapatkannya malah melakukan sebaliknya.
>> Mengikuti bisikan syaitan dan berbuat dosa serta tidak patuh kepada Allah swt.

BAGAIMANA PULA UNTUK MELUASKAN HATI? AGAR HATI TAK MATI? Asasnya sama, mudah saja (pasti tak semudah yang dikata).
>> Penuhkan iman di dada, serahkan segala-galanya (total submission).
>> Percaya bahawa hidup ini hanyalah satu ujian (dan berkelakuan sesuai dengannya).
>> Percaya bahawa semua yang ada di dunia ini adalah betul dan benar (sebab Allah swt itu maha mengetahui).

Pesannya, yang penting... IKHTIAR, DOA, TAWAKAL...

SESUNGGUHNYA ALLAH SWT MEMBENTANGKAN TANGANNYA PADA WAKTU MALAM KEPADA ORANG YANG MELAKUKAN KESALAHAN DI SIANG HARI...
DAN DIA MEMBENTANGKAN TANGANNYA PADA WAKTU SIANG KEPADA ORANG YANG MELAKUKAN KESALAHAN DI MALAM HARI, SEHINGGALAH MATAHARI TERBIT DARI BARAT ...

P/s. Dapat juga merasa Qorma (masakan Afghanistan). Tak sangka budak-budak lelaki Afghan tu pandai masak walaupun resepi diorang boleh dikatakan 'hentam kromo' saja...

Sunday, April 4, 2010

Kena pandai-pandai sendiri...

Salammu a’laik… salam sejahtera, salam penyeri yang terpancar di setiap wajah. Wajah-wajah insan yang sentiasa percaya pada kekuasaan sang Pencipta. Semoga kepercayaan itu makin tegar tak pernah goyah, makin tumbuh tak pernah patah, makin luas tak pernah berhenti menjelajah...

Musim peperiksaan semester sudah tiba... sekali lagi. Seperti biasa, seperti masa-masa peperiksaan yang lain, fokus utama sudah tentu pada ulangkaji. Masa nilah baru nak baca nota, masa nilah baru nak fahamkan semua yang tak faham. Nak “pulun” habis-habisanlah bak kata orang. Baca punya baca, faham punya paham, hafal punya hafal... Makan dengan nota, tidurpun dengan nota... Masa nilah nak rasa ‘tension’, ‘hopeless’ dan segala macam rasa... “Sempat ke tak sempat habiskan?” dan “Kalau sempat habispun, ingat tak semua?” Tengah-tengah sibuk baca nota tu tiba-tiba mesej berbunyi... “Hei, siapa pula ni? Kacau betul!”, hati berbisik. Walaupun berat, tangan menjalar juga, handfon dicapai dan mesej dibaca... perkataan demi perkataan...

“Ya Allah ajarkanlah kami bahawa belajar ini bukan untuk sesiapa tapi hanya kerana-Mu. Belajar ini bukan untuk diri bahkan untuk seluruh umat rasul-Mu.
Belajar ini bukan untuk saat ini bahkan untuk sepanjang zaman-Mu.
Ajarkanlah kami apa-apa yang kami tak tahu tentang ilmu-Mu.
Ingatkanlah kami apa-apa yang kami lupa tentang-Mu.
Redailah setiap langkah kami kerana kepada-Mu lah kami akan kembali...”


Hati berbunga mekar, seindah senyuman yang terukir...
Ya Allah! Betapa aku tak menyangka tentang kehadiran mesej ringkas ini. Pendek dan padat. Kaya dengan pemberitahuan yang mengingat. Tiba-tiba hilang semua rasa yang tak enak tadi, tak ada lagi ‘tension’, tak ada lagi ‘hopeless’… semuanya seperti dibasuh bersih dari atas sampai bawah. Semangat kembali berkobar. Semua persoalan dan kerisauan tentang ingat atau tak tadi telah hilang entah kemana. Syukur ya Allah, kerana mengurniakan kepada aku seorang sahabat yang begitu mengambil berat tentang kebajikan sahabatnya. Mesej tadi mengingatkan aku untuk meluruskan niat, belajar kerana Allah ta’ala, bukan kerana peperiksaan. Kata Dr. Razaaq, “If you learn for the sake of exam, then you may fail. But, if you learn for the sake of knowledge, you will get both… knowledge and good scores.” Biar ilmu itu untuk sepanjang hayat. “Jangan meniru! Keberkatan ilmu lebih penting daripada pencapaian dalam exam!”, kata seorang rakan.

Belajar merupakan tanggungjawab utama setiap pelajar. Jadi walau apapun perkara yang menekan, walau apapun amanah dan tanggungjawab lain yang dipikul, walau apapun keadaan yang menghimpit, belajar harus diutamakan. Pembahagian masa harus adil. Kata seorang sahabat, “Masa tukan milik kita. Jadi, kitalah yang mencorakkannya.” Hmm… betul tu. Tak ada alasan untuk kata tak cukup masa sebab semua orang ada 24 jam. Tak lebih, tak kurang dan tiada masa kecederaan. Yang penting, cara kita menguruskan masa dan disiplin diri. Disiplin… hidup di universiti ni orang kata, “Pandai-pandai kaulah nak hidup.”-KENAPA?- Sebab secara kasarnya, yang menjaga diri seseorang tu adalah dirinya sendiri. Bukan macam di sekolah dulu, malas-malas cikgu ketuk. Kerja rumah, latihan dan nota tambahan… semua cikgu bagi. Kat U ni, kena pandai-pandai sendiri. Kena pandai-pandai pilih kawan, kena pandai-pandai cari masa, kena pandai-pandai rujuk pensyarah... Pendek kata, semuanya kena pandai-pandai sendiri...

“Orang yang cerdik akan berusaha mengubah kerugian menjadi keuntungan. Manakala orang yang bodoh akan membuat satu kerugian manjadi kemuflisan.” – Dr. ‘Aidh b Abdullah al-Qarni (La Tahzan).

Ilmu yang dicari itu milik Allah swt. Jadi ingatlah! Walaupun cukup jauh, tinggi atau dalam sesuatu tempat yang kita pergi untuk menimba ilmu dan walaupun kita begitu teliti dan bersungguh dalam setiap pencarian dan penguasaan ilmu… Ilmu itu tetap kepunyaan Dia dan hanya milik-Nya. Kita tetap takkan dapat sesuatu ilmu itu kalau Allah tak nak bagi – walau apapun cara yang kita buat!

p/s. Yang penting luruskan niat, sempurnakan usaha, berdoa dan bertawakallah. Menyerah sebelum waktunya bermakna kalah sebelum bertanding!

Popular Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...