Buat duit online

Thursday, May 13, 2010

Jadikanlah aku...


Assalammualaikum wbt...


Masih belum terlewat rasanya untuk mengucapkan “Selamat Hari Ibu” kepada semua yang bergelar ibu di dunia ini. Teringin rasanya untuk menulis tentang cerita Ust. Siti Nur Bahyah (dalam siri hal ehwal Islam terbitan TV1 pada minggu lepas) mengenai seorang pemuda yang ditemui oleh Nabi Sulaiman a.s. Ketika baginda berjalan di tepi pantai bersama-sama rombongannya, tiba-tiba baginda terlihatkan sebuah kubah di dalam air (laut) itu. Oleh sebab keinganannya terlalu tinggi untuk mengetahui isi kubah tersebut, maka baginda memerintahkan jin Ifrit agar mengangkat kubah tersebut ke atas permukaan. Percaya atau tidak, si Ifrit gagal. Lalu turun seorang pemuda yang hebat amalnya. Dia berselawat lalu mengangkat kubah tersebut. Setelah pintu kubah dibuka, kelihatan seorang pemuda di dalamnya. Baginda nabi kemudiannya bertanya kepada pemuda berkenaan... Siapakah dia? Dari zaman manakah dia? Amalan apakah yang dilakukan sehingga dia dihadiahkan nikmat ini?


Pemuda itu mengatakan bahawa dia dari zaman Nabi Ibrahim a.s. Dia mendapat anugerah ini kerana telah menjaga ibunya selepas ayahnya meninggal dunia. Ibunya yang uzur dan lumpuh itu dijaga dengan baik. Bila ibunya lapar, dia suapkan. Bila ibunya panas, dia mandikan. Bila ibunya mahu bergerak, dia dukung dengan belakangnya. Kemudian, bila ibunya meninggal dunia, dia kebumikan. Sebagai balasannya, dia mendapat kubah ini. Selepas mendapat semua jawapan, Nabi Sulaiman a.s. mengarahkan supaya kubah tersebut dikembalikan ke tempat asalnya.


Menarik bukan? Betapa hebatnya ciptaan Allah yang digelar sebagai “IBU” ini. Memberi kebahagian kepada insan yang bergelar anak...


Naluri keibuan itu sudah pasti datang saat hari pertama disahkan mengandung. Sebab itu, ramai yang kecewa saat keguguran - walaupun janin yang dikandung baru sekejap, tapi naluri yang telah wujud membuatkan seseorang yang bakal bergelar ibu itu merasakan bagai sudah terhubung nyawa. Saat melahirkan tidak mudah – saya tak tahu, tapi itulah yang mereka katakan. Sakitnya... bagai nak tercabut nyawa kata mereka. Mungkin sebab itu ramai yang terluka saat bayi yang dilahirkan meninggal dunia. Kata mak cik saya, sakitnya ibu melahirkan bayinya itu hilang serta-merta saat dia mendengarkan tangisan bayi yang dikandungnya 9 bulan lalu. Senyuman akan terukir saat mencuit hidung genit si bayi, semakin lebar senyuman itu jika si bayi cukup sifat dan sihat.


Satu yang saya perasan… Ibu selalunya meletakkan kebajikan dirinya ditangga terakhir. Kalau beli baju, anak-anak dulu. Kalau masak, lauk kegemaran anak-anak dulu. Walaupun penat, karenah anak-anak pasti didahulukan. Pada ibu-ibu lain, saya kurang pasti. Tapi itulah emak saya… dia mengutamakan yang lain, manakal dia jatuh entah ke tangga yang keberapa. Saya pasti para ibu yang lain juga begitu.


Pernah satu hari emak menangis… saya duduk disebelah untuk mendengar luahannya - dia tertekan - tanggungjawab untuk suami, untuk anak-anak, untuk kerja. Baru saya perasan, emak punya masa yang sangat sikit untuk dirinya sendiri. Saya yang lebih 8 tahun menghabiskan masa di asrama, kurang teliti tentang hakikat ini. Tapi baru kali ini saya nampak…emak terluka. Saat adik bongsu saya bersuara, “Kesian mak…” hati saya bagai disentap. Tambahan bila emak sendiri mengakuinya… Mungkin, ada satu saat yang emak merasakan penat. Penat dalam menjaga keperluan keluarga – emak juga manusia biasa. Namun, pasti kepenatan itu mahal harganya. Dan pasti, kepenatan itu hanya Allah swt saja yang mampu membayarnya.


Hai insan keturunan Adam dan Hawa, tanyakan pada diri, “Berapa kali agaknya saya buat emak tersenyum?”. Saya sendiri bukannya anak yang baik saya kira. Tetapi, marilah sama-sama kita berusaha untuk melakukan yang terbaik dan bukan sekadar yang termampu, agar dapat dihadiahkan gelaran “anak soleh” kelak. Hanya doa anak soleh yang dapat membahagiakan si ibu. Semoga emak tak malu untuk mengaku bahawa kitalah anak yang dikandungnya selama 9 bulan, kitalah anak yang dibesarkan selama usia mematangkan minda.


Ya, saat usia mematangkan minda…

Jadikanlah aku anak yang lebih mengerti akan perasaan kedua-dua orang tuaku.

Jadikanlah aku anak yang mementingkan emak dan abah daripada diri sendiri.

Jadikanlah aku anak yang dapat menghadiahkan senyuman yang paling bermakna diwajah emak dan abah.

Jadikanlah aku anak yang sabar dengan segala kerenah emak dan abah saat mereka dimamah masa kelak.

Jadikanlah aku anak soleh yang sentiasa menyenangkan hati abah dan emak.


"Saya sayangkan ibu saya seperti mana pokok suka pada air dan sinaran mentari. Dia membesarkan saya, menjadikan saya seorang yang berjaya dan membantu saya untuk mencapai yang tertinggi dalam hidup." - Adabella Radici


p.s. jangan sampai jadi si Tanggang sudahlah...

0 comments:

Popular Posts

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...