Buat duit online

Tuesday, January 28, 2014

Miskin dunia

Assalammualaikum...

Lama betul tak update blog ni...

Semenjak melangkahkan kaki ke alam pekerjaan, terasa diri semakin dewasa. Ya Allah, cepat betul masa berlalu. Alam pekerjaan sememangnya berbeza dengan alam belajar. Sudah hampir 5 bulan saya berkhidmat di salah sebuah Hospital Sime Darby. Ya Allah, sememangnya persekitaran sini sangat berbeza dengan IIUM. Mereka agak sosial. Ya, mungkin saya yang "kurang biasa" dengan persekitaran ini. Gelarlah saya kolot kalau mahu. Tapi, saya rindukan suasana di IIUM dahulu.

Masih saya ingat pada minggu pertama menjejakkan kaki ke hospital ini. Ada staff ajak saya keluar makan sekali. Saya bersetuju. Setelah memilih makanan dan ketika baru hendak mula makan, sayapun seperti biasa... menadah tangan ke langit untuk membaca doa makan. Terkejut saya, ketika salah seorang daripada kakak yang keluar makan sekali tadi menegur.

"Oh, kau baca doa makan, eh? Baiknya.", katanya.

Baik? Ya, baca doa makan sebelum makan adalah perkara baik. Nabi saw pun buat. Tapi pelikkah? Sewaktu di IIUM dahulu, jika keluar makan bersama sahabat-sahabat, kami akan saling mengaminkan bacaan doa makan tersebut. Jika terlupa, pasti akan ada sahabat yang mengingatkan.

Itu baru doa makan. Boleh dimaafkan lagi jika tak baca, Bukannya wajibpun. Bab solat, masya Allah. Balik-balik jika ke surau, pastu wajah-wajah yang sama saja yang dilihat. Alhamdulillah. Ada juga yang solat. Tapi punyaah ramai staff melayu Islam di sini.... Mana pergi yang lain? Wallahualam. Bukannya pihak pengurusan tidak izinkan solat ketika bekerja. Masyarakat Islam diluar sana terpaksa berperang untuk beribadah. Kita disini? Sengaja meninggalkan. Bila diajak, enggan. Kononnya risau, nanti kalau doktor hantar kes macam mana? Siapa mahu layan? Masya Allah... Bukan lamapun solat tu. 15 minit saja campur masa berjalan ke surau. Doktor & pesakitpun faham kewajipan ISLAM. Malah selalu juga saya terserempak dengan doktor di surau. Mereka juga solat. Tak kurang juga staff yang beralasan, "Akak tak solat kat sini sebab baju kotor. Nanti petang balik rumah akak qada semua." Astarghfirullah hal a'zim... Hukum manalah yang dipakai ni? Apa kotornya kerja dalam hospital? Sebutir habukpun tiada, aircond 24jam. Kalau was-was sangat, salin saja pakaian itu.

Sedih bila melihatkan insan yang miskin dunianya, miskin juga akhiratnya. Mengapa mereka masih enggan untuk mendirikan solat? Sedangkan haknya jelas...

 

A043 


Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
(Al-Baqarah : 43)

 
 
A042 (Ingatkanlah orang-orang yang tidak beriman) akan masa didedahkan kedahsyatan huru-hara (hari kiamat), dan mereka diseru supaya sujud maka mereka tidak dapat melakukannya. (Al-Qalam : 42)


A043
Sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka diliputi kehinaan; dan sesungguhnya mereka (di dunia) dahulu telahpun diseru supaya sujud (tetapi mereka enggan) sedang mereka dalam keadaan sihat. (Al-Qalam  :43)


p.s. Bukan mudah untuk menasihatkan orang yang jauh lebih tua daripada kita. Tambahan pula bila kita junior yang baru masuk kerja, Mereka semua ada yang pangkat ibu bagi saya. Ya Allah! Berikan aku kekuatan untuk menjadi contoh yang baik bagi mereka. Pegang hatiku, agar tetap menjaga hak-Mu... Jangan Kau jadikan aku, insan yang terikut-ikut dengan mereka.

Wallahualam.

Sunday, December 30, 2012

Peganglah hatiku & hatinya


Bismillahirrahman nirrahim…

Wahai Tuhanku yang membolak-balikkan hati, peganglah hatiku, peganglah hatinya.

Sudah dua hari rasa susah nak tidur, lega rasanya bila dapat tidur dengan lena pagi tadi. Ya, benar tak baik tidur selepas subuh. Tapi mata dan minda terasa berat sangat, tak tertahan-tahan.

Bila diluah kena umpat, jika tak diluah memakan diri. Seorang kenalan saya punya hobi bergayut tengah-tengah malam kadang-kadang masuk ke pagi. Ya, benar. Kegemarannya bukan masalah bagi saya. Tetapi jika nada suaranya tinggi disulami gelak besar hingga mengganggu ketenteraman yang lain untuk tidur, bukankah perlu ditegur? Masakan boleh terus bertoleransi jika berlarutan bukan sekadar sehari atau dua.

Jam telah menghampiri 2 pagi. Setelah lebih sejam cuba memaksa diri untuk tidur (tapi gagal) saya mengambil keputusan untuk menegurnya setelah berfikir masak-masak. Namun, setiap kali saya cuba bersuara, saya batalkan niat semula. Dalam hati bermonolog, “Biarlah. Kejap lagi dia senyaplah tu. Kau kan mengantuk, penat. Tidur saja. Tidur…” Hati cuba memujuk diri, namun ya Allah sesungguhnya aku tak tertahan lagi. Akhirnya, setelah menarik nafas dalam-dalam, saya lepaskan juga. “XX perlahan sikit. Dah pagi ni.” Itu saja ayat saya.

Keadaan senyap sekejap. Kedengaran dia berbisik dengan telefon. Oklah tu kan? Ketika baru betul-betul hendak terlelap, saya terjaga semula. Dia kembali bercakap kuat, malah lebih lantang. Lebih mengejutkan, dia kini berbicara mengenai saya… mengumpat mungkin. Sebutir, sebutir boleh didengari dan difahami. Berderau rasanya, mata terasa panas. Ya Allah, setelah sekian lama bersama, setelah macam-macam dibuat untuknya, sampai hati dia? Sampai hati dia buat aku macam ni? Hanya disebabkan satu ayat teguran... Ya Allah, ketika itu aku hanya mahu tidur… kerana bimbang jika tidur lambat membuatkan aku terlepas subuh. Kenapa perlu aku dengar semua itu? Sesungguhnya nikmat tidur itu milik-Mu, ya Allah. Jika Kau tarik daripadaku, maka tak keruan jadinya.

            Seorang sahabat berkata, “Kau harus bersabar dengan dia. Sabar tak cukup dengan 4 tahun, sabar perlu selamanya.” Ya, kuncinya masih sabar. Sekali lagi ayat al-Quran kegemaran saya mengetuk pintu hati…

“Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang beriman.” (Ali Imran, 3:139)

Pesan seorang sahabat lain, doakanlah dia. Bukan minta supaya Allah mengubah dia (kerana bukan kita yang berhak menentukan perkara terbaik untuknya), tetapi berdoalah agar Allah memegang hatinya agar dapat dia menjadi insan yang lebih baik & bertimbang rasa
"Seseorang mukmin bukan seseorang yang suka mencaci atau suka melaknat orang lain dan ia juga tidak bersifat jahat disamping ia tidak bersifat buruk."
(HR al Tirmidzi)


p.s. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Cukuplah keburukan seseorang dengan menghinakan saudaranya yang muslim." (HR Muslim)

Wallahualam~~

Sunday, July 8, 2012

Maka inilah waktunya 2




Assalammualaikum...


Dari Jabir Radliyallaahu ‘anhu bahwa Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Setiap kebaikan adalah sedekah.” (Riwayat Bukhari).


Pada hari Khamis lepas, saya dan seorang sahabat menaiki bas dari Kota Bharu ke Machang. Hari yang panas terik dengan keadaan yang sesak (ramai budak asrama bercuti) ditambah pula kami yang berpuasa nisfu Syaaban ketika itu membuatkan rasa tak selesa menguasai diri. Kebetulan ramai pula yang hendak ke Machang ketika itu, jadi keadaan dalam bas memang agak sesak (kira-kira 12-13 orang berdiri). Kemudian, naik seorang mak cik tua (boleh pangkat nenek dengan saya). Dia naik dengan membawa banyak barang. Lalu disusunnya dicelah kaki-kaki orang yang duduk (pada ruang antara kerusi). Saya memerhatikan keadaan sekeliling... OK. Tiada siapa yang sudi memberinya tempat duduk. Dalam hati, saya katakan, "Tak apa. Mungkin akan ada yang akan bangun dan menawarkannya tempat duduk sebaik saja bas bergerak nanti." Mak cik itupun berdiri disebelah kawan saya yang berdiri dibelakang saya.  


Keadaan trafik yang sibuk serta jalan yang agak sempit dan tak rata membuatkan si pemandu kerap menekan brek. Faham-faham sajalah. Kami yang berdiri ini sudah pastinya akan tersesar ke depan dan belakang. Sudah beberapa lama, saya teringatkan mak cik tadi. Lantas saya toleh belakang. Alhamdulillah. Kebetulan pada waktu itu, ada seorang wanita Melayu tak bertudung (yang memang duduk disebelah tempat mak cik tu berdiri sejak awal lagi) bangun untuk menawarkannya tempat duduk. Saya boleh nampak kegembiraan yang terpancar diwajah mak cik tersebut. Syukur, masih ada yang mengerti.


Setibanya di Machang, saya memuji sikap wanita tersebut. Ketika itulah saya tahu kisah sebenarnya... Kata sahabat saya, mak cik tu berusaha keras untuk mengekalkan kestabilannya sepanjang perjalanan tadi. Sampai satu masa, ketika bas berhenti dengan kuat, mak cik tersebut terjatuh ke atas sahabat saya yang mana dia sempat menyambutnya daripada tersungkur. Yang lebih mengecewakan sahabat saya ialah mereka yang menyedari insiden itu hanya bertindak sebagai pemerhati, termasuklah 2 orang pelajar lelaki maahad dan seorang wanita berpurdah, tanpa ada niat untuk menawarkan tempat duduk mereka. Mak cik tersebut sendiri yang meminta untuk menumpang duduk pada wanita yang tak bertudung tersebut (tumpang duduk sedikit). Yang mana keadaan itu membuatkan wanita tersebut kurang selesa barangkali, lalu kemudiannya menawarkan tempat duduknya tak lama kemudian.


Sayu hati tatkala mendapat tahu perkara sebenar yang terjadi. Ya, mungkin saya dan kawan saya tak cukup berani untuk memintakan tempat duduk bagi pihak mak cik tersebut diawal perjalanan. Saya mengaku itu silap kami. Namun, bagi mereka yang sedang duduk ketika itu dan sedar akan keadaan itu, tidakkah terdetik dalam hati mereka untuk membantunya? Apa yang saya lihat, sikap mementingkan diri terlalu kuat hingga sanggup mengabaikan kebajikan orang yang lebih memerlukan


Ya, semua orang buat silap. Jadi, biarlah kesilapan tadi menjadi pengajaran bagi yang lain. Yang tua itu haruslah dihormati, disayangi dan dipelihara. Insya Allah, kita akan dijaga dengan baik saat kita tua nanti. Kesempurnaan menutup aurat dan pergi belajar di maahad saja belum cukup bagus untuk mengatakan kita sudah beriman. Peliharalah adabmu sesama manusia. Semoga dengannya akan bertambah iman di dada. Fahamilah adab yang dipelajari dan amalkanlah. Amalkanlah, amalkanlah! Saya yakin, akhlak baik yang ditunjukkan merupakan salah satu jalan dakwah yang mudah dan berkesan, insya Allah.


Dari Anas bahwa Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah seorang hamba (dikatakan) beriman sehingga ia mencintai tetangganya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri.” (Muttafaq Alaihi).


Dari Abu Dzar Radliyallaahu ‘anhu bahwa Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Janganlah engkau memandang rendah bentuk apapun dari kebaikan, walaupun engkau hanya bertemu dengan saudaramu dengan muka manis.”

(Riwayat Muslim.)


p.s. Jika inilah keadaanya, bagaimanakah kita hendak berbicara tentang pembebasan Palestin? Menghulurkan bantuan kepada rakyat Syria? Menolong puak Islam minoriti Rohingya?  Wallahua'lam... 

Popular Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...