Buat duit online

Monday, May 3, 2010

menyentuh puncak dunia

Salamu a'laik...

Tersenyap seketika mengenangkan kekurangannya.
Terkedu memikirkan kelebihannya - kekuatan, keazaman, kecekalan - sungguh luar biasa...

Erik Weihenmayer...
Nyata sekali daripada namanya, dia bukannya seorang muslim.
Tapi itu bukan masalahnya (bukan untuk post ini)...
Matanya celik semasa dilahirkan, tetapi kecelikan itu merosot saat dia meniti awal usia remajanya. Terjaga daripada tidurnya di satu malam, Weihenmayer kecewa dan takut kerana disaat itu dia telah menjadi buta secara keseluruhan. Perspektif pertamanya, dia pasti tidak akan mempunyai kawan, tidak mampu untuk bersukan dan tidak akan mendapat pasangan.

Benarkah begitu?? Mungkin benar jika dulu dia hanya duduk di satu sudut lalu memencilkan diri serta menyalahkan takdir... Kini, boleh dikatakan bahawa dia telah berjaya memperoleh segala-galanya. Dia telah menjadi atlet bertaraf dunia, mempunyai kawan di merata dunia dan telah berkeluarga! Malah, dia dikelompokkan dalam kumpulan antara pendaki gunung termuda yang berjaya menawan puncak-puncak dunia - McKinley, Kilimanjaro, Aconcagua, Vinson Massif, Everest, Elbrus, Kosciusko...

Demi masa yang Allah bersumpah ke atasnya. Atas sokongan dan dorongan, Weihenmayer bukan saja mampu untuk berdiri, malah dia mampu berlari... Lebih daripada yang normal... Dia mampu menawan dunia serta melebihinya. Bayangkan, seseorang yang buta mampu untuk menawan puncak tetulang dunia, meneroka langit, serta berjalan menjelajah alam - yang celikpun belum tentu mampu! - Ya, mungkin dia tidak mampu untuk menangkap bola lisut yang dilontarkan, namun lihatlah pencapaiannya. Subhanallah...

Benar, bila satu pintu di tutup, ternyata terbuka pintu-pintu yang lain. Walaupun nikmat penglihatannya ditarik, tapi Weihenmayer tak murung lama... Dia berdiri dengan berbekalkan semangat yang tinggi. Namun, sekali lagi dia jatuh... Si pendokong semangat iaitu ibunya meninggal dunia di dalam satu kemalangan jalan raya. Walau berkali-kali jatuh, pastikan diri bangkit semula. Dugaan yang besar mengajar erti tabah, menjadikan diri kuat. Bukankah Allah telah berkata, kita pasti akan diuji? - dengan diri, harta, kesedihan, kegembiraan, penyakit, orang sekeliling... Semuanya untuk memberikan kita kekuatan agar dapat memanfaatkan hidup dengan sebaiknya. Dan saya pasti, itulah yang telah dilakukan oleh Weihenmayer. Dia belajar daripada kekurangan lantas menjadikannya sebagai satu cabaran dan bukan alasan!!
Kekecewaan menjadikan manusia lebih gagah. Weihenmayer percaya bahawa sepasang tangan manusia yang kerdil mampu untuk mengubah dunia... mampu untuk membentuk jiwa dan minda.

Kata Weihenmayer, "Saya punya dua jalan dalam hidup. Satu untuk hanya duduk di tepi, dan mendengar tentang hiruk-pikuk dunia di sepanjang jalan kehidupan. Dan satu lagi, saya boleh menjadi seorang yang pragmatik - mencari jalan untuk keluar daripada keadaan ini dan lakukan segala yang patut."

Sekarang fikirkan... seorang buta yang bukan muslim mampu untuk mencapai puncak tertinggi dalam kehidupannya. Jadi mengapa tidak kita? Kita cukup pancaindera, kita punya Allah dan rasul-Nya, kita punya Quran dan sunnah, kita sudah berada di landasan yang betul, malah dalam keretapi yang betul... tidakkah kita sepatutnya mampu untuk mencapai yang lebih hebat? Alasan apakah lagi untuk tidak berjaya? Sekali kalah tidak bermakna kalah untuk selamanya kerana kekalahan hari ini adalah untuk kemenangan dan kejayaan hari esok. Pepatah Jepun mengatakan, jika jatuh buat kali yang ketujuh maka bangkitlah untuk kali yang kelapan. Kita tidak punya ruang untuk gagal malah kita tidak akan gagal jika kita terus bangkit dan belajar daripada segala perkara yang tidak berjaya kita capai. Yakinlah, setiap yang terjadi pasti ada hikmahnya. Kita cuma perlu menerimanya dengan sabar dan redha.

Bukan niat untuk berbangga dengan si wira yang berbeza agamanya ini. Namun, cara
Weihenmayer menilai kekurangannya ini amat mengagumkan. Di saat ramai manusia melihat kekurangan masing-masing sebagai satu kelemahan, Weihenmayer mengambilnya sebagai satu kelebihan. Dan tidak salah rasanya jika kita mengambil nilai yang ada pada Weihenmayer ini sebagai pendorong semangat, bahawa kekurangan kita ini merupakan satu rahmat.
Jadi, jika Weihenmayer mampu untuk menyentuh puncak dunianya, mengapa tidak kita?

p/s. semoga satu hari nanti Erik
Weihenmayer dan keluarganya dikurniakan oleh Allah swt taufik dan hidayah yang pasti dapat membawa kesempurnaan dalam hidup di dunia dan akhirat. Insya Allah...

0 comments:

Popular Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...